Di sebalik rupa paras cantik dan perwatakan happy go lucky, Suzana Zainan atau lebih dikenali sebagai Ana yang merupakan peserta Top 9 Program Realiti Digital Pencarian Make Up Artist Fabulous MUA Nona x FCC ini rupa-rupanya sudah pun bergelar nenek. Kelu lidah penulis saat mengetahui status sebenar Ana ditambah pula kisah hidupnya yang pernah menjadi ibu tunggal selama lebih sedekad! Ya Tuhan, sungguh kental jiwa dan semangat wanita ini.
Merupakan peserta paling berusia, tidak keterlaluan jika penulis mengatakan dia juga peserta paling ceria sepanjang pertandingan ini berlangsung. Bahkan sejak dari sesi ujibakat, Top 30 dan Top 9… Ana antara individu yang berjaya menarik perhatian juri serta menjadi pencabar utama kepada peserta-peserta lain. Mungkin kerana kematangan yang dimiliki selain pengalaman Ana yang sudah menceburi bidang kosmetik dan solekan lebih 13 tahun lalu.
Ads
Berkesempatan mendekati sisi peribadi Ana, wanita berusia 42 tahun ini nyata cukup terbuka berkongsi pengalaman hidup. Sambil tersenyum dan dengan nada tenang, dia menyusun bicara, “Saya ada empat orang anak. Tiga perempuan dan satu lelaki. Yang sulung dan kedua perempuan umur 25 dan 24 tahun, anak ketiga lelaki; lapan tahun, sementara anak paling kecil, perempuan… umur tujuh tahun.
Jarak umur anak pertama dan kedua tu jauh daripada anak ketiga sebab lepas berkahwin kali kedua, baru saya dapat anak lelaki. Sebelum perkahwinan kedua, saya dah jadi ibu tunggal selama 12 tahun. Pada saya, dunia solekan ni memang cukup dekat dengan jiwa saya sebab dengan kerjaya inilah saya besarkan anak-anak sepanjang bergelar ibu tunggal dulu.
Saya kahwin umur 17 tahun dan bercerai ketika 21 tahun. Iyalah, orang perempuan ni cepat rasa serik… jadi saya takut untuk kahwin semula lepas bercerai. Lagipun waktu itu dua anak perempuan saya masih kecil. Saya nekad untuk membesarkan mereka seorang diri sampailah usia 15 tahun. Bila mereka dah pandai bawa diri baru saya fikir untuk kahwin kali kedua. Alhamdulillah untuk perkahwinan kali kedua ini saya dikurniakan dua orang anak dan usia perkahwinan pun masuk tahun ke-10.”
Tambah Ana lagi, “Perancangan Allah SWT sememangnya yang terbaik. Lepas kahwin semula, saya dapat mak mertua yang baik dan sokong apa juga yang saya buat. Hinggakan hendak masuk pertandingan ini pun dia support… fully support. Dan saya juga berterima kasih dengan mak saya sebab dia yang tolong jaga anak-anak bila saya pergi kerja. Masa tu, dua anak perempuan saya baru umur tiga tahun.
Alhamdulillah, kedua-dua anak perempuan saya tamat belajar sampai degree. Seorang bekerja dalam bidang retail, seorang lagi kerja perbankan. Oh, saya juga ada cucu seorang! Anak perempuan kedua saya dah kahwin dan sekarang cucu saya dah 10 bulan. Saya bersyukur sebab diberikan kehidupan yang penuh warna-warni. Orang tengok saya seorang yang fun, tapi dalaman… hanya Allah yang tahu sebab saya lebih selesa tak tunjuk suka duka yang pernah saya lalui dekat orang.”
Pernah berkhidmat dengan syarikat jenama kosmetik terkenal tidak lama dulu, Ana juga mempunyai Diploma dalam lulusan solekan dan dandanan. Sebaik diajukan pertanyaan mengenai harapannya dalam bidang ini, Ana dengan lantang menitipkan pesanan berikut.
Ads
“Harapan saya kepada semua yang ada niat nak jadi seorang make up artist… persiapkan diri anda dengan semua segi termasuk ilmu. Bila buat make up, bukan fikir tentang duit semata-mata. Paling utama kena ada minat, lepas tu kena tahu yang solekan ini melibatkan seni dan keyakinan orang terhadap diri kita sendiri.
