Sedar tak sedar sudah sedekad usia perkahwinan Datin Anne Ngasri dan Datuk Mohd Sumali Reduan.
22 Disember 2012 merupakan tarikh paling istimewa buat pasangan ini di mana mereka disatukan sebagai suami isteri. Maka, hari ini genaplah 10 tahun usia perkahwinan mereka dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Sufi Harraz Mohd Sumali (8 tahun) serta Nefa Naura Mohd Sumali (3 tahun).
Detik istimewa ini telah dikongsi oleh Datin Anne di Instagramnya menerusi satu hantaran video pendek yang memaparkan ‘throwback’ koleksi foto-fotonya bersama suami termasuklah momen-momen pernikahan.
Di ruangan kapsyen, Datin Anne menitipkan ucapan ringkas penuh bermakna buat suami tercinta.
“Alhamdulilah Terima kasih Ya Allah kurniakan pinjaman pasangan dunia dan insyaallah hingga ke syurga bersama.
“Bertambah setahun lagi menjadikan hubungan ini dah 10 tahun. Terima kasih buat Papa @mohdsumali_molly atas segalanya.
“Love you so much. Moga kebahagiaan dan kasih sayang antara kita kekal, dan dalam keberkatan Allah SWT. Aminn.”
Menjengaah ke ruangan komen, rata-rata para pengikut serta rakan-rakan artis menitipkan ucapan dan doa buat Datin Anne juga suami.
Datin Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri sangat bertuah kerana dalam usia 38 tahun sudah pun memiliki kehidupan yang sempurna dan bahagia di samping suami serta anak-anak.
Untuk info, hasil perkahwinan pertama Datin Anne dengan bekas suami, mereka telah dikurniakan tiga anak iaitu Abdul Warits Abdul Wafi (15 tahun), Abdul Wafri Abdul Wafi (13 tahun) dan Nazharah Afroza Abdul Wafi (11 tahun).
Setelah bercerai pada tahun 2010, Datin Anne kemudiannya bertemu jodoh buat kali kedua dengan Datuk Sumali yang ketika itu duda anak satu. Mereka berkahwin pada 22 Disember 2012.
Ketika itu, Datin Anne berusia 28 tahun manakala suaminya 40 tahun. Walaupun beza usia 12 tahun tetapi mereka berjaya buktikan ia bukanlah halangan untuk bahagia.
Hubungan Datin Anne dengan anak tirinya, Suffian Hakim yang kini berusia 16 tahun juga sangat baik. Perhatian dan layanan yang diberikan sama seperti anak-anaknya yang lain.
TIP JAGA ANAK RAMAI
“Menguruskan anak yang ramai kadangkala membuatkan ibu-ibu mudah penat dan stres. Itu tak dinafikan. Sebagai manusia kita memang tak boleh lari daripada ujian.
“Zikir dan istighfar sentiasa menjadi amalan saya setiap kali melakukan kerja-kerja rumah. InshaAllah berkurang stres, jiwa pun akan lebih tenang. Anggaplah apa jua yang kita lakukan adalah ibadah. Atas pertolongan Allah SWT jugalah segala urusan kita dipermudahkan.
“Allah SWT menjadikan wanita sebagai seorang yang lembut jiwanya biarpun luaran nampak kasar. Jadi, jangan terlalu memaksa diri untuk melakukan semua kerja dalam satu masa. Lakukan perlahan-lahan, InshaAllah semuanya akan selesai dengan baik.”
Selain aktif dalam politik bersama suami, Datin Anne turut bergelar penerbit dan menubuhkan AN Universal Sdn Bhd demi kesinambungan minatnya terhadap dunia seni. Selain itu, Datin Anne turut mengusahakan perniagaan tudung bawang premium jenama sendiri iaitu Annengasri Exclusive yang mendapat sambutan sangat baik.
Kredit Foto: Instagram Datin Anne Ngasri & Datuk Mohd Sumali