Pada usia mencecah 32 tahun dan ibu anak 3, Nurul Ainaa Zulkifli sudah memiliki 10 cawangan tadika dan taska Al Kauthar Eduqids, sekaligus menjadikannyq penerima anugerah Nona Best Young Edupreneur yang paling ideal.
Meskipun baru saja beberapa hari melepasi tempoh berpantang anak ketiga, Ainaa sudah kembali ligat menguruskan perniagaan. Tiada istilah penat lesu. Baginya waktu istirahat sudah berakhir dan kini beliau perlu fokus memastikan segalanya di atas landasan.
Energi yang dibawa cukup luar biasa, lincah dan profesional di studio menjadikan sesi fotografi kami berjalan lancar.
Berkelulusan BSc Biomedical Science (Hons) dari sebuah universiti swasta, minat Ainaa terhadap bidang pendidikan awal kanak-kanak bermula sejak menjadi guru tadika sebaik tamat SPM.
“Semuanya berlaku ketika saya berusia 17 tahun. Timbul rasa seronok apabila kanak-kanak memanggil saya dengan panggilan Teacher. Tapi tak lama kerana saya ambil keputusan untuk menyambung pengajian ke IPT dalam bidang lain.
Rezeki untuk bergelar Teacher datang sekali lagi apabila saya membuka cawangan Al Kauthar Eduqids (AKE) ke-20 di Bukit Jalil, pada tahun 2019. Dalam masa yang sama, saya dalami bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak dan terus jatuh cinta dengan dunia perniagaan baru ni.
Alhamdulillah, sambutan juga memberangsangkan, ia menjadi perangsang semangat saya untuk terus maju mengembangkan sayap cawangan,” ujar Ainaa membuka mukadimah.
Mula terlibat dengan perniagaan sejak di bangku universiti, Ainaa rupa-rupanya pernah menjalankan perniagaan kereta sewa pada tahun 2015.
“Dulu-dulu rakan universiti yang selalu meminjam kereta saya. Daripada situ, muncul peluang baru untuk mulakan perniagaan kereta sewa sendiri secara kecil-kecilan. Selepas graduated
, saya kembangkan lagi perusahaan sehingga memiliki lebih daripada 20 buah kereta sewa dalam satu masa.”Tambah Ainaa, banyak cabaran yang pernah dilalui antaranya kereta hampir dicuri, disorok, tidak dipulangkan serta bermacam-macam lagi ragam manusia yang menyewa kenderaan.
Semuanya dihadapi dengan sabar sepanjang menjalankan perniagaan kereta sewa tersebut. Namun Allah sebaik-baik Perancang, perniagaan tersebut akhirnya terkubur berikutan fasa PKP yang mengehadkan orang ramai untuk keluar dan menyewa kereta.
Penutupan operasi kereta sewa Ainaa berganti dengan kesibukannya sebagai pengusaha tadika dan taska.
“Pada awalnya, perniagaan ini mencabar juga kerana ia melibatkan tanggungjawab dan amanah daripada ibu bapa yang sangat besar untuk dipikul. Tapi walaupun saya tidak pernah menyertai mana-mana kelas ‘business coaching’, Pengasas dan CEO AKE iaitu Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff Ibrahim serta isteri Datin Nor Fadilah Alias banyak mengajar saya dari zero sehingga saya mampu memiliki lebih daripada 8 cawangan sekarang!” kongsi Ainaa.
Wanita ini bertuah kerana di AKE, pelbagai kursus dan latihan diberikan antaranya Leadership Training, Management Training serta bermacam-macam lagi latihan untuk memantapkan ilmu dan kemahiran pengusaha.
Biarpun hanya memiliki pengalaman minimum, segala ilmu perniagaan yang dicurahkan oleh pengasasnya cukup bermakna seterusnya membantu Ainaa sebagai pengusaha, menjalankan operasi taska dan tadikanya dengan lebih profesional.
Disebabkan minat dengan ilmu pengetahuan kanak-kanak, kini Ainaa mengambil peluang melanjutkan pelajaran di dalam bidang Perkembangan Kanak-Kanak. Beliau baru sahaja graduasi pada tahun 2023 dalam jurusan BA (Hons) Early Childhood Education.
Ditanya bagaimana perasaan Ainaa apabila cawangan miliknya mula berkembang maju, beliau dalam nada teruja bercerita dengan rasa tidak percaya. “Saya yakin inilah hikmah di sebalik musibah PKP. Mulanya saya hanya memiliki satu cawangan di Bukit Jalil.
Saya rasa tak percaya pada tahun 2020 dan dalam tempoh yang singkat, saya mampu memiliki cawangan kedua. Memang gembira yang amat dan saya bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT berikan kepada saya.
Tapi yang paling membanggakan adalah saya berjaya merealisasikan impian mentor saya, Datin Nor Fadilah untuk melahirkan guru-guru tadika yang berkualiti dan menjadi usahawan. Impian itu terlaksana apabila saya berjaya membuka cawangan baru untuk teacher-teacher saya bersama saya,” katanya dengan gembira.
