Faktor usia bukanlah halangan buat selebriti jelita, Vanidah Imran menggenggam Master. Kejayaan beliau turut sekaligus membuktikan bahawa anak seni juga berpelajaran tinggi.
Merupakan bekas naib juara Miss World Malaysia 1993, Vanidah yang mesra disapa Vee, baru saja menerima Sarjana Seni Persembahan (Drama) di Istiadat Konvokesyen ke-61 Universiti Malaya pada Mac lepas.
Beliau sebelum ini memperoleh Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dari Universiti Terbuka Malaysia (2015).
Berasal dari Pulau Pinang, kejayaan Vee yang merupakan ibu kepada Mikail dan Maryam cukup menyuntik inspirasi. Bahkan beliau turut menjadikan semangat bapanya, Haji Imran Abdullah sebagai motivasi untuk terus belajar ke tahap tertinggi.
Lebih sebak bila membaca perkongsian Vee tentang hasrat Abahnya yang tak kesampaian menggenggam Master dulu…
Vee di sisi Abah kesayangannya
“Saya tujukan kejayaan ini buat cinta pertama saya, iaitu Abah saya sendiri, Haji Imran Abdullah @ Indiran Koothayan.
Ads
Abah pernah melanjutkan pengajian beliau ke peringkat Master sewaktu arwah ibu jatuh sakit dan dikesan menghidap kanser.
Ketika itu, saya baru berumur 3 tahun sementara adik baru berumur 10 bulan ketika arwah ibu meninggal dunia. Abah terpaksa bekerja sambil menjaga kami dua beradik (dengan bantuan nenek).
Dalam masa yang sama Abah sangat bersedih dengan kehilangan isteri tercinta. Akhirnya beliau tidak dapat meneruskan pengajian tersebut.
Abah, hari ini saya di sini kerana kasih sayang, restu, redha dan berkat doa Abah untuk saya. Terima kasih kerana menjadi sangat tegas tentang menjaga maruah diri dan keluarga.
Ads
Semoga Allah SWT panjangkan umur dan berikan kesihatan yang baik kepada Abah hingga akhir perjalanan saya ke peringkat PhD. InshaAllah… Amin, saya sayang Abah.
Untuk anak-anakku, Mikail dan Maryam… Kejayaan, malah hidup itu sendiri, tidak akan bermakna tanpa kehadiran kalian berdua. Hidup ibu akan sentiasa bersama anak-anak ibu, no matter how big you get.” Vanidah Imran
Insan-insan penting dalam hidup Vee
Bersama anak-anak, Mikail dan Maryam
Ads
Siapa bilang anak seni tak mementingkan pelajaran? Kini bekas pelajar Convent Bukit Nanas itu membuktikan tanggapan negatif masyarakat silap.
Selepas melalui pelbagai halangan, kejayaan Vee menggenggam Master pastinya menjadi kenangan termanis buat pelakon, model dan pengacara terkenal itu.
Majlis yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor pada 5 hingga 13 Mac melibatkan lebih 7,000 graduan yang menamatkan pengajian pada tahun 2021.
Selain itu beliau juga membuktikan bahawa usia bukanlah halangan untuk terus belajar ke peringkat tertinggi. Vee kini berusia 49 tahun tapi masih yakin akan kemampuan dirinya menambah ilmu pengetahuan.
Bercakap tentang rancangan masa depan, Vee yang kini masih aktif berlakon merancang untuk meneruskan pengajian beliau ke peringkat lebih tinggi sekaligus memberi manfaat kepada orang lain. Syabas!
Tampil sebagai cameo dalam filem ‘Padang Kertas’
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam hidup ini tiada seorang pun yang sepi daripada ujian. Cuma bentuk ujian yang menimpa itu berbeza atas seorang daripada seorang yang lain. Ada yang Allah berikan ujian kecil, ada pula ujiannya besar.
Ada yang Allah pendekkan ujiannya dan ada yang berlarutan. Malah ada juga yang ujiannya datang bertimpa-timpa, bak kata pepatah sudah jatuh ditimpa tangga pula. Bagi yang nipis imannya, mereka pastinya akan mengeluh, merungut dan merintih.
Habis semua orang tahu yang dirinya itu sedang dilanda ujian. Semua orang dipersalahkan malah Allah juga turut dipersalahkan juga. Satu-satunya orang yang tidak dipersalahkan adalah dirinya sendiri.