Mahu atau tak, make up artist kena ada pengetahuan dari segi tentang macam mana hendak faham sikap dan gelagat orang yang kita mekap. Bukan dari sudut mekap saja tapi kena tahu bagaimana untuk handle emosi mereka. Kerjaya ini bukan main-main. Perbetul niat dan inshaAllah kita bukan saja dapat jana pendapatan tapi juga dapat penghormatan dari orang lain.”
Saksikan Ana dan lapan lagi peserta yang bertanding dalam Fabulous MUA Nona x FCC bagi merebut gelaran juara program realiti digital pencarian make up artist pertama di Malaysia ini. Fabulous MUA Nona x FCC bakal bersiaran menerusi platform digital Majalah Nona. Antaranya di Youtube, Facebook dan laman web rasmi Majalah Nona bermula 1 November ini, jam 8 malam. Pertandingan ini dihoskan oleh Fiza Frizzy manakala Pengarah Urusan FCC, Ili Zawani Ismail dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak selaku juri tetap.
Ads
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Keprihatinan dan jiwa murni yang menebal dalam diri Dato’ Dr Hartini Zainudin mendorongnya bergiat aktif dalam dunia kebajikan sejak lebih 30 tahun lalu. Tidak mengharapkan sebarang liputan dan perhatian, jauh sekali pengiktirafan terhadap kerja-kerja kemanusiaan yang dilakukan berdekad lamanya, Dato’ Dr Hartini bagaimana pun bersyukur Yayasan Chow Kit berjaya membantu dan memberi perlindungan kepada 10,000 kanak-kanak sejak ia ditubuhkan.
Selaku Pengasas Yayasan Chow Kit, Dato’ Dr Hartini menjalin kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), agensi kerajaan dan korporat serta beberapa NGO lain demi memastikan misi penubuhannya tercapai.
Berkongsi suka duka menguruskan badan amal itu selama 17 tahun, pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Monitoring and Assessment (Education) dari Columbia University, New York ini membuka bicara.
“Yayasan Chow Kit adalah sebuah komuniti yang saling menjaga di antara satu sama lain dan mementingkan hubungan kekeluargaan. Saya sangat sayangkan kanak-kanak. Tak kisah walau apa pun terjadi, saya tetap sayangkan mereka.
Saya beri jaminan yang kanak-kanak di bawah jagaan kami berada dalam keadaan selamat, dijaga dengan baik dan penuh kasih sayang. Ada yang tanya, kenapa kanak-kanak di sini tak nampak kotor dan selalu gembira. Itu bermakna kami buat kerja,” ulas Dato’ Dr Hartini sambil tertawa.
Ditanya mengapa bidang kebajikan kanak-kanak menjadi pilihan sedangkan mempunyai kelulusan tinggi dari luar negara, ini jawapan jujur Dato’ Dr Hartini. “Arwah ayah pernah tanyakan perkara sama kepada saya dulu. Jawapannya mudah, sebab saya ada peluang dan tidak pernah menyangka ada kanak-kanak terpinggir, tak bersekolah dan tak makan di Malaysia.
Saya pernah bekerja dengan United Nations (UN) yang membantu golongan kanak-kanak pelarian tapi saya balik ke Malaysia semula sebab ini cara saya untuk menyumbang kepada masyarakat. Ini juga adalah minat saya dan saya tak boleh masuk ke bidang lain walau dah cuba. Jadi, bidang ini saja yang saya mahu buat.”
Yayasan Chow Kit kini beroperasi di dua buah tempat iaitu Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) dan Kuala Lumpur Krash Pad (KLKP) serta sebuah rumah perlindungan. PAKK menempatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dengan memberikan mereka persekitaran sihat untuk pembelajaran dan bermain. Sementara KLKP pula dikhaskan untuk golongan remaja berusia 13 hingga 18 tahun.
Lebih tiga dekad bergelumang dalam kerja-kerja kebajikan, pelbagai kisah menyayat hati yang disimpan kemas Dato’ Dr Hartini. Ugutan dan berselisih pendapat dengan pihak berkuasa bagaikan sudah sebati dengan dirinya sepanjang perjuangan murni ini.
“Ada seorang ayah ini cuba jual anak dan dia masuk penjara selama dua bulan. Masa dia keluar 100 kali dalam sehari dia mesej ugut dan ikut saya. Saya terpaksa dapatkan perlindungan daripada polis selama dua minggu. Sudahnya saya terpaksa sembunyikan anak-anak daripada ayah mereka dan saya tak datang kerja selama beberapa bulan.
