Kecantikan penyanyi evergreen, Salamiah Hassan kini kian menyerlah sebaik mengambil keputusan memakai hijab. Berusia 72 tahun, isteri kepada Allahyarham Gery Hughes tersebut tenang bercerita kepada Majalah Nona tentang kenangan mereka berdua.
Sambil tangan ligat menyiapkan juadah ayam goreng kicap, beliau mengimbau perbualan mereka suami isteri yang menjadi ‘turning point’ dirinya untuk menutup aurat sepenuhnya.
“Saya berhijab bukan kerana sesiapa tetapi kerana Allah SWT dan arwah pun pernah suruh. Sebelum ini saya sering mewarnakan rambut kerana ingin menutup uban-uban halus yang tumbuh.
Suatu hari, arwah suami bertanya, ‘Kenapa Anya (panggilan sayang untuk Salamiah) nak warnakan rambut?’ Saya jawab kerana nak cover uban yang tumbuh.
Arwah sempat memuji anak saudara saya, Fazilah, yang tinggal di Melbourne. Katanya, ‘You don’t have to color your hair. Wear hijab like Fazilah, very nice.’
Saya menegaskan kaum wanita bertudung bukan untuk menutup uban sebaliknya atas tuntutan agama. Arwah jawab balik, ‘You can kill two birds with one stone. Tak payah warnakan rambut dan pakai hijab sebab Allah suruh.’
Saya sudah berjanji dengan diri untuk tidak menangis apabila berbicara mengenai arwah. Saya harus kuat dan bangkit meneruskan hidup.
Jika bercerita mengenai arwah banyak kenangan yang kami kongsikan bersama. Sebagai saudara baru dalam Islam, arwah membaca Al-Quran dan terjemahannya dalam Bahasa Inggeris.” Salamiah Hassan
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/video/semua-orang-yang-sayang-mama-dah-pergi-tinggalkan-mama-salamiah-hassan/
Meskipun hanya sempat berkongsi hidup selama dua bulan, namun perkahwinan mereka dilimpahi kasih sayang serta peluang buat arwah suami mendalami Islam. Allahyarham Gery Hughes merupakan seorang warga Australia kembali ke rahmatullah pada November 2022 lepas pada usia 68 tahun.
Ada banyak lagi perkongsian Salamiah Hassan secara eksklusif kepada Majalah Nona, ayuh tonton video ini…