Kualiti diri seseorang itu terserlah saat dia diuji. Ketika itu nampak berbeza antara kaca dengan permata. Waktu senang, bahagia, berharta, berkuasa, berdarjat, berpangkat dan berduit, kita boleh berkata apa sahaja. Kita boleh kata yang kita seorang positif, sabar, terbuka dan sebagainya.
Rasa down dan putus ada sememangnya ditolak ke tepi buat Izanasma Zaaba apatah lagi apabila berhadapan dengan dugaan Yang Maha Esa apabila disahkan menghidap barah payudara pada tahun 2013. Sebagai hambaNYa, Emma yakin setiap ujian yang datang ada hikmahnya dan ia sekaligus membawa dirinya ke satu tahap yang lebih baik dari sehari ke sehari.
“Perasaan sedih dan terkejut sememangnya reaksi awal saya apabila disahkan menghidap barah payu dara. Sudah tentu wujud perasaan sedih memandangkan ia adalah fitrah insani. Namun dengan sedih tidak semestinya saya rebah.
Saya yakin, kesedihan sementara itu adalah untuk menghapuskan dosa-dosa silam. Kesabaran menghadapi ujian ini juga adalah pahala yang takkan putus. Alhamdulillah, saya masih diberikan kekuatan oleh Allah,” ujarnya ketika penulis cuba menyelami perasaannya tatkala menerima perkhabaran doktor mengenai penyakit yang dialaminya itu.
Mengimbas kembali detik tatkala permata kali disahkan menghidap kanser pada tahun 2013, menurut Emma perkhabaran doktor mengenai penyakit tersebut telah banyak menganggu emosinya memandangkan dia mempunyai anak-anak dan keluarga yang amat memerlukan dirinya pada ketika itu.
“Pertama kali saya disahkan menghidap kanser adalah pada tahun 2013. Ketika itu, emosi saya amat terganggu dan saya kerap bersedih. Mana tidaknya, saya memikirkan soal anak-anak dan timbul pelbagai persoalan bersarang di benak.
Sempatkah mereka membesar dan berjaya di depan mata saya? Sempatkah saya menyaksikan semua itu dan menikmatinya. Sekalian bentuk over thinking kerap mengganggu emosi,” ujar Emma yang banyak membuat kajian melalui rujukan buku dan internet mengenai penyakitnya untuk menambahkan ilmu bagi berhadapan dengan situasi getir itu.
Emma menjalani rawatan termasuklah membuang payudara kirinya pada tahun 2013 selain mastectomy pada tahun 2017. “Ditakdirkan pada tahun 2017, sel kanser kembali menyerang, dan kali ini ia lebih sulit.
Pada ketika itu, saya berhadapan dengan ujian apabila bercerai dengan suami dan menghadapi dugaan ini sambil disaksikan oleh anak-anak. Saat saya berhadapan dengan masalah kesihatan ini sudah pastinya saya amat memerlukan sokongan tetapi sebagai wanita dan ibu tunggal, saya gagahkan juga kerana saya sudah tekad untuk keluar dari belenggu menjadi mangsa dalam keganasan rumahtangga,” ujar Emma yang sememangnya mempunyai semangat yang kuat untuk merubah nasibnya walaupun sedang bergelut dengan masalah kesihatan. Dalam situasi bergelut masalah rumahtangga dan kesihatan, wanita tabah ini banyak belajar mengenai kehidupan.
Perasaan redha dan pasrah menjadi kekuatan untuk dirinya menerima ketentuan dan musibah. Malah, dalam mencari kekuatan, sokongan dari keluarga tersayang menjadi azimat untuk dirinya kekal positif dan berani berhadapan dengan apa jua situasi yang mendatang.
“Saya amat positif dalam menjalani kehidupan seharian. Untuk memastikan kekal positif, harus ada semangat. Semangat saya tentulah keluarga. Saya juga berazam untuk hidup dengan lebih bermakna kerana masih banyak perkara yang belum saya selesaikan.
Apabila kita mempunyai target atau tujuan, kita bersemangat dan enjoy untuk laksanakannya sehingga kita lupa segala masalah yang berlaku. Itulah kunci rahsia positivity perjuangan hidup saya. Saya juga tidak menjadikan sakit sebagai alasan untuk tidak fokus terhadap kerjaya dan minat,” ujar Emma penuh ceria.
