Tepat jam 10 malam, kebanyakan masjid dan surau yang ada di seluruh negara akan ditutup dan dikunci. Bagi yang mahu bersolat, terpaksa singgah di hentian ‘Rawat dan Rehat’ (R&R) atau stesen minyak untuk menunaikan kewajipan itu.
Berbeza dengan impian Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre, Ustaz Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof, 32, beliau mahu menjadikan Murtadha Dakwah Centre (MADAD) seperti Madinah yang dikunjungi orang ramai 24 jam tanpa henti.
“Di sekeliling Madinah, ada perniagaan dan pada masa yang sama, orang ramai beribadah di sana. Jadi saya juga mahu jadikan MADAD sebagai pilihan orang ramai yang mahu lakukan pelbagai aktiviti, bukan hanya sekadar solat semata.
“Alhamdulillah, fasa-fasa pembangunan seperti Masjid Darul Murthada, Rumah Kucing, Homestay, Stadium E-Sport, Hotel, Rumah Warga Emas dan beberapa projek lain sudah siap 60%. InsyaAllah menjelang Jun 2024, semua fasiliti ini siap sepenuhnya dan boleh digunakan orang ramai secara percuma dan dibuka 24 jam tanpa henti.
“Tak perlu bayar apa pun bila berkunjung ke MADAD. Nak naik kuda, kami ada berbelas ekor kuda. Naik percuma saja. Nak masuk rumah kucing pun kami ada lebih 800 ekor kucing di mana saya tubuhkan Pusat Pendidikan Kucing. Nak menginap di hotel, ada 32 buah bilik. Duduklah, bermalam sehari dua. Tak perlu bayar apa-apa, semuanya percuma.
“Kalau anak-anak nak bermain e-sport, kami ada stadium bagi tournament e-sport. Paling utama, kami akan pesan pada anak-anak, bila masuk waktu solat, wajib solat jemaah dulu. Kemudian baru sambung main.
“Kami juga ada gym di masjid, jadi tak adalah pakcik makcik melepak lepas balik dari masjid. Nak zumba ke semua ada. Tempat kami asingkan, lelaki dan perempuan. Ada memanah juga. Pendek kata, apa saja keperluan dunia, semuanya kami satukan di bawah MADAD ini,” kata Ustaz Yaacob ketika ditemui.
Tidak hanya keperluan duniawi dan ukhrawi, hartanah seluas tiga hektar yang dibangunkan sejak 2018 itu sudah menjadi pusat komuniti Islam pertama bertaraf antarabangsa dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM35 juta.
Ustaz Yaacob turut mewujudkan pusat perkahwinan terendah pada harga di bawah RM10,000 namun dewannya umpama hotel 5 bintang bagi memastikan urusan anak-anak muda yang ingin berumah tangga dipermudahkan.
“Tiap hari di MADAD, kami sediakan makan minum percuma. Kalau hujung minggu, berbas-bas datang ke sini. Hujung minggu mencecah 10,000 orang mengunjungi MADAD dan semua kami sediakan makan minum secara percuma kepada tetamu,” jemputnya dengan mesra.
AMALAN
Ditebak mengapa berhasrat melakukan amal kebajikan sebegini hebat, jelas Ustaz Yaacob, beliau ingin meneladani Nabi Muhammad SAW yang tersenarai sebagai Tokoh Paling Berpengaruh Di Dunia (The 100 – The Most Influential Person In History).
“Nabi jadi jutawan pada usia 18 tahun. Nabi solat hingga bengkak-bengkak kaki. Nabi masih belajar dengan Malaikat Jibrail di akhir usianya. Nabi juga tak malu menimba ilmu daripada sahabat walaupun dirinya lebih hebat. Nabi buat apa saja untuk menyatukan ummah termasuk hadapi cabaran ketika berdakwah dulu.
“Jadi semua kehebatan Nabi Muhammad ini perlu kita tiru dan sebarkan kasih sayangnya. Bagi saya, kenapa saya pilih lakukan amal kebajikan begini (memberi segalanya percuma) adalah kerana saya mahu menggunakan rezeki yang Allah kurniakan ke jalan sebaiknya.
“Percaya tak, saya tak ada kereta sendiri pun. Saya lebih suka naik Grab. Saya tak ada pun Lamborghini walaupun mampu membelinya. Tapi saya ada banyak van jenazah yang orang gunakan setiap hari. Saya beli van jenazah melebihi nilai sejuta ringgit dan bagi saya itulah kehebatan seorang manusia apabila dirinya mampu berbakti kepada orang lain.
