“Abangku Uzair, semoga syurga menantimu.” Innalillahiwainnailaihirojiun, mengalir air mata baca luahan selebriti cantik yang kini sarat hamil, Uyaina Arshad tentang pemergian abang sulungnya ke rahmatullah pada pagi Jumaat.
Apabila seseorang sudah tiba ajalnya, maka tidak dapat lagi diundurkan atau dipercepatkan walaupun sesaat.
Perkhabaran duka tentang abang sulung Uyaina Arshad, Dr Mohd Attaful Uzair Arshad yang meninggal dunia akibat serangan jantung sudah tentunya cukup berat untuk diterima mereka seisi keluarga.
Arwah dikatakan pergi secara mengejut ketika berbasikal sekitar pukul 9 malam pada Khamis.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham yang juga berkhidmat sebagai seorang doktor di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur sempat meluangkan masa bersama keluarga dan mengakui risau keadaan Uyaina yang akan melahirkan anak nanti.
Arwah Dr Attaful meninggalkan seorang balu dan dua cahaya mata. Tulisan isterinya, Tini Mohammad di Instagram turut memaklumkan berita duka ini kepada sahabat handai dan kenalan mereka.
“Seperti diketahui ramai, suami tercinta yang sangat saya sayangi telah pulang ke negeri abadi pada malam tadi. Jenazah sekarang sedang di post mortem di HKL dan akan disembahyangkan di masjid Hospital Angkatan Tentera Mizan KL. Bakal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Piai, Kuala Selangor selepas zuhur.
Ya Allah, aku redha atas ketentuanMu. Pergilah hubby menemui Sang Pencipta yang Mulia. Sayang bersaksi sesungguhnya hubby seorang suami, ayah, anak dan hambaNya yg sangat baik. Pergilah hubby.. Sesungguhnya Allah tempat kita kembali.
Jika arwah suami saya ada berhutang dengan sesiapa, boleh hubungi saya. Maafkan salah silap dia ya. Allahu hubby, belum 24 jam hubby pergi, sayang dah rindu sangat-sangat. Rasa mcm hubby oncall sahaja malam tadi dan akan balik rumah kejap lagi.
InsyaAllah sayang akan jaga anak-anak kita dengan sepenuh jiwa dan nyawa sayang. Semoga kita disatukan semula di syurga nanti.” Tini Mohammad
HARI JADI UMMI
Uyaina yang memaklumkan berita sedih itu di laman Instagram turut meluahkan rasa terkilan apabila sambutan ulang tahun kelahiran ibunya, Siti Noor Farah Al-Wafa pada Jumaat (19 Ogos) yang sepatutnya disambut gembira kini bertukar duka.
“Hari ini, 19 Ogos adalah hari jadi Ummi.. Lama dia plan nak sambut birthday Ummi.. Akhirnya, hari lahir Ummi diiringi dengan pemergian anak sulungnya.. Allahuakbar..” Uyaina Arshad
Pada masa sama Uyaina juga mengagumi sikap arwah yang sering memberikan tauladan yang baik kepada adik-beradik.
“Lepas arwah Baba meninggal, dia jadi ketua keluarga. Dari kecil lagi dia sudah memberi contoh yang baik untuk kami adik beradik. Dia masuk asrama. Kami semua nak masuk asrama.
Dia berjaya dalam pelajaran, kami semua nak berjaya dalam pelajaran. Dia sentiasa dahulukan Ummi. Kami adik-beradik berebut nak berbakti untuk Ummi.” Uyaina Arshad
Tambah isteri kepada Raja Syahiran ini, sikap abangnya yang baik, pemurah dan penyayang sentiasa menjadi kenangan abadi di ingatan mereka sekeluarga.
“Baru je semalam kami berjumpa. Makan sama-sama. Bersembang macam-macam. Gelak sama-sama. Macam-macam juga dia pesan.. Dia risaukan adiknya nak bersalin.
Rupa-rupanya dia yang pergi dulu. Rasa tak percaya dia dah tak ada. Terlalu awal dia pergi.. Sama usia dengan arwah Baba sewaktu dia meninggal dunia..
Rasa terlalu perit dan sakit nak diungkap dengan kata2.. Kehilangan seorang insan yang terlalu baik. Kehilangan darah daging yang terlalu kami sayang.
Minta kalian semua hadiahkan Al-Fatihah buat Mohd Attaful Uzair bin Arshad. Doakan juga kesejahteraan serta kekuatan buat isteri dan anak-anaknya.” Uyaina Arshad
Salam takziah dan al-fatihah (dibaca) buat abang sulung Uyaina dan suami tercinta Tini Mohammad. Pastinya hati Ummi Siti Noor Farah Al-Wafa paling tersentuh ketika ini mengenangkan dua lelaki kesayangannya yang telah kembali menemui Ilahi.
This website uses cookies.