Wahai Wanita, Ketahuilah CANTIK & BERSIH Itu Satu Ibadah! Biarlah Kena Pada Caranya

Wanita dikatakan sebagai perhiasan dan pelengkap dalam sesebuah kehidupan. Kerana itu kaum wanita disarankan agar sentiasa tampil cantik, kemas, bersih serta berbau wangi. Namun semuanya dilakukan mestilah semata-mata untuk suami.

Inilah kelebihan kepada kaum wanita. Memperkemaskan diri, bersih dengan harum-haruman dan ia dilakukan untuk suami, dianggap sebagai suatu ibadah. Melakukan ibadah dengan penuh keikhlasan, pahala ganjarannya. Begitu mudah untuk wanita memperoleh pahala. Dan sebaliknya jika ia dilakukan bukan untuk suami, dan suami tidak menghalang, suami pula yang akan menanggung dosa tersebut.

Tetapi apabila disebut tentang penampilan, sepatutnya ia bukan hanya ditujukan kepada kaum wanita. Bahkan, lelaki juga disarankan agar sentiasa kemas, bersih dan wangi ketika di rumah. Namun apa yang berlaku, ramai lelaki yang tidak mempedulikan penampilan diri ketika di rumah atau ketika bersama isteri.

Di luar rumah, merekalah lelaki paling kacak dan begitu berkarisma. Tapi ketika di rumah penampilannya tak ubah seperti ‘pakcik-pakcik’. Saban hari dengan baju-T Pagoda lusuh dan kain pelekat atau seluar pendek lusuh tanpa berbaju. Rambut kusut masai dan badan berbau tengik kerana malas hendak membersihkan diri.

Dalam hal ini mungkin ada yang akan berkata, isterilah yang bertanggungjawab dalam menonjolkan imej suami. Memang betul! Tetapi jika penampilan di rumah pun perlu ditentukan oleh isteri, alahai … .

Kenyataannya, seperti mana lelaki yang sentiasa ingin melihat wanita atau isterinya cantik, demikian jugalah halnya dengan wanita. Mereka juga mempunyai citarasa. Sentiasa ingin melihat suaminya kemas, bersih dan wangi.

Kebersihan

Soal penampilan dan kebersihan diri adalah tuntutan agama. Ia adalah ibadah jika dilakukan dengan ikhlas dan bukan menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Tidak kira kepada kaum wanita atau pun lelaki. Soal penampilan mungkin tidak menjadi masalah. Kerana ia mudah difahami kerana ia boleh dilihat dengan mata kasar. Tetapi dalam soal kebersihan, ia terbahagi kepada dua. Bersih zahir dan bersih batin.

Kebersihan batin boleh dilakukan dengan membersihkan hati dari akhlak-akhlak yang keji, seperti sombong, riak, hasad, cinta keduniaan dan lain-lain.  Juga dapat dilakukan dengan mengisi jiwa kita dengan budi pekerti yang terpuji, seperti tawaduk, mempunyai rasa malu, ikhlas, dermawan dan sebagainya.

Salah satu jalan untuk menyelamatkan diri kita dari akhlak-akhlak yang buruk agar memperoleh akhlak mulia telah disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin Juzuk yang ke 11.

Mungkin ada yang berkata, kebersihan batin saja yang boleh dilihat dengan mata kasar atau pun melalui deria bau. Sebenarnya kebersihan batin juga boleh dilihat dengan semua pancaindera. Ini kerana mereka yang bersih batinnya, di wajahnya akan terpancar ketulusan dan ketenangan. Kehadiran mereka sentiasa disenangi.

Kebersihan Zahir

Kebersihan zahir pula dapat diperoleh dengan meninggalkan segala yang bertentangan dengan agama dan menjalankan segala sesuatu yang sesuai dengan tuntutan syariat Islam. Barang siapa menghiasi anggota lahiriahnya dengan beramal soleh serta memperbaiki jiwanya dengan akhlak mulia, maka sempurnalah kebersihannya. Jika masih tidak mencapai kesempurnaan itu, tetapi masih berusaha menjalankan kebersihan itu, ia pun masih mendapatkan bahagian kesempurnaan. Sesuai dengan berapa banyak akhlak keji yang ia hindari dan berapa banyak amal soleh yang ia dilaksanakan .

Termasuk dalam kategori kebersihan zahir iaitu menghilangkan segala kotoran di dalam tubuh, bersuci dari hadas dan najis, menghilangkan bulu yang ada di ketiak, mencukur kumis serta memotong kuku. Makruh melambatkan membersihkan hal-hal yang tersebut hingga empat puluh hari. Kebersihan zahir yang lain iaitu menghilangkan kotoran yang ada di celah-celah dan lubang yang ada pada tubuh kita, membersihkan kotoran di mata, membuang kotoran yang ada di dalam hidung serta membersihkan gigi terutama ketika hendak menunaikan ibadah .

Selalu membersihkan pakaian yang kotor dan jangan menggunakan air secara berlebihan.  Beberapa hal yang berhubung dengan kebersihan adalah meminyak janggut dan menyisirnya, juga sunat merapikan setiap rambut yang dipelihara. Disunatkan bercelak sebagaimana yang telah dilakukan Rasulullah SAW.

Wangi-Wangian

Gunakan pula wangi-wangian khususnya ketika hendak mendirikan solat Jumaat dan ketika menghadiri suatu majlis. Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat suka menggunakan wangi-wangian, sampai kilauan minyak yang ada di kepala beliau terlihat dengan jelas. Hal itu ia lakukan agar umatnya dapat memakai wangi-wangian, tubuh beliau sudah harum bahkan ada sebahagian sahabat mengumpulkan keringat beliau untuk dijadikan wangi-wangian.

Aisyah berkata yang bermaksud,

“sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyaki badannya, baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isterinya baginda meminyaki bagian lain tubuh Rasulullah s.a.w. ( Hadis Riwayat Ibnu Majah ).

Disunatkan bagi kaum lelaki menggunakan wangi-wangian, tetapi sebaliknya kaum wanita dilarang menggunakan kecuali ketika bersama dengan suaminya.

Berusaha

Kita dituntut memperbaharui wuduk setiap kali mengerjakan solat fardu. Berusaha untuk sentiasa suci dan berwuduk ketika berhadas, kerana wuduk adalah senjata mukmin. Apabila senjata sudah ada di tangan, musuh pun tidak akan berani mendekati kita.

Kekerapan mengambil wuduk akan membersihkan beberapa anggota badan. Di mana setiap mukmin pasti akan terhindar daripada kekotoran. Selain daripada itu, air wuduk yang membasahi wajah mampu menjadikan seseorang itu sentiasa berseri. Sehingga ada yang berkata, walau pun wajahnya tidak cantik, tetapi manisnya tetap ada.

Kita dituntut menunaikan solat dua rakaat setelah berwuduk. Jika tidak mampu, hendaklah bersuci dari hadas ketika memasuki masjid, membaca Al-Quran, berzikir dan lain-lain.  Semasa berwuduk atau mandi, janganlah hanya melaksanakan yang fardu saja, sebaiknya tunaikan pula sunnah-sunnah dan adab-adabnya, sesuai dengan ajaran Rasulullah SAW.

Sesungguhnya, cantik, bersih dan wangi bukan hanya sebagai memenuhi sunnah Rasulullah SAW, tetapi juga akan menambahkan lagi kasih sayang dan keakraban pasangan suami isteri.ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

 

Share
Published by
Suzi