“Kita semua akan mati dan akan menaiki van jenazah itu. Jadi saya persiapkan diri menjadi orang dikenali di akhirat kelak. Kalau beli Lamborghini, berdua saja boleh naik. Kemudian apa? Pose gambar kereta di media sosial biar orang puji dan kagum? Tapi apa kita dapat melaluinya? Hanya kebaikan untuk diri sendiri, bukan kepada ummah,” katanya yang kini berusaha menarik minat anak muda ke arah kebaikan.
“Kata Nabi, didik dan dekati seseorang termasuk anak menurut zamannya. Kita tak boleh fikir zaman kita dibesarkan kerana ketika itu tak sama dengan apa ada hari ini. Sebab itu, saya saja suka sedekah RM5 pada anak-anak yang datang solat jemaah ke Masjid MADAD. Bila anak datang, mak ayahnya mesti datang kerana takkan anak nak datang seorang. Bila kita semakin faham ilmu agama itu, institusi kekeluargaan akan lebih harmoni,” kongsinya.
Kata Ustaz Yaacob Yusra, demi mempersiapkan soal perjalanan akhir manusia iaitu kematian, dirinya turut menubuhkan Skuad Hang Cangkul dan Hang Cuci.
“Fungsi Hang Cangkul ini, bila ada kematian kita akan urus secara percuma dan semua ini anak muda yang lakukan. Tang Hang Cuci pula kami pergi bersihkan masjid-masjid yang ada termasuk masjid di MADAD yang saya jadikan bilik airnya seperti hotel lima bintang.
“Saya yang reka sendiri dalamannya. Macam hotel mewah. Sebabnya saya nak buang persepsi orang ramai tandas di masjid busuk dan tak terjaga. Jadi Skuad Hang Cuci inilah yang pergi bersihkan masjid-masjid sekaligus anak muda berukhwah di dalamnya,” katanya dalam nada bersemangat.
UJIAN
Pasti ramai tertanya-tanya di sebalik pelaburan besar dilakukan pada MADAD demi kelestarian dan ummah sejagat pasti kita tertanya-tanya dari mana sumber kewangan MADAD dijana.
Mengulas isu ini, Ustaz Yaacob mengakui pada awal penubuhan MADAD dahulu yang merupakan inspirasi dari arwah abangnya, Allahyarham Ustaz Murtadha yang meninggal dalam kemalangan jalan raya pada Januari 2018 dan Ustaz Wadi antara yang terselamat dalam kemalangan ngeri itu, beliau hanya meneruskan kesinambungan yang arwah abangnya impikan.
“Jujurnya pada awal penubuhan MADAD dulu, ia dijana daripada sumbangan duit orang ramai untuk pembangunan dan pembelajaran anak-anak tahfiz. Tapi saya berimpian lebih besar dari itu. Saya persiapkan diri dengan ilmu termasuk ambil double Master dan dah daftar pun buat PhD tahun depan.
“Saya belajar ilmu saham hingga dapat jolokan Ustaz Saham walau pun saya tak faham apa pun masa masuk kelas itu. Tapi dalam tahun itu, saya berjaya buat duit RM1 juta. Dari keuntungan inilah, saya mula merancang termasuk menubuhkan team yang membuat pelaburan dalam dunia saham.
“Alhamdulillah, di bawah MADAD ada 14 buah anak syarikat. Dari keuntungan-keuntungan inilah kita salurkan ke MADAD Care untuk orang ramai menikmati pelbagai kemudahan secara percuma. Alhamdulillah, saya dapat pasukan yang bagus. Dan masih ada yang bersedekah dan berwakaf kepada MADAD. Sikit sama sikit dirasai. Orang kaya berbakti, orang miskin berteduh.”
Jelasnya lagi, di sebalik kejayaan itu, terselit kepahitan bila mana ada laporan polis dibuat hingga perlu bersoal jawab dengan SPRM. Turun naik mahkamah juga ada. “Tapi syukur, kami mempersiapkan diri dengan buat audit. Jadi semua itu jadi bukti akaun syarikat. Turun naik mahkamah 4 kali pun kami menang. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan perjalanan MADAD.”
Terpilih menerima anugerah sempena Nona Superhero 2023 di bawah kategori Nona Best Community Dakwah Centre Award, jelas Ustaz Yaacob ia satu penghargaan buat semua. “Bagi saya berkongsi rezeki dengan semua ia adalah usaha patut diteruskan. Agama pun jadi sanjungan dan masyarakat juga menikmatinya,” katanya mengakhiri perbualan.
This website uses cookies.