Ramah dan menyenangkan. Beginilah personaliti tokoh wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sejak dulu sampai sekarang. Biarpun kini sudah mengundurkan diri dari Kabinet, namun bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu tetap menyalurkan aspirasi buat rakyat Malaysia.
Sedari sejak dulu lagi nama Tan Sri Shahrizat meniti bibir kerana tugasnya berhubung isu-isu wanita serta kekeluargaan. Sebagai bekas peguam, setiap pandangan, polisi dan hujah beliau begitu bernas.
Teringat jika dulu memandang Tan Sri, pasti terselit rasa kagum dengan keyakinan yang jitu dalam diri beliau.
Kesempatan Majalah Nona ke udara secara langsung bersama Tan Sri Shahrizat nyata sebuah hadiah paling bermakna sempena sambutan Hari Malaysia yang lepas.
Sesi santai kira-kira sejam itu banyak menyingkap sisi lain wanita ini, antaranya hobi di rumah serta aktiviti bersama empat orang cucu tersayang.
PENTINGKAN KELUARGA
Mesra membahasakan diri sebagai Kak Ijat, wanita besi ini merupakan isteri kepada Dato’ Sri Dr Mohamad Salleh Ismail. Perkahwinan mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah.
Pasangan bahagia ini turut ditemani empat orang cucunda comel iaitu Ayden, Elina, Eva dan Ezra. Sweet sungguh bila Tan Sri sempat berseloroh, “I feel young with them!”
Malah ketika di rumah, beliau juga banyak meluangkan masa untuk ibu tersayang serta membuat pelbagai aktiviti menyeronokkan dengan keluarga.
Betul ke beliau tak pandai memasak? Jom tonton video Nona On Air bersama Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil ini untuk lebih banyak kisah menarik…
Sebelum sesi santai ini berakhir, sempat beliau mengimbau cara menjaga penampilan agar wanita kelihatan kemas dan meyakinkan.
“Saya belajar ni daripada keluarga sendiri. Ibu dan nenek saya. Orang dulu-dulu ni, bangun dari tidur je dah kemas. Tak akan keluar dari bilik tidur dalam keadaan ‘berlemuih’.
Yang saya tahu my family, bunga melur atas katil. Pakaian rapi. Kalau orang tak tengok, mesti pakai bedak sejuk walau tak ada krim krim semua.
Dalam keluarga saya… ketrampilan amat mustahak. Tak kira kaya miskin. Kebersihan diri penting.
Saya paling risau bila nenek atau ibu nampak saya ‘berlemuih’ depan masyarakat. Mesti call tanya, “Awat nampak ‘lokoih’ sangat?” Itulah yang saya jaga sampai sekarang.” Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil
Biarpun Tan Sri Shahrizat sudah berjaya menempa nama dan membina kerjaya gemilang dalam arena politik serta undang-undang, namun beliau masih mahu terus membantu generasi baharu melalui Persatuan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (RUMPUN).
Sebagai Presiden, beliau berkongsi bahawa PARFUM yang ditubuhkan pada 20 Julai 2017 itu bertujuan menjadi landasan untuk menyuburkan interaksi berterusan di antara ahli alumni dan Fakulti Undang-Undang UM.
Katanya, pihaknya akan sentiasa berusaha memastikan aspirasi alumni dapat direalisasikan, antara lain mengalak dan merancakkan interaksi melalui program yang sudah disusun.
Sumber: Koleksi peribadi Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil
This website uses cookies.