Sebelum mengakhiri perbualan, Izanasma sempat menitipkan pesanan yang berguna untuk direalisasikan dalam kehidupan seharian. Menurutnya, kunci kehidupan yang positif yang dimilikinya hari ini bertitik tolak dari perasaan sabar dan yakin terhadap segala hikmah yang terjadi terhadap dirinya.
“Disebalik kesusahan ada kesenangan, itu janji Allah. Bertawakkallah dan rujuk pakar perubatan yang diiktiraf jika terdapat sebarang perubahan kesihatan. Apa yang penting, jauhi tekanan kerana ia merupakan musuh utama sikap positif.
Jika seseorang itu stres, ia akan membangkitkan aura negatif, punca segala penyakit. Percaya atau tidak namun begitulah rutinnya.Segalanya terletak pada pemikiran kita. Hindari stress, sihatkan juga mental dan emosi. Selain merawat kesihatan fizikal dengan kaedah rawatan moden, tubuh yang sihat datang dari minda yang sihat juga.Insyaallah kita mampu menghadapinya,” ujar Emma.
Perkhabaran terbaharu dari wanita cekal ini sedikit sebanyak membuatkan penulis dapat merasakan betapa kuatnya keluarga ini menghadapi dugaan. Selain bekerja dari rumah, Emma kini menjaga bonda tersayang yang disahkan menghidap barah payu dara sejak januari lalu.
” Ibu disahkan menghidap barah payu dara sejak Januari lalu. Kini masih meneruskan rawatan kimoterapi. Pada usia 68 tahun, saya dapat melihat kekuatan ibu melawat penyakit apatah lagi sudah lima kali menjalani rawatan kimoterapi. Semoga Allah memberikan kesembuhan buat ibu tersayang,” seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tugas seorang ibu sememangnya tidak mudah. Sejak dalam kandungan hingga melahirkan, banyak ujian yang telah dilalui kaum ibu. Bahkan selepas dilahirkan pun mereka perlu menggalas tanggungjawab besar untuk mendidik dan mengasuh anak-anak. Cabaran lebih terasa apabila bergelar ibu tunggal, yang memaksa mereka menjadi ibu dan ayah dalam masa sama!
Itulah yang dihadapi selebriti cantik berjiwa kental Rita Rudaini. Hampir tujuh tahun menjadi ibu tunggal namun kini Rita semakin reda dan tabah mengharungi kehidupan di samping dua cahaya mata lelaki yang cukup baik pekerti, bijak dan mencintai ilmu agama.
Sepanjang Ramadan lalu, aktres jelita ini kerap berkongsi aktivitinya bersama anak-anak di Instagram dan jelas membuktikan betapa Rita telah berjaya membentuk Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna menjadi anak soleh. Sejuk perut ibu mengandung!
Menerusi perkongsian Rita, rutin harian mereka tiga beranak pada Ramadan lalu dimanfaatkan dengan mengaji Al-Quran dan mendalami ilmu agama. Memandangkan terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu, mereka akur untuk belajar menghafaz Al-Quran menerusi online bersama Ustaz Haji Sazali Nordin.
Kata Rita, “Alhamdulillah Ustaz cakap bacaan sistur ok dari mula-mula. Ok la asalkan sebutan tu betul. Biar la baca tak merdu macam johan musabaqah asalkan sistur dah faham cara baca yang betul. Terima kasih Ustaz dah bertahun ajar anak-anak sistur. Rugi rasanya tak join dari tahun mula-mula dulu.”
Airit Rayyan kini berusia 10 tahun manakala adiknya pula Arjuna berumur 9 tahun. Walau masih kecil namun kedua-duanya dilihat matang dan memahami situasi yang dialami ibu mereka. Pada malam raya lalu, Rita turut memuatnaik video menunjukkan Rayyan bertakbir raya bersama adiknya yang lengkap mengenakan persalinan jubah berwarna hitam sedondon.
Potret keluarga kecil Rita di pagi 1 Syawal tahun ini
Ujar ibu berusia 44 tahun ini, “Dorang tahu rutin setiap hari. Main ada time, game pun ada time. Makin besar makin faham. Lepas Maghrib hari ni dorang baca Yaasin untuk sedekah dan Al-Waqiah serta Al-Mulk. Macam mana nak anak-anak kecil berkawan dengan Al-Quran hari-hari?