Mengulas harapan terhadap kanak-kanak di bawah jagaannya andai suatu hari nanti dia tiada lagi di sisi, Dato’ Dr Hartini dalam nada sebak meluah isi hati.
“Saya suka buat kebajikan. Saya mahu kanak-kanak ini buat yang terbaik bukan saja untuk keluarga tetapi juga kepada masyarakat. Saya tak pernah paksa mereka tapi harap-harap ada di antara kanak-kanak yang saya ajar dan jaga ini meneruskan perjuangan saya supaya tiada lagi kanak-kanak yang terpinggir, terbiar dan menderita di negara kita.”
Sepanjang pembabitan dalam bidang ini, Dato’ Dr Hartini terbuka hati mengambil enam orang kanak-kanak sebagai anak angkat. Kini mereka hidup selesa dan menginjak usia remaja selain amat menyayangi insan berjiwa murni ini yang sudah pun dianggap seperti ibu mereka.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Saat kebanyakan selebriti berjuang mengharungi pandemik Covid-19 yang serba mencabar ketika ini, perjalanan kerjaya Noor Neelofa Mohd Noor terus gah bagai tiada halangan.
Saban tahun ada sahaja kejayaan membanggakan yang diraih selebriti cantik ini yang bukan sekadar mengharumkan nama negara bahkan mengangkat martabat wanita muslimah di persada dunia.
Terbaharu, satu lagi pengiktirafan besar diberikan kepada Neelofa apabila dia dilantik sebagai Duta Rantau Asia Tenggara Pertama bagi jenama produk kecantikan Perancis, Lancome! Luar biasa aura pengacara popular ini.
Lebih manis, Neelofa bukan sahaja menjadi rakyat Malaysia pertama mewakili jenama tersebut di peringkat Asia Tenggara malah menjadi wanita berhijab pertama yang menerima pelantikan berkenaan. Dia yang ditemani ibu tersayang, Datin Noor Kartini dan kakaknya, Noor Nabila dilihat menitiskan air mata kegembiraan ketika pengumuman berita gembira itu dibuat.
Mengulas mengenai statusnya sebagai Duta Lancome bagi rantau Asia Tenggara, Neelofa berkata perkara tersebut diketahuinya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu. “Saya dapat berita ini ketika tempoh PKP lepas. Wakil jenama Lancome datang ke rumah dan menangis terharu dengan pelantikan ini.
Sebelum ini, kita tahu wajah wanita berhijab Asia Tenggara tak pernah dipandang. Wakil jenama ini terharu kerana selebriti Malaysia dipilih menjadi duta untuk rantau Asia Tenggara. Sudah tentu, ia suatu perkara yang besar. Sejujurnya, saya tercengang waktu itu dan bertanya sama ada pemilihan ini sudah muktamad atau sebaliknya.
Ikutkan waktu penggambaran video sebagai Duta baru tempoh hari pun saya belum rasa apa-apa lagi tapi bila diumumkan secara rasmi di depan rakan-rakan media dan ahli keluarga yang hadir, saya akui tak dapat menahan daripada mengalirkan air mata,” ujarnya sambil tertawa.
Mengimbas kembali pembabitan Neelofa bersama Lancome sejak tahun 2017, personaliti dan pengaruh yang dimiliki usahawan Naelofar ini menjadi antara faktor utama dia dipilih sebagai Duta. Apatah lagi Neelofa sememangnya terkenal sebagai seorang selebriti yang bijak, cantik dan lantang menyuarakan idea baharu.
“Memecahkan tradisi bukanlah perkara mudah. Apabila menjadi orang pertama dalam sesuatu, orang akan memberi pandangan dari segi pujian dan kecaman berbeza. Tetapi, perkara menarik adalah perasaan teruja yang dilalui.
Menjadi wanita berhijab pertama mewakili rantau Asia Tenggara bukan sahaja membuatkan saya bangga sebagai rakyat Malaysia malah orang Islam. Ini kerana untuk produk antarabangsa memandang wanita hijab untuk mewakili jenama mereka di peringkat Asia Tenggara sukar dijangka. Ia juga bermakna mereka memberi perhatian kepada pasaran orang Muslim.”
Dalam pada itu, Neelofa turut mendedahkan akan menjadi wajah kempen Aidilfitri 2021 yang tidak hanya untuk pasaran Malaysia tetapi juga di Singapura dan Indonesia. “Ini adalah kali pertama Lancome mengangkat perayaan Hari Raya. Sebelum ini mereka ada kempen Krismas dan Tahun Baharu Cina tetapi tidak Aidilfitri.
