Selepas lebih sedekad nama Raja Ema hilang dari radar industri hiburan, akhirnya wajah penyanyi, pelakon dan model 80-an ini kembali aktif dalam bidang lakonan. Pada usia 54 tahun, penampilan terkini beliau disamping anak-anak mengubat rindu peminat yang rata-ratanya memuji kecantikan ibu tunggal tersebut.
Selain menjadi usahawan Acar Buah Hipster yang diusahakan sendiri menggunakan resipi asli warisan keluarga, Raja Ema atau nama penuhnya Raja Ema Raja Ibrahim kini kembali sibuk dengan penggambaran drama Abah Next Door.
Membawa watak Salina, kecantikan anak seniwati Allahyarhamah Yusni Jaafar itu terlihat masih menawan, sopan dan manis wajahnya membuat mata sejuk memandang.
Namun lebih menarik, Raja Ema yang mesra disapa Kek Ma itu kini lebih terbuka berbicara soal hidupnya. Menerusi laporan Harian Metro, beliau mengakui sudah malas berfikir soal jodoh malah tidak pernah mengingati tarikh nikah atau cerainya dahulu.
“Saya tak pernah kira atau ingat tarikh saya bernikah dan bercerai. Saya sudah move on. Sebenarnya saya sudah malas nak fikir sebab urusan jodoh ini kita tak tahu bagaimana akhirannya.
Kalau berniaga atau terbabit dalam dunia seni saya tahu apa yang bakal saya capai.” Raja Ema
******************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link )
******************
Ibu kepada dua anak, Putera Ammar (28 tahun) dan Putera Al Kashah (26 tahun) ini juga sempat berkongsi tentang nikmat hidup solo bersama anak-anaknya.
“Bila bab perkahwinan ini kita berurusan dengan manusia. Kalau kita berharap perkahwinan yang dibina itu sehingga ke syurga sekali pun, belum tentu kita dapat mencapainya.
Tiada istilah sunyi dalam hidup saya. Kalau ada pasangan belum tentu saya boleh buat macam-macam benda.
Bila saya katakan saya gembira dengan kehidupan solo ramai yang tidak percaya. Mungkin mereka fikir bila ada pasangan baru terbit rasa bahagia itu tapi tidak dinafikan juga ada individu yang solo tapi tak gembira kerana mereka mahukan pasangan hidup.
Cuma saya sudah tetapkan yang bila mati nanti pun seorang diri. Jadi saya okey saja begini. Tipulah kalau saya kata saya tak takut apabila bersendirian, lebih-lebih lagi bila pernah dijangkiti COVID-19 pada awal tahun ini sehingga tak dapat teruskan perniagaan.
Tapi setiap ujian yang dilalui menguatkan saya dan berserah kepada takdir Ilahi. Saya tak letakkan sebarang harapan tapi biarlah urusan jodoh ini datang pada waktu yang tepat.” Raja Ema
Berdasarkan rekod, Raja Ema dan bekas suami Sheqal telah disahkan bercerai pada tahun 1999 kerana tidak lagi sehaluan. Namun kekuatan wanita ini mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak jelas menjadi inspirasi kepada ramai wanita.
This website uses cookies.