7 hari dalam tempoh kuarantin ini banyak perkara yang membuka mata kita. Ramai syarikat tampil menghulur bantuan kepada frontliners yang bertungkus-lumus bekerja sinag dan malam untuk memastikan musuh utama kita tika ini, Covid-19 tidak terus mencari ‘perumah’ baharu.
Dalam perkongsian daripada Ustaz Ebit Lew di akaun Instagramnya, beliau turut terkesan dengan segala jasa frontliners yang bersekang mata bekerja dan terpaksa meninggalkan keluarga demi menjalankan tanggungjawab kerjaya.
“Terasa kasihan bila tengok polis tentera yang saat ini bergabung bersama menjaga negara. Seharian tadi saya beli McDonald bawakan untuk mereka. Syukur pada Allah. Sungguh-sungguh mereka jaga semua jalan seluruh kl dan Malaysia. Ada yang penat letih,” tulisnya di akaun Instagram.
Ustaz Ebit adalah di antara penceramah bebas yang sering mengadakan oertemuan bersama insan-insan gelandangan, sering menyampaikan ceramah secara terbuka di tempat-tempat yang menjadi tumpuan anak-anak remaja malah beliau juga sering berceramah di kelab-kelab malam dengan niat untuk memberikan nasihat agama kepada mereka.
Di kala ini, Ustaz Ebit mengambil inisiatif untuk turut sama membantu frontliners biarpun di mana sahaja mereka berada. Kata beliau lagi, kegembiraannya lebih berganda apabila mendapat pertolongan daripada kakitangan restoran segera itu.
“Ya Allah happy rasa dapat memberi sedikit kata semangat dan tumpang pahala dan kebaikan mereka. Adik McD tadi memang baik sangat. Terima kasih adik McD Gombak. Semua membantu tolong saya masukkan dalam kereta dan saya hadiahkan mereka buku doa.
Saudaraku duduklah dirumah. Jangan susahkan tugas mereka. Penat ada yang melawan kadang kesana sini. Panjang jalan jem. Mudahkanlah abang polis dan tentera kita ini. Yang keluar jangan bawa laju-laju. Bahaya untuk mereka. Terimalah ya Allah semuanya jadi asbab kebaikan dan hidayah.”
Apabila membaca caption yang ditulis Ustaz Ebit sendiri, kita sendiri juga berasa sedih dan sayu melihat pengorbanan frontliners yang berada di hospital. Ketika beliau singgah sebentar bagi penyampaikan KFC untuk kakitangan di sana, doa yang dititip cukup ‘membelah jiwa’.
“Ya Allah disini ramai orang saya sayangi dikuarantin. Jagakanlah mereka semua. Sembuhkanlah mereka ya Allah. Yang diicu selamatkan mereka ya Allah. Segera sembuhkan mereka. Berilah keajaiban mu. Hilangkanlah wabak virus covid 19 di seluruh Malaysia dan dunia ya Allah.”
Selain sumbangan berupa makanan, baru semalam Ustaz Ebit dan pasukannya berusaha mencari portable shower yang disewa khusus buat petugas Hospital Putrajaya. Kemudahan ini pastinya akan digunakan oleh mereka yang ingin membersihkan diri terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah usai tugasan di hospital.
Meremang juga apabila memikirkan sejauh mana Covid-19 akan terus mengganas. Kata Ustaz Ebit, selagi kita mempunyai kudrat dan kewangan, mungkin boleh digunakan sebaiknya untuk saham akhirat. Ustaz Ebit juga tidak lupa untuk mendapatkan stok topeng muka kerana di mana-mana pun ia menjadi cukup terhad penggunaannya.
Memilih untuk membeli topeng muka dan disampaikan kepada yang memerlukan. 10,000 topeng muka itu akhirnya dapat dibeli dari pelbagai sumber walaupun dengan harga yang sangat mahal.
“Akhirnya saya dapat beli 10 ribu mask dari beberapa orang yang menjualnya. Walau mahal dari biasa. Takperlah. Syukur saya dah hadiahkan pada yang minta pada saya sebelum ini. Duit waktu ni boleh menjadi saham akhirat. Ya Allah terimalah semuanya jadi asbab kebaikan dan hidayah. Dan sihatkan semua kawan-kawan saya di semua hospital dan bantulah kami semua ya Allah.”
Kredit video: Instagram Ustaz Ebit Lew
This website uses cookies.