Jadi, ia satu kebanggaan buat saya apabila Lancome mengangkat perayaan orang Islam. Saya nampak pembaharuan ini adalah sebagai satu jihad apabila meletakkan nama Islam dan wanita berhijab di mata dunia. Saya berharap jalinan kerjasama ini boleh mendapat keberkatan daripada-Nya.”
Tahniah Neelofa! Semoga terus melangkah maju di persada dunia dan memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Keseronokan barangkali tidak wujud dalam kamus penghidap gout. Sakitnya tidak terperi, menyucuk dan menikam sehingga seluruh jiwa tertekan.
Bermula dengan kesakitan teruk di bahagian ibu jari kaki, serangan selalunya berlaku secara tiba-tiba diikuti rasa panas dan membengkak.
Kata mereka yang menderitainya, bukan saja sukar berjalan, malah tergeser selimut pun sudah amat menyeksakan!
Tercatat sebagai salah satu di antara penyakit yang paling lama dihidapi oleh manusia, gout tercetus akibat asid urik berlebihan di dalam badan. Asid urik ini merupakan bahan kumuhan yang berasal dari sejenis protein yang dipanggil purin.
Jika lazimnya tubuh kita menyingkirkan bahan kumuhan ini melalui air kencing, tetapi bagi penghidap gout, asid itu tidak dibuang tetapi berkumpul di dalam sendi.
Laporan kes gout mendapati ia jarang sekali dialami oleh kaum wanita sebelum menopaus. Sebaliknya, gout sering menyerang kaum lelaki dalam lingkungan usia 30 ke 60 tahun. Antara tanda-tandanya:
Sakit menyerang ibu jari kaki.
Sendi yang diserang menjadi bisa.
Sakit berlarutan sehingga 1-2 minggu jika tanpa rawatan.
Boleh menyerang sendi-sendi lain seperti buku lali, lutut, pergelangan tangan dan jari.
PUNCA
Timbunan sisa asid urik berlebihan dalam darah (hyperuricemia) atau jika buah pinggang gagal menghapuskannya dalam kuantiti yang besar boleh membentuk kristal yang berkumpul di dalam sendi, buah pinggang, kulit dan tisu lembut yang lain.
Sesetengah makanan berprotein tinggi dan minuman seperti teh, kopi dan koko juga boleh menghasilkan asid urik berlebihan, selain perubahan mendadak dalam diet atau penurunan berat badan secara drastik akan meningkatkan risiko gout.
Penghidap gout juga sering menghidapi masalah kesihatan lain seperti kegemukan, darah tinggi, hiperlipidemia dan diabetes. Selain modifikasi diet, rawatan di bawah boleh dilakukan untuk menyembuhkan gout.
Rehatkan sendi semasa serangan gout.
Ubat-ubatan anti-radang berkesan untuk mengurangkan sakit dan keradangan sendi.
Colchicine (boleh menyebabkan loya, muntah dan cirit-birit).
Steroid.
Sentiasa peka terhadap tanda-tanda awal serangan. Jika rawatan dimulakan awal, penyakit ini tidak akan melarat.
RAWATAN JANGKA PANJANG
Oleh kerana gout disebabkan oleh asid urik yang berlebihan dalam badan, anda haruslah mengelakkan faktor-faktor yang boleh menambahkan paras asid urik.
Menjaga berat badan – kegemukan boleh mengganggu keupayaan badan untuk mengeluarkan asid urik yang berlebihan.
Eelakkan minuman keras.
Elakkan pengambilan makanan yang tinggi purin seperti organ dalaman haiwan (hati, paru-paru, ginjal), ikan bilis, ikan kembung atau sardin, daging cincang, ekstrak daging (Marmite atau kiub rebusan daging) serta makanan laut seperti ketam, udang dan kerang.
Kurangkan pengambilan makanan seperti asparagus, bunga kubis, cendawan dan bayam, kekacang, ayam serta bijirin.
PENCEGAHAN
Amalkan gaya hidup sihat untuk memastikan paras asid urik yang normal dan mengelak dari penyakit yang berhubungkait dengan gout.
Ambil allopurinol secara berterusan. Jangan mengubah atau menghentikan dos allopurinol semasa serangan gout.
Minum banyak air.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...