Benar kata orang hendak seribu daya tak nak seribu alasan. Kagum dengan wanita yang mempunyai nama Vanidah Imran ni. Menceburkan diri dalam dunia seni sejak usia 21 tahun, kini wanita yang berusia 47 tahun ini telah mengapai cita-citanya bergelar pensyarah.
Dikurniakan wajah klasik, selebrti memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 pada tahun 2007 telah berkongsi di laman media sosial miliknya tentang tugasnya sebagai pensyarah yang terpaksa melakukan kelas kuliah secara maya bersama pelajarnya. “ODL again this sem…. haih! Bertabahlah my dear students. Final sem…. final battle … you can do this,” tulisnya.
Wanita yang pernah menyertai pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 1993 dan berjaya merangkul tempat kedua ini bergelar pensyarah sambilan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana.
Wanita yang berdarah keturunan India-Jawa ini turut menzahirkan rasa syukurnya melalui komennya, “My dream came true. Syukur, alhamdullilah,” tulisnya lagi. Tahniah! Vanidah Imran kerana menyuntik inspirasi kepada semua wanita untuk mengejar cita-cita mendidik anak bangsa. Tiada istilah lambat atau cepat dalam mengejar cita-cita yang penting usaha dan tawakal, kan.
Ketika ditanya tentang pengurusan masa, jawabnya ringkas, “Like everything else in life, we just have to learn to juggle our time,” katanya.
Vanidah juga berjaya membuktikan wanita memang hebat dalam multitasking. Sewaktu masih bergelar isteri dan tawaran seni yang tidak pernah putus, Vanidah tetap mampu melanjutkan pengajian di peringkat ijazah. Empat tahun ‘berjuang’ membahagikan masa di antara keluarga, kerjaya dan pelajaran akhirnya wanita berjiwa cekal ini berjaya memperoleh Ijazah Bahasa Inggeris di Universiti Terbuka Malaysia.
Sebelum ini Vanidah pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Rashidi Ishak pada 1 Oktober 2000 namun bercerai pada Ogos 2018 selepas 17 tahun berkahwin. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mikhail Imran, 19 tahun dan Maryam Rashika, 16 tahun.
Vanidah Imran ni selalu join marathon, mungkin ada kasut sukan macam Vanidah kat sini
Wakaf Al-Quran Kepada Ashraf Muslim dan Pesakit COVID-19 di Hospital Sungai Buloh, Lambang Kemurnian Hati VIP Ini.
Sudah menjadi adat saat mendaki tangga kejayaan, pasti akan ada onak dan ranjau yang perlu ditempoh. Kemanisan sesebuah kemenangan bukan hal yang mudah untuk diperoleh. Seperti wanita anggun yang penulis temubual ini, memulakan kerjaya di awan biru sebagai seorang pramugari selama lima tahun, kemudian mengambil risiko berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri dalam bidang travel & tour.
Satu demi satu kejayaan ditempa oleh Datuk Hajah Rozzana Rahmat dan kini beliau mahu berbakti untuk anak bangsa menerusi Yayasan Ihsan Rakyat yang telah ditubuhkan sejak tahun 2013.
“Dalam dunia perniagaan kita harus mengamalkan sikap profesional dan juga jujur. Bukan sahaja kepada orang lain tetapi kepada diri sendiri. Jangan pernah menipu dalam perniagaan kerana kalau kita berjaya disebabkan sikap menipu nescaya suatu hari nanti kita akan jatuh terduduk.
Apabila memulakan perniagaan apa yang paling penting kita perlu percaya dengan produk yang dihasilkan. Namun begitu langit tidak selalu cerah, andai kata produk yang kita tawarkan tidak laku ataupun mendapat sambutan hambar itu bukan bererti kita boleh mengalah.
Sebaliknya kaji apa kesilapan yang berlaku, ini merupakan satu keberanian yang akan menerbitkan kejayaan. Kesungguhan yang mendalam akan memberikan kejayaan. Seperti yang saya lakukan, semuanya tidak mudah. Bermacam-macam halangan yang perlu ditempuhi, ia bukan dibina dalam masa sehari tetapi bertahun lamanya. Apabila kita berjaya dengan cara yang betul, pasti Allah SWT akan meredai apa yang diperjuangkan, Insya Alla,” katanya.
Dalam suasana kita masih diselubungi keadaan PKPP dan COVID-19, bagaimana dengan keadaan perniagaan Datuk Rozzana dalam industri pelancongan. “Alhamdulillah Kerajaan telah membenarkan rakyat Malaysia untuk meneruskan percutian domestik, Cuti-cuti Malaysia.
