Nama Jodi Sta Maria sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi di Malaysia. Pelakon filem berasal dari Filipina ini cukup dikenali sekitar tahun 2000 dengan drama-drama hebat antaranya termasuklah Be Careful With My Heart yang bersiaran selama hampir 2 tahun!
Jun lalu, selebriti ini menginjak usia 41 tahun. Kejelitaan wajah selebriti yang juga merupakan Duta WHO sejak 2011 ini masih jelita dan menjadi pilihan jenama-jenama antarabangsa di Filipina. Selain menjadi pilihan untuk kempen produk, Jodi juga menjadi pemegang amanah Kythe Child Life yang banyak terlibat dalam kerja-kerja kebajikan untuk kanak-kanak.
Menjengah laman Instagram miliknya, Jodi Sta Maria gemar menghabiskan waktunya bersama satu-satunya zuriat miliknya, Panfilo Lacson III yang kini sudah mencecah usia 17 tahun. Meskipun perkahwinannya dengan ahli politik, Panfilo Lacson Jr tidak kekal lama, Jodi lebih selesa dengan kehidupannya sebagai ibu tunggal bersama anak kesayangannya.
Jodi yang gemar mengembara turut membawa anak tunggalnya itu menjelajah ke seluruh dunia untuk bercuti dan menimba pengalaman baharu. Antara lokasi yang telah dikunjungi oleh kedua beranak ini termasuklah Uzbekistan, Kyrgystan, Jepun, Dubai, Republik Chezch, Belanda dan beberapa negara Eropah yang lain.
Malah kedua beranak ini nampaknya berkongsi minat yang sama bukan sebagai pelancong, malah pengembara di setiap destinasi yang dikunjungi.
Selain mengembara, dua beranak ini juga gemar memasak dan menjadikan aktiviti memasak sebagai rutin memenuhi kehidupan sehariannya. Malah Jodi berkongsi beberapa foto dia dan anaknya mengikuti kelas masakan bersama-sama di Center for Asian Culinary Studies.
Malah dua beranak ini nampaknya tidak kekok berada di dapur kerana mereka sememangnya gemar memasak dan mencuba menu baharu jika mempunyai masa terluang.
Bila anak sudah meningkat dewasa, masa yang dihabiskan bersama pastinya menjadi memori indah untuk dikenang. Begitu juga buat Jodi Sta Maria, kesibukan sebagai selebriti tidak pernah membatas waktu untuk dirinya meluangkan masa bersama satu-satunya zuriat yang dimiliki! Motherhood goals checked!