Nama Datin Elaine Daly sememangnya tidak asing lagi dalam dunia peragaan dan ratu cantik di Malaysia. Bekas naib juara (1st Runner Up) Miss Malaysia World 1998 dan juara Miss Malaysia Universe 2003 ini semakin jelita apatah lagi selepas mendirikan rumahtangga dengan seorang doktor berasal dari Afrika Selatan, Dato’ Dr Nick Boden.
Pasangan ini berkahwin pada satu majlis kecil-kecilan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 2014. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan dua orang puteri comel yang diberi nama Eva Jean Boden dan Mia Alice Boden.
Sekali pandang, tidak banyak perubahan pada wajah Datin Elaine Daly walaupun sudah mencecah usia 43 tahun. Tubuh langsing dan tinggi lampai memberi bonus untuk Datin Elaine Daly tampil bergaya di setiap majlis yang dihadirinya.
Apatah lagi, beliau memegang jawatan sebagai pengarah (National Director) Miss Universe Malaysia Organization sejak tahun 2016 selain memegang jawatan sebagai pengarah siaran atau Channel Director kepada laman online gaya hidup dan platform strim video Malaysia, hurr.tv.
Gelaran beauty with brains, sememangnya amat sinonim untuk melambangkan keperibadian Datin Elaine Daly memandangkan beliau bukan sahaja bergelar pelakon, pengacara televisyen, peragawati malah peguam. Walaupun pernah diulit dunia glamor selebriti, ia tidak pernah membuatkan beliau leka dan tidak mengejar cita-cita untuk menamatkan pengajiannya.
Mengambil rehat pada tahun 2007 untuk bertugas dengan salah satu firma undang-undang terkemuka di Malaysia dan beliau dipanggil ke bar Malaysia setelah menjadi pelajar selama 9 bulan untuk mengambil peperiksaan bagi menjadi seorang peguam yang berkelayakan.
Ternyata keputusan untuk berehat seketika dari dunia hiburan membawa kisah kejayaan yang boleh dijadikan inspirasi buat wanita mengejar impian mereka. Malah, Datin Elaine banyak membantu dan memberikan inspirasi kepada para wanita di seluruh negara berkaitan kecantikan, kerjaya dan pelajaran harus berjalan seiring!
Datin Elaine turut memulakan sebuah organisasi, Lead Up Asia iaitu sebuah bengkel latihan untuk membantu para wanita dengan kemahiran interpersonal mereka bagi meneruskan karier mereka tanpa batasan.
Ditanyakan soalan berkaitan dengan kecantikan, Datin Elaine Daly tertawa kecil apabila penulis memuji wajahnya tidak banyak berubah walaupun telah memasuki angka 4 siri. Sambil tersenyum, Datin Elaine menyatakan untuk menjadi cantik, seseorang wanita itu perlu mempunyai kecantikan dari dalam dan luar. Mempunyai kecantikan dalaman dan luaran menjadikan seseorang wanita itu kelihatan sihat dan positif dengan bersenam dan makan makanan berkhasiat.
“Saya lebih selesa mengamalkan regim penjagaan wajah yang teratur untuk mendapatkan kulit yang cantik. Saya akan pastikan muka dibersihkan sebaiknya selepas mengenakan solekan sepanjang hari. Selain itu, minum cukup air dan sentiasa mengenakan pelembap wajah menjadi senjata untuk kulit kekal anjal. Selain itu, saya juga mengamalkan rutin senaman untuk kekalkan tahap kecergasan. Jika berkesempatan, dua kali sebulan saya akan manjakan diri dengan mengunjungi spa,” ujarnya lagi.
“Saya seronok dengan kehidupan sekarang dan menjadi ibu adalah satu fasa yang sangat berbeza tetapi ia sangat indah. Hubungan kekeluargaan amat rapat dan saya sentiasa mengutamakan masa bersama keluarga terutamanya anak-anak 24 jam sehari. Saya menikmati pengalaman indah sepanjang bergelar ibu di mana Eva dan Mia berkongsi pelbagai benda baharu setiap hari. Best moment ever,”ujarnya yang mengajak wanita bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga dengan sebaik mungkin.
Dilahirkan dalam keluarga serani (bapanya seorang Serani, ibunya berketurunan Peranakan Cina, bintang yang fasih berbahasa Melayu ini bakal meraikan sambutan Krismas tahun ini di kediamannya di Kuala Lumpur memandangkan situasi pandemik yang masih belum menemui noktahnya.
“Kebiasaannya, setiap kali tibanya sambutan Krismas, kami sekeluarga akan bercuti panjang ke luar negara semasa perayaan Krismas tetapi rutin tersebut terpaksa di ubah tahun ini. Demi menjaga keselamatan keluarga memandangkan saya mempunyai anak-anak yang masih kecil dan ibubapa yang sudah berusia, lebih baik saya memikirkan soal keselamatan dan kesihatan mereka.
Harapan saya semoga pandemik ini segera berakhir dan kita dapat menjalani kehidupan dan meraikan musim perayaan semeriah dahulu,” ujar Datin Elaine yang ramah dan mudah didekati.
Ditanya mengenai menu yang bakal disediakan semasa Krismas, kebiasaannya menu utama musim perayaan ialah ayam turki dan pie. Tetapi tahun ini, Datin Elaine bercadang membuat beberapa perubahan terhadap menu musim perayaannya.
“Tahun ini kami pun meraikan Krismas dalam suasana ‘lari dari menu kebiasaan’. Tahun ini saya bercadang menyediakan popia nyonya resipi ibu untuk melengkapkan menu hidangan hari Krismas. Menu peranakan Cina ini pastinya sesuai untuk musim perayaan,” ujar Elaine yang mewarisi darah campuran Peranakan Cina dari ibunya seraya mengakhiri perbualan.
This website uses cookies.