Kagum melihat Tya Arifin yang bukan sahaja berjaya mengekalkan tubuh yang langsing bahkan semakin cantik dan berseri walaupun bergelar ibu kepada seorang anak berusia satu tahun. Sekali pandang Tya persis seorang anak dara. Salah satu rahsia kecantikan suri di hati Asyraf Datuk Seri Khalid ini ialah dengan amalan memakan jamu seawal usianya 16 tahun sehinggalah sekarang. Itu tidak dinafikan kerana kita tahu jamu sangat sinonim dengan wanita Indonesia.
Jamu Mutyara by Tya Arifin menjadi lambang keprihatinannya terhadap penjagaan kesihatan dan kecantikan. Sejak bergelar ibu setahun yang lalu, telah membuka peluang buat Tya untuk berkongsi pengalamannya mengamalkan jamu bersama kaum wanita di luar sana.
“Jamu Mutyara terhasil daripada resepi asli ibu saya dari Palembang, Indonesia sejak turun temurun. Untungnya lagi saya dibesarkan dalam keluarga yang sememangnya menggemari jamu. Jadi, saya sarankan semua wanita khususnya yang muda mengamalkan memakan jamu agar dapat mengekalkan kecantikan dan kesihatan dengan baik.
Sebelum ini berat saya pernah mencecah sekitar 75kg ketika mengandung. Alhamdulillah kini saya berjaya mengekalkan berat badan ideal iaitu 50kg berkat mengamalkan jamu,” kongsi Tya atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari Arifin berusia 24 tahun.
ANAK POPULAR DI LAMAN SOSIAL
Arif Jiwa Asyraf yang dilahirkan pada Mac 2017 menjadi kian popular khususnya di sosial media dek kerana kecomelan serta gelagatnya yang sangat mencuit hati. Sehingga artikel ini ditulis, akaun Instagram milik cucu tiri Dato’ Sri Siti Nurhaliza ini mencatatkan kira-kira 599 ribu jumlah pengikut. Sesekali, Arif turut berkongsi gambar dan video bersama Aafiyah yang digelarnya AuntyPrincess.
“Saya sentiasa beringat agar tidak menjadikan populariti sebagai batu loncatan untuk Arif bergelar selebriti. Saya dan suami mahukan Arif menjalani kehidupan normal sama seperti kanak-kanak lain. Suami juga berhasrat agar Arif mempelajari bidang perniagaan jika sudah besar nanti.
Tya turut mendidik Arif dengan mengurangkan pendedahannya terhadap gajet mahupun televisyen bagi mengelakkan ketagihan dan kesan negatif terhadap perkembangannya,” ungkap Tya.
SUKA BERBUAL DENGAN MAK ITI
“Jika bersama Mak Iti selalunya kami suka berbual macam-macam perkara antaranya kecantikan dan kesihatan. Kami juga suka berkongsi isu-isu wanita serta kaedah penyusuan badan. Tidak lupa tentang jamu. Apa yang sangat saya kagum dengan Mak Iti ialah sikapnya yang tidak pernah berputus asa serta memiliki kesabaran yang tinggi.
Saya juga tidak pernah melihatnya melenting mahupun bersikap negatif sehingga saya menjadikannya sebagai superwoman,”ujar Tya.
Dalam masa terdekat, Tya bakal mengeluarkan produk terbaru iaitu vitamin dikenali sebagai Jiwaku bagi membantu meningkatkan kecergasan minda kanak-kanak, kesihatan dan kekuatan tulang.
Kredit Foto: Instagram @tyaarifinnw
This website uses cookies.