Mengenang musibah banjir yang melumpuhkan sebahagian besar negeri Pulau Mutiara hari ini, Nona sendiri turut berdebar menantikan perkembangan demi perkembangan semasa tentang nasib mangsa di sana.
Satu persatu video rakaman orang awam dan foto-foto yang dirakamkan mereka sebelum berlakunya hujan luar biasa sejak jam 2 petang Sabtu (4 November 2017) menimbulkan rasa bimbang, bertembung pula dengan fenomena air pasang yang menyebabkan banjir kilat di negeri tersebut.
Sayu melihat hampir keseluruhan kawasan rendah di sana dinaiki air, pokok-pokok tumbang dan kerosakan harta benda yang dahsyat kepada penduduk setempat. Malah sampai ke detik ini, dikhabarkan banyak rumah-rumah yang keputusan elektrik dan terpaksa bergelap sejak siang tadi.
Dengar video bunyi angin ini memang menyeramkan.
Antara kawasan yang dilaporkan terjejas adalah Kampung Masjid, Jalan P. Ramlee, Sungai Pinang, Lebuh Carnarvon, Jalan Anson, Halaman Bukit Gambir di George Town, Bayan Baru, Bayan Lepas, Batu Feringghi, Balik Pulau dan beberapa kawasan di Seberang Perai.
Selain kawasan perumahan, hospital awam, hotel dan pelbagai tempat tumpuan pelancong juga menerima tempiasnya. Bukan saja pesakit, malah tetamu hotel dan pelancong juga kini dikatakan masih terperangkap di lokasi masing-masing.
Terdahulu, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini kerana keadaan terkini masih terkawal.
Katanya, darurat hanya akan diisytihar oleh kerajaan negeri selepas rundingan dan atas nasihat kerajaan persekutuan.
Banyak dakwaan yang sampai ke telinga Nona mengaitkan bencana banjir ini sebagai satu peringatan Tuhan terhadap kerakusan pembangunan di Pulau Pinang. Antaranya pembinaan bangunan di lereng-lereng bukit serta pelbagai aktiviti meratakan kawasan tinggi.
Marilah kita meletakkan iktikad bahawa apa yang berlaku adalah perancangan dan kehendak Allah yang menghendaki kita berfikir sebaik-baiknya.
“Ya Allah, tidaklah Engkau jadikan semua bencana dan malapetaka ini suatu yang sia-sia melainkan ada sesuatu di sebaliknya, Maha Suci Engkau Ya Allah, lindungilah kami dari azab api neraka”.
Sama ada musibah atau pun hikmah, kedua-duanya harus dipandang secara serius oleh semua pihak. Semoga air banjir cepat surut dan tiada kemalangan jiwa berlaku rentetan bencana alam ini. Norzalina Mohd Alias
Sumber: Facebook (Page Penang Kini & Penang La Nii)
This website uses cookies.