Satu dalam sejuta. Gelaran ‘Wanita Melayu Terakhir’ barangkali hanya bisa diberikan kepada figura ini yang memiliki aura pesona yang menawan. Dari usia muda sehinggalah mencecah 58 tahun, pengacara popular ini sentiasa kekal anggun, cergas dan menawan. Sehingga kini, rutin hariannya yang dikongsikan bersama peminat menerusi laman Instagramnya senantiasa menjadi tumpuan orang ramai, mencetuskan inspirasi kepada mata yang melihat.
Masih segar dalam ingatan penulis saat di bangku sekolah, penulis bersama dengan ahli keluarga akan menunggu jam lapan malam untuk menonton siaran buletin di kaca televisyen. Hakikatnya, penulis bukan menunggu untuk mendengar tentang buletin semasa, tetapi menunggu penampilan pengacara ini yang sememangnya menjadi salah satu sumber inspirasi penulis.
Puan Sri Normala Samsudin, nama yang tidak asing lagi dalam dunia pengacaraan Malaysia. Bukan sahaja memiliki raut wajah yang jelita, malah anak kelahiran Segamat, Johor ini seorang yang berintelektual dan berkarisma, melengkapkan pakej dirinya sehingga menjadi tumpuan orang ramai.
Mula mencorak kariernya sebagai seorang wartawan penyiaran dan melonjak menjadi pembaca berita waktu perdana, namanya kian bersinar saat mengacara program yang pernah menjadi ikutan ramai Seulas Pinang bersama Allahyarham Aziz Desa.
Tidak bernokhtah di situ sahaja, kualiti bakat yang dimiliki olehnya diangkat untuk menjadi pengacara bagi program Nona bermula dari tahun 2001 sehingga 2004. Lantas, namanya terus menjadi bualan ramai dan menjadi ‘brenckmark’ untuk setiap pengacara yang mengacarakan program tersebut.
Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Berkat usahanya, Normala mula dirisik untuk menceburi bidang lakonan. Sebuah lagi kejayaan dalam diari kariernya apabila pada tahun 2002, pengarah terkenal Datuk Yusof Haslam memilih Normala sebagai bintang utama dalam filem Gerak Khas The Movie. Biarpun ia merupakan langkah perjalanan baru baginya, namun ternyata persembahannya cemerlang sehingga filem itu pecah panggung apabila berjaya mengutip RM4.4 juta. Ternyata, Normala memiliki liganya tersendiri.
Kini, biarpun usianya sudah mencecah 58 tahun, isteri kepada mantan Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Azmi Khalid itu tetap kekal cantik biarpun sudah bergelar nenek berhijab, seolah-olah tidak dimamah usia. Apatah lagi, perkongsian dalam laman Instagramnya membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menjalani kehidupan yang aktif.
Lihat saja segala aktiviti lasak yang dilakukan olehnya. Berbasikal, mendaki serta meneroka hutan belantara, membuatkan ramai yang teruja dengan perkongsiannya itu. Usianya tidak menghalang dirinya untuk menjejakkan kaki di Gunung Tahan, Pahang, Gunung Kinabalu, Sabah dan Gunung Batur, Indonesia.
Menurut Normala, ia bukanlah perkara baru bagi dirinya malah, sejak umurnya tujuh tahun, dia berjalan kaki sejauh empat kilometer untuk ke sekolah. Jadi, aktiviti lasak sudah menjadi sebahagian dari hidupnya.
Bayangkan sejak saya berumur tujuh tahun, saya berjalan kaki sejauh empat kilometer ke sekolah. Bagi saya, pergi balik ke sekolah itu ibarat satu latihan, sebab itu saya sebati dengan dunia lasak.
Malah, tambahnya lagi, saat kecil, dia bersama arwah datuknya meredah hutan untuk memburu kancil, ayam denak dan menjala ikan sungai. Jadi tidak hairanlah apabila ikon penyiaran ini berjaya meredah Sungai Merapoh sehingga Kampung Cegah Parah Pahang bersama 14 kru yang lain untuk program Seulas Pinang. Ramai yang teruja melihat aktiviti lasak yang dilakukan olehnya. Malah, ada yang senang hati melihat pemandangan hijau yang dikongsikan oleh Normala.
Pasti ramai yang ingin tahu mengenai rahsia menu makanannya yang menjadikan Normala awet muda dan kekal sihat. Bicaranya, dia tidak makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang sejuk. Praktisnya cuma minum air rebusan halia, serai rebus bersama kunyit, dua hingga tiga kali seminggu. Selain itu, Normala akui, amat menggemari sayur pegaga dan kecur.
Saya sebenarnya kalau nak diikutkan, tidaklah berpantang macam-macam, saya jaga (kesihatan) sebab semakin tua, semakin banyak makanan yang saya alah seperti tidak boleh makan sebab angin, kembung dan sebagainya. Contohnya, saya alah dengan pulut sejak dari muda lagi.
Waktu lapangnya kini banyak dihabiskan bersama keluarga tercinta. Memahami jadual sibuk ketiga-tiga cahaya matanya, Asyraf Roslan, Dr Ruhila Roslan dan Rubilla Roslan, Normala sentiasa memastikan supaya dapat meluangkan masa bersama-sama, Mengadakan jamuan makan dan bersantai bersama anak-anak dan cucu di rumah pada hujung minggu, merupakan aktiviti yang sering dilakukan bersama keluarga.
Sumber gambar: Instagram Puan Sri Normala Samsudin
This website uses cookies.