Usahawan Muda Dan Berjaya Ini Diuji Penyakit Bell’s Palsy Ketika Sedang Berpantang

Sebagai manusia biasa kita tidak akan terlepas dengan ujian hidup untuk menguji sejauh mana rasa syukur yang terbina dalam diri. Ujian yang datang tidak kira masa dan tempat dan tidak pernah salah alamat. Kehidupan Emira ibarat sudah lengkap apabila sudah berjaya meraih kejayaan dalam bidang perniagaan dalam usia yang muda, mempunyai suami yang mencintainya sepenuh hati dan juga dua orang cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.

Namun, siapa sangka dalam menikmati kehidupan yang serba sempurna wanita ini diuji dengan penyakit yang tidak pernah terfikir di benaknya. Emira berkongsi bersama Nona tentang penyakit Bell’s Palsy yang dihidapinya.

“Saya berumur 25 tahun dan merupakan seorang usahawan yang berjaya. Saya berkahwin ketika berusia 21 tahun dan dikurniakan dengan 2 orang anak perempuan yang cantik. Namun, baru-baru ini saya didiagnos dengan penyakit Bell’s Palsy. Detik 12 Ogos 2018 ketika anak saya yang baru lahir, Khaira, baru sahaja berusia 24 hari, saya telah disahkan oleh doktor menghidap Bell’s Palsy. Ketika itu saya benar-benar ingat bahawa saya telah diserang strok.

Pada hari saya didiagnos, kehidupan saya tiada beza seperti permulaan hari pertama berpantang iaitu tidur, menyusu, menukar lampin dan aktiviti biasa yang dilakukan oleh ibu berpantang. Proses berpantang bukanlah sesuatu yang senang dilalui. Jadi apabila rasa tidak sihat, kita akan berpura-pura untuk kelihatan sihat demi anak-anak. Sebenarnya, sudah rasa kepala dan seluruh badan tidak selesa beberapa hari sebelum diserang penyakit Bell’s Palsy ini.

Saya berasa muka saya berdenyut-denyut dan saya sedar bahawa saya tidak mampu untuk mengetap bibir dan lidah pula berasa kebas. Makan dan minum, semua tidak boleh rasa. Rasa kebas- kebas sebegitu. Kumur dan minum pun mulut jadi bocor. Ingatkan demam biasa atau sakit tekak kerana sedang musim jerebu sekarang ini. Kemudian saya tertanya-tanya, apa yang sedang terjadi kepada diri saya.

Tapi pada hari saya didiagnos, saya tahu bahawa saya berasa pelik sedikit. Rasa pening-pening, sakit kepala, terlebih penat, mata berdenyut denyut, cepat marah dan sebagainya. Tapi saya tidak fikir banyak sangat kerana saya rasa sangat penat semasa berpantang dan perlu menjaga anak yang masih kecil.

Ketidakupayaan untuk senyum dan minum dengan betul sememangnya mengejutkan tapi semasa saya melihat cermin untuk beberapa minit, saya perasan mata kiri saya senget dan tidak mampu untuk menutupnya. Bahagian kiri dahi saya tidak berkerut seperti biasa dan bahagian kiri mulut saya tidak menunjukkan senyuman. Keseluruhan perasaan ini sangat mengejutkan dan sangat menakutkan. Dalam kepala fikir tentang benda yang bukan-bukan.

Dan  dipendekkan cerita, saya sudah 3 minggu menghidap penyakit Bell’s Palsy ini. Keseluruhan bahagian kiri saya tidak mampu untuk bergerak dan akhirnya sudah semakin pulih dan baik. Alhamdulillah saya dapat mengelip mata, minum dan berkumur seperti biasa.

Saya telah dipreskripsiakan dengan Prednisolone, Methycobal dan Neurobian tablet dan juga Alcon eyedrop untuk digunakan setiap 4 jam sejak mata tidak boleh ditutup atau buka dengan sendiri. Jadi saya terpaksa menggunakannya untuk mengelakkan kerengsaan yang selanjutnya. Saya berharap dapat sembuh daripada penyakit ini dengan cepat. Insyaallah,” bicara Emira dan Nona mendoakan Emira cepat sembuh seperti sedia kala.

*Kredit foto: Instagram @puteri.emira

Share
Published by
Hamizatul Maizan