Usia Bukan Penghalang, DATUK FAUZIAH NAWI Luah Hasrat Ingin Sambung Belajar Peringkat Doktor Falsafah

Julai lalu, pelakon legenda dan seniwati berbakat besar Fauziah Nawi menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2023 baru-baru ini.

Dan selepas menggenggam ijazah sarjana dalam bidang lakonan daripada Open University Malaysia (OUM) sekitar lima tahun lalu Datuk Fauziah Nawi baru-baru ini meluahkan hasrat untuk melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) pula.

Beliau yang ditemui media baru-baru ini mengakui bukan mudah menjadi pelajar pada usia yang ’emas’, namun di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Oleh itu, menurut sumber Berita Harian, Fauziah Nawi kini sedang dalam misi mencari institusi yang sesuai untuk merealisasikan hasratnya itu. “Selepas terima ijazah sarjana pada 2018, saya pasang impian mendapatkan ijazah kedoktoran.

“Apatah lagi untuk peringkat PhD, pasti lebih sukar kerana membabitkan banyak kerja penyelidikan. Tetapi saya sudah bersedia,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian antara Metrowealth International Group (MIG) dan Meatech Creative Academy di Wisma Metrowealth di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Fauziah Nawi sempat menitipkan nasihat buat mereka terutama sekali anak-anak seni untuk terus menyambung pelajaran.

“Apapun, kepada artis veteran lain yang ada minat belajar, saya sarankan juga agar kejar impian itu. Beranikan diri mencuba dan jangan takut kerana proses pendidikan tidak pernah terhenti sekiranya berminat,” katanya.

***

Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

Share
Published by
Wan Firdaus