Kena bermula dari kita yang tua ni lah. Kita adalah contoh paling dekat, paling hari-hari nampak depan mata. Kita kena buat dan ajak anak-anak sekali. Jerit marah anak suruh mengaji tapi kita tak buat pun, mana anak-anak nak ikut. Sama-sama buat insyaAllah. Luang masa 1 jam pun jadilah duduk dengan anak-anak sama-sama baca Al-Quran. InsyaAllah, hari-hari Quran lah sahabat mereka.”
Ditanya peminat mengenai peringkat usia bagaimana Rita mula menerapkan bacaan Al-Quran kepada anak-anak, aktres ini memberitahu dia mula memupuk minat anaknya Arjuna seawal usia 4 tahun. “4 tahun untuk Arjuna tapi Ryan memang suka Al-Quran dari kecil. Arjuna susah sedikit masa kecil banyak main tapi hari-hari dia tengok kami, dia jadi suka dengan Al-Quran.”
Bekas finalis Dewi Remaja 1998/1999 ini pernah berkahwin dengan Akbar Shaari pada tahun 1999. Namun berpisah pada tahun 2001 sebelum mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak negara, Aidil Zafuan pada Disember 2008. Perkahwinan mereka hanya bertahan selama lima tahun dan dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin dan
Airit Qaqa Arjuna.
Dialah sebaik-baik perancang. PemberianNya juga adalah yang terbaik, tepat pada masanya. Usahawan kewangan Dr Siti Zainab Mohd Zaini, 47, bertemu jodoh kali kedua dengan seorang kontraktor, Muhammad Majidee Rajhan berusia 28 tahun.
Dr Siti Zainab bersama suami tersayang.Beza usia 19 tahun bukanlah penghalang kebahagiaan mereka.
Dr Siti Zainab yang juga mesra digelar Bochi ini amat bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang penyayang, matang dan bertanggungjawab biarpun jarak usia mereka 19 tahun.
Lebih mengharukan, hadirnya jodoh kedua ini adalah pada waktu yang sangat tepat. Ibu kepada 2 anak ini mengakui bahawa kehadiran suami adalah sebagai peneman dan pelindung di saat dirinya diuji dengan kanser.
Betapa indahnya perjalanan hidup yang Allah SWT aturkan buat wanita ini biarpun pernah melalui kegagalan dalam perkahwinan terdahulu. Banyak yang beliau pelajari daripada kegagalan itu sekaligus memperbaiki diri menjadi seorang yang lebih baik.
PERTEMUAN PERTAMA
“Saya mengenali suami pada March 2018. Ketika itu suami datang ke kelas saya untuk belajar bagaimana untuk menguruskan kewangan.
Tak sangka pula dalam dia datang training tu tiba-tiba suatu hari dia ajak saya solat sama-sama, dia pula menjadi imam. Saya terkedu sebab sebelum ini tiada seorang pun yang ‘berani’ datang ketuk pintu bilik pejabat saya untuk ajak solat sama-sama. Bermula saat itulah saya rasa dia istimewa.
Dalam masa 4 bulan perkenalan suami sudah melamar. Memang sangat cepat dan berani. Tapi sebab jarak umur kami yang jauh, saya minta dia beri masa untuk kami saling mengenali hati budi masing-masing.
DUGAAN KANSER
Allah sebaik-baik Perancang. Bulan Oktober 2018 saya didiagnos kanser payudara tahap awal (early stage). Waktu itu memang sukar untuk membuat keputusan tentang perhubungan kami. Saya ada memintanya agar tak meneruskan perhubungan sebab saya tidak mahu susahkannya.
Saya tahu saya akan menerima pelbagai prosedur rawatan. Tetapi suami sangat penyayang, dia tetap berkeras untuk terus berada di sisi. Begitulah perancangan Allah, bersama dugaan yang Dia beri. Satu hikmah yang sangat besar. Saya percaya kepada qada’ dan qadar. Akhirnya saya terima lamaran suami.
Terdetik di hati, bila Allah duga dengan perpisahan dahulu kemudian ‘dijodohkan’ dengan lelaki lebih muda, Allah nak saya merasai perjalanan usia dengan minda dan semangat muda. Sangat dahsyat ketentuanNya!
Saya juga bersyukur kerana keluarga dan anak-anak sangat sayangkan suami. Mereka mulanya terkejut juga kerana beza usia kami. Tapi suami bersungguh-sungguh ambil hati anak-anak sebagai kawan. Akhirnya mereka dapat menerima suami dan melihat kesungguhannya menjaga saya ketika sakit.
