Hujung tahun sememangnya menjadi pilihan pasangan yang bercinta untuk mendirikan rumahtangga. Justeru, bulan Disember merupakan bulan buat pasangan suami-isteri meraikan ulangtahun perkahwinan termasuk Rozita Che Wan. Selebriti Selebriti tinggi lampai dan sering tampil penuh pesona ini turut meraikan ulangtahun perkahwinannya yang ke-7 tanggal 11 Disember lalu.
Melahirkan rasa syukur atas kebahagiaan yang dikecapnya, isteri kepada pelakon Oh My English, Zain Saidin ini turut akui dugaan hidup berumahtangga. “Fasa turun naik dalam berumah tangga itu lumrah. Namun saya percaya tolak ansur itu perlu. Saya berharap perkahwinan ini akan kekal sampai syurga,” tutur ibu kepada Aaisyah Dhia Rana ini.
Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta ini mula menceburi dunia lakonan sekitar tahun 2005 dan memperlahankan aktiviti seni dengan menumpukan perhatian kepada perniagaan. Kini, nampaknya Rozita semakin rancak menerima undangan berlakon dan dikhabarkan mendapat watak sebagai pelakon utama.
Bercerita tentang perkembangan kerjayanya, “Kalau penyanyi sendiri mempertaruhkan kepada lagu yang baik untuk melonjak naik, saya percaya pelakon juga bergantung kepada skrip untuk terus membuktikan kemampuannya mewarnai watak diamanahkan.
Kalau drama itu nak pelakon utama berusia 25 tahun atau yang lebih muda, saya mungkin sudah tidak layak. Namun kalau ada skrip memerlukan watak yang bersuami muda atau pergolakan wanita matang, saya boleh mencubanya. Tawaran sebegini bukan datang selalu. Tapi peluang yang datang saya takkan mempersiakannya.
Soal watak utama ini contohnya berbalik kepada kepercayaan produksi dan pihak penerbit. Alhamdulillah saya masih boleh membuktikan bakat yang dimiliki. Di luar negara sendiri, kita tahu semakin berpengalaman dan meningkat usia, pelakon itu terus diberi watak penting,” kata Rozita yang menghampiri usia 50 tahun ini.
“Selain drama saya juga terbabit sebagai hos seperti program Ujian Menantu menampilkan anak sulung, Ammar Effendy mencari bakal isteri. Saya juga menjadi panel program fesyen Glamketengglam dihoskan Zizan Razak,” terang Rozita yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran memegang watak utama menerusi drama 13 episod, Dia Isteriku arahan Ayie Mustafa untuk TV Al Hijrah.