Tiap kali mendengar kelunakan suara penyanyi lagenda Dato Jamal Abdillah, pastinya meremang bulu roma dengan kelunakan vokal beliau yang tiada galang gantinya. Sememangnya nilai figura lagenda seperti beliau tidak akan pernah susut. Waima datang ramai pendatang baharu, kedudukan Jamal Abdillah tidak akan goyah.
Membuka suku tahun kedua 2023, Dato Jamal Abdillah membawakan buah tangan istimewa dengan persembahan Konsert Jamal Abdullah Live In Concert yang akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 September ini.
Walaupun kesuntukan masa, penganjur Shiraz Projects yakin tiket Konsert Jamal Abdillah Live In Concert yang akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 September ini akan ‘ sold out’ seperti dijadualkan.
Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, pihaknya memilih Jamal kerana percaya dengan pesona dan kredibiliti penghibur legenda terbabit.
“Jamal adalah satu jenama yang cukup kuat dalam industri muzik tempatan dan figura yang sinarnya tidak pernah padam. Karakter serta pesona Jamal sendiri sudah cukup kuat untuk menarik peminat datang dan mereka juga tidak pernah jemu untuk menonton persembahannya.
“Saya yakin konsert ini akan menjadi konsert yang gemilang dan menjadi momen indah buat semua peminat,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di KLCC, di sini, hari ini.
Sementara itu, Jamal, 64, berkata, dia terharu dan bersyukur kerana Shiraz Projects memberi kepercayaan padanya untuk menjayakan konsert skala besar itu.
“Saya berminat untuk bekerjasama dengan Shiraz Projects kerana konsep dipersembahkan dan pada masa sama, saya juga boleh berinteraksi dengan peminat dalam skala yang lebih besar.
“Saya juga menjanjikan kelainan dengan susunan semula sebanyak 15 rangkaian lagu hits yang dipilih perlu mencapai piawaian konsert,”katanya.
Ditanya artis undangan pula, kata Jamal, ia juga membabitkan penampilan seorang artis lelaki terkenal yang masih dalam perbincangan lagi.
“Saya juga merancang untuk menampilkan dua anak, Osama Yamani,22 dan Zaki Yamani, 17, pada konsert itu nanti,” katanya.
Juara Bintang RTM 1979 ini bakal menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu- lagu hitnya seperti Penghujung Rindu, Kekasih Awal Dan Akhir, Gadis Melayu, Aku Maafkan Kamu dan banyak lagi.
This website uses cookies.