Kami telah kembali melaksanakan operasi perniagaan dengan membuat perancangan untuk fokus pada small group domestic tourism. Selain daripada bercuti, kita akan terapkan dengan aktiviti pengisian jiwa dengan seminar dan program motivasi diri. Kita ingin bangkitkan kembali semangat dan kekuatan setiap individu dalam mengharungi keadaan yang berlaku sekarang,” jelas Datuk Rozzana.
Sudah lama berkecimpung dalam dunia perniagaan dan bermacam-macam ragam orang telah personaliti anggun ini bersemuka. Semestinya setiap satu rencah kehidupan telah dikutip menjadikan beliau kuat dan positif seperti apa yang ditonjolkan menerusi personalitinya.
“Sepanjang terlibat di dalam dunia perniagaan saya banyak belajar tentang hubungan sesama manusia. Bagi saya orang zaman sekarang banyak mengambil mudah soal masa. Mereka seolah-olah tidak menghargai apa yang mereka miliki. Kalau nak tahu salah satu formula kejayaan dalam kehidupan adalah dengan menjaga hubungan kita bersama suami atau isteri, ibu bapa, adik beradik, jiran tetangga dan juga anak-anak.
Cuba kita luahkan perasaan sayang dan juga rindu kepada mereka. Jangan hanya sekali setahun baru hendak pulang ke kampung serta tidak bertegur sapa dengan jiran. Kita jaga keharmonian ini agar nilai postifnya meresap ke dalam minda. Barulah kita berasa gembira untuk menempuhi hari-hari yang mencabar,” ujarnya.
Di sebalik kesibukan menguruskan pelbagai jenis perniagaan, satu perkara yang dekat dihati wanita berusia 50-an ini adalah amal kebajikan. Demi mengimbangi antara dunia dan akhirat, beliau mengambil keputusan untuk membangunkan sebuah yayasan yang diberi nama Yayasan Ihsan Rakyat pada tahun 2013.
Berbicara soal yayasan ini, “Tujuan saya menubuhkan yayasan ini adalah bagi memberikan bantuan dalam kadar segera atau ad-hoc. Ia lain dari yayasan yang memberikan pertolongan berterusan. Saya lebih menumpukan kepada membantu golongan miskin yang tidak mampu menguruskan pengebumian, mereka yang terlibat dengan bencana alam secara tiba ataupun mereka yang kurang berkemampuan yang mahukan bantuan segera dari segi kewangan mahupun perubatan.
Jadi tidaklah perlu mereka memohon dan perlu melaluai tapisan panjang baru mendapat pertolongan, Insya Allah yayasan yang saya bina ini akan membantu. Setiap kes akan kami saring sesegera mungkin dan sebaiknya agar mereka yang benar-benar layak menerima bantuan ini demi kesejahteraan kehidupan.
Sepanjang PKP kita memberi bantuan kepada mereka yang kita kenal pasti memerlukan bantuan. Disebabkan waktu tersebut kita tidak boleh turun sendiri, kita meminta team infaq yang berada di kawasan atau daerah negeri tersebut untuk sampaikan bantuan bagi pihak kami kepada golongan asnaf. Antara negeri yang telah menerima bantuan seperti di Kedah, Kelantan, Selangor dan termasuk juga pihak misi kemanusiaan lain yang memerlukan sumbangan.
Kita juga telah berhubung dengan fronliner di Sungai Buloh untuk memberi bantuan kepada pesakit COVID-19. Mereka terdiri daripada pelajar Madrasah Pondok Temboro, Jawa Timur yang pulang ke Malaysia melalui Misi Kemanusiaan. Kesemua mereka berada di wad 31, 43 dan 38.
Sepanjang di sana, setiap hari kita memberi makanan. Bukan mereka tidak ada makanan, tetapi makanan tambahan. Saya juga membuat LIVE melalui sosial media setiap malam untuk memberi awareness kepada semua. Saya juga membantu mereka menyediakan kenderaan untuk pulang setelah semuanya sembuh, alhamdulillah.
Saya juga menghubungi Ashraf Muslim yang turut berada di sana sebagai pesakit Covid ketika itu, bertanyakan apa yang mereka perlukan di wad. Dan mereka memerlukan Al-Quran terjemahan. Kita sediakan naskhah yang baru untuk setiap orang di wad tersebut bersama sejadah, kebetulan di rumah saya selalu buat majlis takzirah dan majlis ilmu memang ada standby sejadah.
