Sudah agak lama meninggalkan dunia seni, namun nama pengacara dan pelakon, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot masih disebut-sebut memandangkan selebriti tersebut aktif di laman sosial meskipun menetap di Australia.
Wardina yang kini bergelar psikologi bertauliah dan menetap di Brisbane ini berkongsi khabar gembira apabila pada awal September, keluarganya menerima kehadiran menantu.
“Alhamdulillah segala puji bagi ALLAH. Seperti yang anda semua tahu, saya menghargai kehidupan peribadi dan suka menyimpannya.
“Bagaimanapun, saya ingin berkongsi berita gembira dan memohon semua mendoakan Amna dan anak (menantu) Yusuf yang tersayang.
“Semoga ALLAH merahmati penyatuan mereka dan melindungi. Saya benar-benar bersyukur kepada ALLAH atas segala kurniaan-NYA,” kongsi Wardina yang memuat naik foto Amna pada majlis akad nikah.
Untuk rekod, anak sulung Wardina, Amna Nafeesa mendirikan rumahtangga bersama pasangannya, Yusuf pada tanggal 3 September lalu. Majlis pernikahan pasangan tersebut dikongsikan oleh Wardina dan pernikahan dijalankan di salahs ebuah masjid di sana.
Amna Nafeesa kelihatan mengenakan busana baju kurung rona putih manakala suaminya memakai coat rona hitam di majlis akad nikah tersebut. Wanita kacukan Australia dan Melayu itu menzahirkan kesyukuran menerima kehadiran menantu di dalam keluarganya itu.
Bergelar ibu mentua pada usia 44 tahun, Wardina turut menitipkan doa buat permata hati sulung, Amna Nafeesa dan menantunya.
“My darling Amna. Anakku Yusuf yang tersayang, kamu telah membawa banyak barakah ke dalam hidup kami dan orang-orang di sekeliling. Semoga ALLAH terus merahmati kamu dan keluarga.
Untuk rekod, Wardina berkahwin dengan arkitek, Ikhwan Johari pada September 2002 dan pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Amna Nafeesa, Azra Sareera dan Imran Arrazi.
Selain memiliki kelulusan dalam bidang psikologi, bekas peserta Dewi Remaja 1997/98 ini juga menggenggam ijazah dalam bidang hiasan dalaman daripada Centre for Advance Design (CENFAD) Kuala Lumpur.
This website uses cookies.