Sampai hari ini, suami dan anak sulung saya, Iskandar macam best friend. Bila berbual pun macam kawan-kawan. Panggilan anak-anak kepada suami ialah Daddee (Dad + Majidee) sangat sweet..
Suami juga menjadi guru dan ustaz mengaji kepada anak perempuan saya, Natasha. Jika ada sebarang masalah mengenai pelajaran Natasha akan rujuk suami. Setiap hari selepas solat Maghrib suami akan ajar mengaji. Ibu dan bapa saya juga memang sangat suka dengan sikap suami yang gentleman.
Ibu mertua saya pula lembut orangnya. Patutlah suami seorang yang penyayang. Saya memanggil ibu mertua Mama. Beliau memang tekankan agama dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan kehidupan. Saya dan Mama ada minat yang sama iaitu memasak. Maka mudah untuk kami mesra.
Pasangan ini sah bergelar suami isteri pada April 2019.Keluarga bahagia.
SUAMI SENTIASA DI SISI
Kami diijab kabul pada April 2019 iaitu setelah saya selesai menjalani rawatan kimoterapi yang ke-6 dan sebelum pembedahan. Sepanjang kimoterapi memang saya lemah. Saya banyak berehat di rumah. Kadang-kadang alahan seperti muntah yang agak teruk.
Sepanjang Dr Siti Zainab dirawat di hospital, suaminya sentiasa berada di sisi.
Suami seorang yang sangat caring. Sebelum berkahwin, suami sanggup mencari rumah yang berdekatan dengan rumah saya yang jaraknya dalam beberapa minit saja agar dapat menjenguk saya pada waktu pagi sebelum dia pergi kerja. Dan memastikan saya sudah makan dan saya OK.
Dia juga pernah tak tidur 3 hari ketika pergi tengok site di Pantai Timur, Kedah kemudian balik semula ke Kuala Lumpur. Sampai Kuala Lumpur dia sempat jenguk saya dulu.
Dia jugalah yang sering menghantar saya untuk ke setiap rawatan termasuk menunggu dan berurusan dengan doktor serta pihak hospital. Suami banyak memberi nasihat dan kata-kata semangat agar saya terus berjuang dan kembali sihat.
Antara kata-kata semangat dari suami ialah “Kita cari ubat, kita ikut cakap doktor”. Suami turut membawa saya bertemu sahabat baik saya, Dr. Nor Aniza yang juga seorang pejuang kanser bagi bertanyakan pendapat dan nasihat. Doktor saya pernah kata, kalau dia stay sampai selesai treatment memang jodoh.”
Anak-anak Dr Siti Zainab iaitu Iskandar dan Natasha juga merupakan sumber kekuatannya.
Berkat semangat yang tinggi kini Dr Siti Zainab mampu tersenyum apabila disahkan sembuh sepenuhnya daripada kanser payudara.
PESANAN BUAT WANITA
“Nasihat saya, semoga wanita-wanita di luar sana percaya kepada jodoh. Jangan melihat dugaan dengan kesakitan. Lihatlah dengan mata rahmat. Minta padaNya, nescaya Dia akan beri jawapan.
Bagi mereka yang berkahwin dengan pasangan lebih muda, janganlah terlalu hendak menjadi ‘cikgu’ semata-mata nak perbetulkan semua perkara. Biar pasangan melalui pengalaman hidupnya. Jika perkahwinan itu yang kedua jangan banding-bandingkan. Fokus kepada kebaikan.
Satu lagi, kena work life balance. Curahkan masa dan kasih sayang di rumah. Itu paling utama. Perlu usahakan masa walau saya dan suami ada bisnes. Suami juga banyak outstation atas tuntutan kerja.
Untuk kesihatan, perlu bijak mengurus diri termasuk menyayangi diri dan keluarga. Bila Allah duga, Allah nak naikkan martabat kita dengan cara mencari ilmu untuk menangani dugaan. Kemudia ajar dan didik orang lain pula untuk kongsi manfaat.”
Semoga Dr Siti Zainab dan suami kekal bahagia sampai ke syurga. Dr Siti Zainab merupakan pengasas Elite Group of Consultants dan Elite Wealth Advisors. Beliau juga salah seorang finalis Anugerah Wanita Cemerlang Nona.