Berita

Usia 130 Tahun, Kenali Sarahouda Stiti Yang Dinobatkan Jemaah Haji Tertua 2024

Sosok wanita tua ini mencuit perhatian. Berusia 130 tahun, inilah Sarahouda Stiti dari Algeria yang tercatat sebagai jemaah haji tertua pada tahun 2024!

Talbiah Labaikallah Humma Labaik berkumandang. Serentak dengan sambutan Hari Raya Aidiladha, jutaan umat Muslim di seluruh dunia juga baru sahaja menunaikan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji di Mekah, Arab Saudi.

Dipilih mengerjakan ibadat haji pada usia muda dianggap peluang keemasan dan rahmat dari Allah SWT. Namun andai kemampuan diri mengizinkan ketika usia meningkat tua, ia juga rezeki asalkan tiada halangan dari aspek fizikal dan kesihatan.

Sempena musim haji kali ini, sosok seorang wanita tua dari Algeria menyorot perhatian. Usianya melepasi satu abad, setepatnya 130 tahun, ayuh kenali Sarahouda Stiti yang dinobatkan jemaah haji tertua 2024.

Sumber: X/@SaudiaGroup

 

Sumber: X/@SaudiaGroup

 

Menurut laporan Gulf News, wanita yang mesra disapa Stiti itu tiba di Jeddah pada Isnin, 10 Jun 2024. Ketibaan beliau mendapat sambutan hangat dari pejabat Arab Saudi dan pasukan misi haji Algeria.

Algeria merupakan sebuah negara bekas jajahan Perancis yang terletak di Afrika Utara dengan majoriti penduduknya beragama Islam. Sebahagian besar wilayahnya dilitupi Gurun Sahara.

Tonton video momen ketibaan Stiti di lapangan terbang, dapat sambutan hebat! 

 

JEMAAH HAJI TERTUA

Tiba menggunakan kerusi roda untuk menunaikan ibadah Haji, Stiti disahkan sihat meskipun harus berada di bawah pengawasan perubatan sepanjang mengerjakan ibadah haji. Walaubagaimanapun, Stiti kelihatan cukup bahagia dan bersemangat ketika di sana.

Biarpun usia membatasi pergerakannya, beliau masih mampu bercakap dengan jelas dan berkomunikasi dengan baik. Menurut laporan Asharq Al-Awsat, Stiti yang lahir pada tahun 1849 itu sudah bermimpi untuk menunaikan haji sejak usia 25 tahun lagi. Impian yang kuat sejak muda membuat Stiti akhirnya direzekikan bergelar Hajah pada usia senja.

Sumber: X/@SaudiaGroup

 

Semangat Stiti jelas menjadi inspirasi buat wanita yang lebih muda dan berupaya. Beliau membuktikan tiada yang mustahil meskipun perlu melaksanakan pelbagai rukun haji yang panjang dan meletihkan, khususnya di kalangan warga tua.

Wanita hebat ini juga dikenali sebagai sosok hebat yang memiliki sejumlah anak dan cucu di Tebessa, Algeria. Menurut sumber, cucunya pernah berkongsi bahawa neneknya tidak menderita sebarang penyakit, selain penuaan. Beliau juga memiliki tahap psikologi yang baik pada usia ini.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/panggilan-last-minute-yang-sangat-bermakna-nur-liyana-rahman-sebak-tunai-haji-saat-akhir-bersama-suami/

IKLAN
Share