Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan hingga 28 April ini, rata-rata masyarakat ‘merungut’ betapa berbezanya sambutan puasa tanpa kebiasaan bersolat tarawih di masjid dan bazar Ramadan.
Namun kalau diteliti laporan kes COVID-19 hingga semalam, barangkali kita pun boleh meramal, dunia luar masih belum selamat dari jangkitan. Sebenarnya peluang di rumah pada bulan puasa nanti seharusnya dimanfaatkan. Mungkin sebelum ini kita terlalu sibuk, jadi cuba untuk kali ini saja, kita rebut sebanyak-banyak nikmat di bulan Ramadan.
Salah satu dialog menarik adalah di antara Menteri Agama, Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) di IGTV. Kedua-dua murabbi kesayangan rakyat Malaysia ini saling berpendapat bahawa PKP ketiga ibarat ‘dalam bala ada nikmat’.
Sebagai agamawan, Dr. Zulkifli selalu berkongsi pandangannya melalui platform media sosial. Antara isu-isu yang pernah ditegurnya adalah kontroversi tajuk drama Isteri Untuk Disewa dan status jantina usahawan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman (Nur Sajat) ketika menunaikan umrah di Mekah.
Dr. Zulkifli dilahirkan pada 16 Januari 1969 di Kampung Goh Pauh, Kemaman, Terengganu. Sebelum ini beliau merupakan mufti Wilayah Persekutuan dan juga pengasas kepada Pondok Moden al-Abaqirah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk, tidak sedikit pun Tokoh Maulidur Rasul 2012 Peringkat Wilayah Persekutuan itu berbangga diri dengan jawatan tersebut.
Gunakan Sebaiknya
Biarpun berpangkat besar, beliau sebenarnya seorang yang merendah diri dan sering mendengar pandangan agamawan lain.
Satu soalan Dr. Zulkifli yang menarik perhatian ramai, adalah sewaktu beliau bertanya soalan kepada UAI bagaimana kalau UAI dilantik memegang jawatan Menteri Agama Malaysia.
Jawab UAI, apabila seseorang individu mendapat kuasa atau pengaruh, gunakanlah peluang itu sebaik-baiknya. Kelak nanti tanggungjawabnya akan dipersoalkan Allah.
https://www.instagram.com/p/B-tkD3DlBQL/?utm_source=ig_web_copy_link
Mula dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan pada 2014, Zulkifli menjadi pakar rujuk dalam pelbagai isu agama dan beliau turut menghasilkan beberapa penulisan buku keagamaan seperti Bayan Linnas, Irsyad Fatwa dan Irsyad Usul Fiqh.
Kelantangannya mencoret nasihat-nasihat agama berkaitan isu semasa membuatkan rakyat semakin menyayanginya. Beliau dianggap seorang agamawan yang menegur tanpa sebarang prejudis, hanya mahu menegakkan hukum dan syiar Islam.
Semoga Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dikurniakan kekuatan, kesihatan dan kesabaran memimpin kementeriannya kelak sekaligus mengangkat syiar Islam di Malaysia.