Tidak puas bergantung rezeki pada bidang nyanyian, penyanyi Dato’ Jamal Abdillah, 64 tahun, kini lincah sebagai penternak lembu komersial sejak sebulan lalu. Beliau juga memiliki ladang lembu seluas 2 hektar di Bukit Merah!
Menerusi Bernama, Raja Pop yang bernama Jamal Ubaidillah Mohd Ali ini juga berimpian mahu mempromosi bidang pertanian agar lebih ramai bumiputera terlibat dalam bidang tersebut.
“Sekarang saya mulakan dengan 20 ekor lembu, perancangan saya akan bawa masuk 80 ekor lagi induk lembu bagi menambah induk sedia ada pada tahun ini juga.” Dato’ Jamal Abdillah
Ladang seluas hampir dua hektar itu dilengkapi dengan kandang lembu yang boleh memuatkan 300 hingga 400 ekor haiwan itu dan kawasan untuk menternak kambing yang juga dalam perancangannya.
Pelantun lagu Kekasih Awal dan Akhir itu berkata berbanding ternakan ikan hiasan Arowana sejak 2009, menternak lembu lebih mudah.
Menurut Dato’ Jamal Abdillah, Jabatan Perkhidmatan Verterinar (JPV) juga sentiasa bersedia membantu beliau memberikan khidmat nasihat dalam membantu menguruskan penternakan lembu tersebut.
Menyentuh mengenai ladang ternakan ikan Arowananya yang juga terletak di Bukit Merah, beliau berkata minat terhadap ikan hiasan membuatkan dia mahu mengekalkan perniagaan tersebut.
Katanya sebelum ini perniagaan itu dijalankan secara sistem ‘pawah’ atau pajakan, tetapi kini ia dimulakan semula dan merancang mengeksport hasil tersebut ke luar negara.
“Bidang ternakan ikan hiasan dan lembu ini amat berpotensi memberi hasil lumayan jika dilakukan dengan konsisten.
Tidak terkecuali masih banyak ruang boleh diteroka oleh usahawan Melayu yang mahu menceburkan diri dalam bidang ini, apatah lagi untuk membantu usaha kerajaan memperkukuh keterjaminan makanan negara.” Dato’ Jamal Abdillah
NYANYIAN
Kerajaan melalui pelbagai agensi sentiasa membantu dari segi khidmat nasihat dan kursus bagi mereka yang berminat menjadi penternak dan peladang. Justeru, beliau mengambil keputusan untuk berulang-alik dari Kuala Lumpur menguruskan kerjaya nyanyian dan ladangnya di Perak.
Menyentuh kerjaya nyanyian, Jamal yang baru dikurniakan cahaya mata keempat hasil perkongsian bersama isterinya Datin Zai Izzati Khiruddin, April lepas berkata dia akan terus menyanyi selagi diterima peminat.
“Selagi orang suka saya menyanyi, saya akan terus menyanyi. Saya melakukan senaman dan menjaga pemakanan bagi menjaga kualiti vokal.”
Sebelum ini dilaporkan ladang ternakan Dato’ Jamal Abdillah mendapat perhatian JPV dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali meluangkan masa melawat ladang berkenaan.
Inisiatif tersebut dipuji kerana penyanyi itu mengambi langkah bijak menyahut seruan kerajaan memastikan keterjaminan makanan negara.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/bergaya-segak-sukses-usia-64-isteri-cantik-dato-jamal-abdillah-titip-ucapan-romantis-sempena-birthday/
This website uses cookies.