Saya turut berikan kepada mereka, termasuk air zam-zam dan suplemen. Kami juga memberi makanan tambahan buat wira kita yang bertugas sebagai fronliner di sana,” menitis air mata Datuk Rozanna kala berceita tentang pengalaman itu.
Apakah insiden yang paling terkesan di hati Datuk sepanjang melakukan pelbagai kerja kebajikan? “Banyak sebenarnya peristiwa yang terkesan di hati saya dan kesemuanya memberikan satu titik keinsafan. Namun ada satu kes ini yang begitu menyayat hati, mungkin disebabkan faktor saya sebagai seorang ibu. Yayasan kami ada membantu tiga beradik yatim piatu yang kehilangan ibu dan bapa dari dipisahkan antara satu sama lain.
Kalau diserahkan kepada kebajikan masyarakat mereka mungkin akan ditempatkan kepada keluarga angkat yang berbeza-beza. Mana mungkin saya tegar melihat kasih tulus mereka dipisahkan. Jadi yayasan ini mengambil keputusan untuk menyalurkan sumber kewangan kepada nenek mereka sebagai bekal untuk menampung kehidupan mereka anak beranak. Jadi tidak pelu dipisahkan adik-beradik tersebut,” ujar Datuk Rozzana.
Apakah filosofi kehidupan yang Datuk amalkan? Jawab beliau, “Reda! Ini satu perkataan yang ringkas namun besar maknanya. Dalam apa yang kita lakukan kita perlu reda dengan bagaimana pengakhiran atau keputusannya. Segala usaha telah dilakukan dan keringat telah diperah, jadi biarlah Allah yang memutuskannya. Jika rezeki untuk mendapatkan sesuatu tidak menjadi, maknanya ia bukan ditakdirkan menjadi milik kita. Jika kita reda, maka hati tidak akan mati dan akan terus memandang ke hadapan untuk menghadapi sesuatu yang lebih gemilang. Insya Allah.”
Semangat LUAR BIASA 5 Selebriti Ini Sebagai PEJUANG Kanser Payudara Cetus Inspirasi
Hakikatnya perjuangan ini bukan satu perkara yang mudah. Kanser adalah penyakit yang paling menakutkan bagi sesiapa saja khususnya wanita yang menghidap kanser payudara. Pun begitu, masih ada peluang untuk sembuh jika usaha dan keyakinan. 5 selebriti ini mencetuskan inspirasi buat kita tentang semangat luar biasa yang dimiliki.
KYLIE MINOGUE
Pada awalnya ia salah didiagnosa tentang kansernya. Setelah beberapa doktor menyatakan tiada apa-apa pada tubuhnya, naluri wanita ini mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Kylie kemudiannya mendapatkan pandangan lain dan hasil pemeriksaan kedua menunjukkan Kylie memang menghidap kanser payudara!
Pada usia 37 tahun (ketika itu) Kylie berjuang dengan pembedahan dan kemoterapi. Sejak itu Kylie terus mendesak kaum wanita untuk ‘mendengar’ apa kata tubuh mereka dan terus melakukan pemeriksaan jika merasakan sesuatu. Jangan hanya percaya kepada seorang doktor saja kerana andalah yang paling kenal tubuh sendiri.
OLIVIA NEWTON-JOHN
Aktres popular filem “Grease” ini dinyatakan bebas kanser payudara sekitar tahun 2005. Sebelumnya, ia bertahun-tahun bergelut dengan kemoterapi, ubat-ubatan herba, akupuntur dan pemulihan psikik.
Terilhamnya album “Stronger Than Before” bagi menginspirasikan masyarakat apa yang dialami di samping kesukaran yang dilalui dalam proses penyembuhan. Tahun 2017 Olivia kembali disahkan kanser payudara dan kali ini lebih buruk. Namun Olivia tetap merasa percaya diri dan kembali fokus terhadap kesihatannya.
PEVITA PEARCE
Selebriti muda ini pernah menghidap kanser payudara selama tiga tahun. Pevita sengaja menyembunyikan kisahnya ini daripada pengetahuan umum mahupun media. Banyak rawatan yang dilakukan, akhirnya adik kepada Keenan Pearce ini disahkan sembuh setelah menjalani pembedahan di Kuala Lumpur.
