Jaguh remaja Thailand, Atthaya Thitikul muncul pemain kedua termuda dalam sejarah menduduki ranking pertama golf wanita dunia selepas mempamerkan aksi hebat pada penampilan pertamanya di Jelajah PGA.
Pemain berusia 19 tahun itu muncul juara dua kali jelajah elit di Amerika Syarikat pada 2022 iaitu JTBC Classic pada Mac lalu dan Kejohanan Walmart NW Arkansas pada September selain pernah 12 kali menduduki kelompok 10 teratas musim ini sekali gus merampas takhta nombor satu daripada pemain Korea Selatan, Ko Jin-young.
Jin-young menduduki ranking teratas sejak Januari lalu tetapi mengalami kecederaan pergelangan tangan dan menarik diri daripada Kejohanan Ladies BMW di tempat sendiri minggu lalu.
Atthaya juga hanya pemain kedua berusia bawah 20 tahun menduduki ranking pertama selepas jaguh New Zealand, Lydia Ko yang berusia 17 tahun pada 2015 dan Lydia kini di tangga ketiga dunia.
“Ia sangat bermakna buat pasukan, keluarga, penyokong dan diri saya sendiri,” kata Atthaya yang akan menyertai LPGA Japan Classic minggu ini. Dia menduduki tempat keenam di Korea Selatan dua minggu lalu.
“Amat membanggakan dan satu penghormatan melihat nama saya antara nama besar dalam sukan ini. Ia sangat istimewa berada di puncak tetapi pastinya lebih sukar mengekalkannya.
“Masih banyak lagi perlu saya belajar daripada legenda dan pemain sekarang sama ada di dalam mahu pun di luar lapangan. Saya akan terus bekerja keras untuk keluarga, penyokong, pasukan dan negara.”
Atthaya sebelum ini turut mencipta sejarah apabila menjuarai Kejohanan Thailand pada 2017 ketika baru berusia 14 tahun.
Sumber: AFP
This website uses cookies.