Saksikan temu bual eksklusif bersama Ainaa sewaktu sesi fotografi baru-baru ini…
“Tapi yang paling membanggakan adalah saya berjaya merealisasikan impian mentor saya, Datin Nor Fadilah Alias untuk melahirkan guru tadika berkualiti dan menjadi usahawan,” luah wanita hebat yang jatuh cinta dengan bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak tersebut.
Bagi Ainaa, mengasuh dan mendidik kanak-kanak menuntut kesabaran serta kasih sayang dan minat yang tinggi. Energi luar biasanya menjadikan beliau penerima Nona Best Young Edupreneur Award dalam Nona Superwoman Award 2024 ✨
#majalahnona
#nonasuperwoman
#nonasuperwomanaward
#nonasuperwomanaward2024″ />
Dalam mana-mana perniagaan pasti ada ujian dan cabaran yang perlu ditempuhi. Bagi Ainaa, detik paling struggle adalah ketika dirinya berdepan ragam manusia. Umpamanya ragam kanak-kanak, guru tadika atau taska, ibu bapa dan orang sekeliling.
“Pada saya, guru-guru perlu sentiasa diberikan suntikan semangat, pengetahuan dan hala tuju yang jelas untuk memastikan mereka menjadi guru yang berdedikasi, bertauladan dan berpendidikan.
Dan cabaran apabila berhadapan dengan ibu bapa pula untuk mereka percaya dan memilih AKE sebagai tadika atau taska yang selamat sebagai pusat perkembangan awal kanak-kanak. Ini termasuklah dari segi silibus pembelajaran, program luar bersama ibu bapa serta sebagainya, yang berkaitan dengan anak-anak yang dihantar ke tempat kami.
It’s all about passion. Passion is energy and feel the power that comes from focusing on what excites you. Jadi pada saya, pengalaman mengasuh dan mendidik kanak-kanak memerlukan kesabaran serta kasih sayang disamping passion yang tinggi. Bahkan dalam mengasuh dan mendidik kanak-kanak, kita perlukan ilmu untuk memahami dunia mereka bagi memastikan perkembangan awal yang positif.
Minda yang cergas menjadikan kanak-kanak membesar dengan sihat dan kuat. Saya percaya gabungan ini pasti melahirkan pelapis generasi yang cemerlang,” kata Ainaa yang pernah menerima anugerah Best in Early Childhood Education Services oleh Malaysia Education & TVET Award 2024, baru-baru ini.
Mengakui bukan mudah untuk menguruskan masa bagi mengimbangi kerjaya, keluarga serta anak-anak, Ainaa mengungkap penghargaan tidak ternilai buat suami tercinta. “Suami saya banyak membantu dari belakang sepanjang saya menjalankan perniagaan.
Beliau banyak memberi nasihat dan kata-kata semangat agar saya tidak mudah berputus asa. Begitu juga guru-guru dan team saya, tanpa mereka belum tentu saya mampu untuk berjaya. Ada waktunya jika saya down atau penat, merekalah yang menjadi pembakar semangat agar terus berjuang bersama-sama. Tak lupa juga Dato’ dan Datin yang sentiasa memberi tunjuk ajar serta bimbingan kepada saya.
Biasanya saya sering mengimbangi masa dengan merancang waktu ‘me time’ sambil beriadah atau membuat kebajikan bersama keluarga. Selain itu juga, program-program AKE seperti hari sukan, konsert serta acara amal AKE Care turut memberi ruang untuk saya menghabiskan masa dengan keluarga dan anak-anak.
Alhamdulillah di AKE, kami sebagai pengusaha dapat sama-sama melakukan program kemasyarakatan atau kesukarelawanan. Hampir semua program anjuran AKE Care saya sertai dan yang paling melekat di fikiran adalah ketika kami bersahur dan berbuka puasa di perkampungan Orang Asli Pos Kuala Mu, Perak pada hujung minggu pertama bulan Ramadan,” ungkap Ainaa.
Mengakhiri temu bual, ibu muda ini berazam mahu melatih guru-guru di bawahnya agar mereka mampu menjadi rakan perniagaan dengan membuka tadika atau taska sendiri. Ainaa tekad ingin terus memberi panduan dan mengubah mindset mereka daripada seorang guru kepada usahawan. Berkat pengalaman dan pengetahuan yang mencukupi, pastinya impian yang direncana dapat direalisasikan, suatu hari nanti.
“Saya percaya superpower saya adalah kemampuan untuk beradaptasi dengan cepat dalam situasi yang berbeza. Saya sentiasa bersedia untuk belajar dan berkembang serta mendepani segala cabaran dengan positif. Selain itu, saya juga berusaha untuk menjadi sumber inspirasi bagi orang lain di sekeliling saya, terutamanya di kalangan guru-guru dengan menunjukkan bahawa kita semua memiliki potensi untuk berjaya. Yang penting, set your goal, mission and vision,” akhiri Ainaa yang menyifatkan setiap usahawan perlu ada team untuk bergelar Superwoman, kerana team yang kuat pasti dapat menempuhi segala halangan dengan mudah.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/tinggal-kerjaya-pegawai-perubatan-kerajaan-kini-dr-wan-hidayu-pengasas-klinik-nur-raisha/
This website uses cookies.