Di sebalik rupa paras cantik dan perwatakan happy go lucky, Suzana Zainan atau lebih dikenali sebagai Ana yang merupakan peserta Top 9 Program Realiti Digital Pencarian Make Up Artist Fabulous MUA Nona x FCC ini rupa-rupanya sudah pun bergelar nenek. Kelu lidah penulis saat mengetahui status sebenar Ana ditambah pula kisah hidupnya yang pernah menjadi ibu tunggal selama lebih sedekad! Ya Tuhan, sungguh kental jiwa dan semangat wanita ini.
Merupakan peserta paling berusia, tidak keterlaluan jika penulis mengatakan dia juga peserta paling ceria sepanjang pertandingan ini berlangsung. Bahkan sejak dari sesi ujibakat, Top 30 dan Top 9… Ana antara individu yang berjaya menarik perhatian juri serta menjadi pencabar utama kepada peserta-peserta lain. Mungkin kerana kematangan yang dimiliki selain pengalaman Ana yang sudah menceburi bidang kosmetik dan solekan lebih 13 tahun lalu.
Berkesempatan mendekati sisi peribadi Ana, wanita berusia 42 tahun ini nyata cukup terbuka berkongsi pengalaman hidup. Sambil tersenyum dan dengan nada tenang, dia menyusun bicara, “Saya ada empat orang anak. Tiga perempuan dan satu lelaki. Yang sulung dan kedua perempuan umur 25 dan 24 tahun, anak ketiga lelaki; lapan tahun, sementara anak paling kecil, perempuan… umur tujuh tahun.
Jarak umur anak pertama dan kedua tu jauh daripada anak ketiga sebab lepas berkahwin kali kedua, baru saya dapat anak lelaki. Sebelum perkahwinan kedua, saya dah jadi ibu tunggal selama 12 tahun. Pada saya, dunia solekan ni memang cukup dekat dengan jiwa saya sebab dengan kerjaya inilah saya besarkan anak-anak sepanjang bergelar ibu tunggal dulu.
Saya kahwin umur 17 tahun dan bercerai ketika 21 tahun. Iyalah, orang perempuan ni cepat rasa serik… jadi saya takut untuk kahwin semula lepas bercerai. Lagipun waktu itu dua anak perempuan saya masih kecil. Saya nekad untuk membesarkan mereka seorang diri sampailah usia 15 tahun. Bila mereka dah pandai bawa diri baru saya fikir untuk kahwin kali kedua. Alhamdulillah untuk perkahwinan kali kedua ini saya dikurniakan dua orang anak dan usia perkahwinan pun masuk tahun ke-10.”
Tambah Ana lagi, “Perancangan Allah SWT sememangnya yang terbaik. Lepas kahwin semula, saya dapat mak mertua yang baik dan sokong apa juga yang saya buat. Hinggakan hendak masuk pertandingan ini pun dia support… fully support.
Dan saya juga berterima kasih dengan mak saya sebab dia yang tolong jaga anak-anak bila saya pergi kerja. Masa tu, dua anak perempuan saya baru umur tiga tahun.Alhamdulillah, kedua-dua anak perempuan saya tamat belajar sampai degree. Seorang bekerja dalam bidang retail, seorang lagi kerja perbankan. Oh, saya juga ada cucu seorang! Anak perempuan kedua saya dah kahwin dan sekarang cucu saya dah 10 bulan. Saya bersyukur sebab diberikan kehidupan yang penuh warna-warni. Orang tengok saya seorang yang fun, tapi dalaman… hanya Allah yang tahu sebab saya lebih selesa tak tunjuk suka duka yang pernah saya lalui dekat orang.”
Pernah berkhidmat dengan syarikat jenama kosmetik terkenal tidak lama dulu, Ana juga mempunyai Diploma dalam lulusan solekan dan dandanan. Sebaik diajukan pertanyaan mengenai harapannya dalam bidang ini, Ana dengan lantang menitipkan pesanan berikut.
“Harapan saya kepada semua yang ada niat nak jadi seorang make up artist… persiapkan diri anda dengan semua segi termasuk ilmu. Bila buat make up, bukan fikir tentang duit semata-mata. Paling utama kena ada minat, lepas tu kena tahu yang solekan ini melibatkan seni dan keyakinan orang terhadap diri kita sendiri.
Mahu atau tak, make up artist kena ada pengetahuan dari segi tentang macam mana hendak faham sikap dan gelagat orang yang kita mekap. Bukan dari sudut mekap saja tapi kena tahu bagaimana untuk handle emosi mereka. Kerjaya ini bukan main-main. Perbetul niat dan inshaAllah kita bukan saja dapat jana pendapatan tapi juga dapat penghormatan dari orang lain.”
Saksikan Ana dan lapan lagi peserta yang bertanding dalam Fabulous MUA Nona x FCC bagi merebut gelaran juara program realiti digital pencarian make up artist pertama di Malaysia ini. Fabulous MUA Nona x FCC bakal bersiaran menerusi platform digital Majalah Nona. Antaranya di Youtube, Facebook dan laman web rasmi Majalah Nona bermula 1 November ini, jam 8 malam. Pertandingan ini dihoskan oleh Fiza Frizzy manakala Pengarah Urusan FCC, Ili Zawani Ismail dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak selaku juri tetap.
This website uses cookies.