CYNTHIA NIXON
Bintang “Sex and the City” ini menjaga kesihatannya dengan baik setelah disahkan menghidap kanser payudara pada tahun 2002. Nixon menjalani rawatan lumpectomy serta radiasi. Nixon melihat perjuangan survivor kanser dari orang terdekat iaitu ibunya sendiri yang meninggal dunia pada usia 82 tahun kerana kanser payudara. Bagi Nixon perkara paling penting perlu dilakukan ialah amalkan rutin pemeriksaan mamografi dan tidak menangguhkan pemeriksaan rutin.
SHERYL CROW
Penyanyi yang melakukan pemeriksaan mamografi secara rutin ini mendapati dalam dirinya ada sel kanser di kedua-dua payudara. Ia disahkan sekitar tahun 2006. Crow segera melakukan rawatan preventif seperti radiasi yang digabungkan dengan akupuntur di samping meminum teh herba.
Crow juga sentiasa berada dalam lingkungan yang positif untuk penyembuhannya. Crow mengakui dirinya terinspirasi daripada kisah seorang wanita yang melawan kanser melalui sokongan positif daripada keluarga dan rakan-rakan.
Wanita Ini Bukan Sahaja Memaafkan Pembunuh Anaknya Malahan Mahu Menjadi Sebahagian Daripada Hidup Pembunuh Tersebut
Jarang-jarang kita dengar pembunuh dimaafkan oleh keluarga mangsa. Lebih-lebih lagi anak yang dibunuh itu merupakan anak bongsu yang selama ini baik dan juga antara tunggak utama keluarga. Kemuliaan hati wanita bernama Rukeya Abdul Mutakallim, 66 sangat meruntun hati dan mengundang air mata buat juri serta media yang hadir di mahkamah.
Dalam kejadian yang berlaku pada 28 Jun 2015 di South Cumminsville, Cinccinnati,Ohio di bawah jejambat jalan raya,Suliman Abdul Mutakallim berusia 39 tahun merupakan seorang pesara tentera laut sedang dalam perjalanan pulang dari restoran sambil membawa bungkusan makanan apabila di tahan oleh tiga penjenayah.
Polis menegaskan dari rakaman video Javon bertindak mengambil wang dari poket seluar Sulaiman yang ketika itu berada dalam keadaan terbaring selepas menembaknya dan kemudian menyerahkan wang tersebut kepada rakan subahatnya.Namun hanya dua sahaja yang berjaya ditangkap. Dua penjenayah tersebut ialah Javon dan Valentino Pettis masing-masing berusia 14 dan 17 tahun ketika kejadian pada tahun 2015. Mereka beredar dari lokasi kejadian meninggalkan Sulaiman yang terbaring berlumuran darah.
KEMAAFAN
Rukiye yang merupakan wanita berasal dari North carolina, Amerika Syarikat merupakan seorang muslim sejati yang mengikut ajaran Islam dengan baik selepas memeluk agama itu ketika masih di alam remaja. Dalam satu temubual wanita ini menceritakan bagaimana dia berada di sebelah anaknya yang sedang nazak di Pusat Perubatan Universiti Cincinnati dan dia memegang tangan anaknya heingga nafas terakhir.
Dua tahun selepas kematian sewaktu pendengaran semula kes, Rukiye memohon kepada hakim untuk memeluk Javon yang telah mengaku bersalah ke atas tuduhan membunuh. Tindakan Rukiye ini untuk membuktikan bahawa dia mampu melihat Javon lebih dari sekadar pembunuh anaknya dan mahu membantu Javon menjadi lebih baik. Dia juga bersumpah untuk membantu pembunuh anaknya itu mendapatkan kehidupan yang baik
“Kematian anak saya sudah ditentukan oleh Allah SWT, mungkin kematiannya adalah untuk mengubah kehidupan anda,” tutur wanita itu kepada Javon.
Tambahnya lagi kepada wartawan, “Lelaki-lelaki muda ini walaupun mereka mengambil nyawa anak saya, kita perlu berjuang untuk mereka. kerana nanti mereka akan keluar dari penjara dan ketika itu mereka sudah tua. Kalau tiada orang yang mendorong mereka untuk melakukan kebaikan ‘penyakit’ ini akan kembali dan peristiwa sama akan berulang dan kemungkinan mereka akan mengambil nyawa oarang lain dan kemudian nyawa mereka sendiri. Kita harus berjuang untuk mereka agar mereka mampu melihat bahawa ada sesuatu yang lebih baik di dalam kehidupan”
Jom dengar ucapan wanita ini hebat ini kepada pembunuh anaknya,