Ramai ibu bapa sekarang nekad tidak mahu menyuntik vaksin ke atas anak mereka dengan alasan yang tersendiri. Namun, bahagian perubatan terutama doktor-doktor bimbang dengan banyak kes penyakit yang sudah lama hilang dari radar perubatan kini muncul kembali.
Apabila diajukan tentang persoalan keengganan ibu bapa muda sekarang untuk menyuntik vaksin ke atas bayi mereka, komen Sari Yanti, “Saya tidak boleh komen tentang keengganan ibu bapa muda kini untuk memberi vaksinasi ke atas bayi mereka. Tetapi, saya secara peribadi mengikut saranan doktor. Doktor adalah insan yang mahir dalam tugas mereka dan tahu apa yang terbaik untuk masyarakat dan negara,” ulas Sari tentang isu suntikan vaksin tersebut.
Ketika bertemu dengan Sari Yanti di majlis Pop Look Gives Back With Sari Yanti x HOPE Worldwide Malaysia baru-baru ini, turut berkongsi tentang kelangsinganannya selepas bersalinkan Dariya Inara yang akan menyambut ulang tahun kelahiran yang pertama pada 26 April nanti.
“Jaga anak pun rasanya boleh kekal sihat dan langsing. Sebenarnya kalau nak ikutkan masa tidak berapa cukup pergi gym atau riadah lain sebab saya jaga anak sendiri. Jadi memang kurang masa untuk melakukan aktiviti senaman ini. Saya hanya melakukan senaman ringan sahaja di rumah,” ujar Sari Yanti yang belum bercadang untuk terjun kembali ke bidang lakonan kerana mahu menumpukan perhatian kepada Dariya.
Sari Yanti bersedia jika sekiranya menerima cahaya mata lagi. “Kalau ada rezeki dari Allah SWT bila-bila pun saya tidak kisah. Sebab kalau merancang memang saya yang rugi. Ini kerana saya pernah mengalami Ectopic Pregnancy jadi tiub saya pun ada satu sahaja. Kalau ada rezeki kenapa nak tolak. Saya bersyukur walau hanya ada satu tiub tapi Allah SWT kurniakan Dariya.
Ada orang lain yang turut mempunyai 1 saluran tiub fallopian tetapi belum dikurniakan anak lagi. Jelas terpancar sinar kebahagiaan di wajah Sari Yanti selepas mengikat ikatan perkahwinan bersama pelawak terkenal, Jep Sepahtu. Kehidupan selebriti kelahiran Negeri Sembilan ini umpama sudah lengkap dengan kelahiran anak perempuannya, bersama-sama dua lagi anak lelakinya, Barr Al Aliy dan Baasit Al-Haq sewaktu perkahwinan terdahulu.
This website uses cookies.