Macam tak berubah pelakon berbakat besar, Sherie Merlis. Meniti usia 50 tahun, dia bukan hanya kelihatan sihat dan ceria. Bahkan penampilan aktres handalan ini ibarat tidak dimamah usia dan awet muda. Bertuah empunya badan!
Ads
Terkenal sebagai anak seni yang tak lekang senyuman di bibir dan bakat lakonan yang mantap, Sherie Merlis atau nama sebenarnya Sharifah Saadah Wan Zainal Abidin masih aktif mewarnai industri seni.
Malah, dia juga menjadi tenaga pengajar FINAS bagi mengasah kemahiran penghayatan lakonan dalam kalangan bakal pelapis baharu.
Walau industri seni hari ini menerima kehadiran ramai muka baharu namun pesona dan kemampuan Sherie sebagai pelakon sentiasa mendapat pujian dan dinanti-nantikan peminat seni tanah air.
Pendek kata, aura ibu empat anak ini masih berbisa. Sherie dilahirkan di Sibu, Sarawak dan khabarnya mewarisi keturunan Arab dan Melayu dari ayah. Manakala ibunya pula berketurunan Melayu dari Indonesia dan Cina.
Sepanjang lebih 30 tahun bergelar anak seni, Sherie berjaya membawa watak dan menggalas karakter yang diberikan dengan sebaiknya.
Komitmen dan disiplin aktres ini dalam kariernya terbukti menerusi i-Tanggang yang menguji kemampuan Sherie melakonkan watak ibu psiko. Pelakon serba boleh!
Sebelum ini dia pernah membintangi filem Leftenan Adnan dan tahun 2022 Sherie muncul dalam filem Tablis Iblis serta Coast Guard Malaysia: Ops Helang pada Februari 2023.
Terdahulu, dia pernah berkahwin dengan pelakon Esma Daniel dan dikurniakan dua anak iaitu Habib Daniel, 29 tahun dan Harith Daniel 28 tahun.
Ads
Pada 2 Januari 2012, Sherie bergelar isteri kepada Tengku Shafiz Rullah As Syafiee atau dikenali sebagai Ash. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Tengku Kaseh Anaqah berusia 11 tahun dan Tengku Areef Bolkiah, sembilan tahun.
Seraut wajah bersih tanpa cela pasti tersenarai antara wishlist wajib bagi setiap wanita. Saban bulan kulit dimanja dengan produk penjagaan terbaik sambil sesekali membelainya dengan rawatan wajah intensif. Anda berhabis ribuan ringgit, namun kenapa masalah kulit tetap melanda?
Jika anda masih runsing dengan kondisi kulit bermasalah, cuba perhatikan rutin corak pemakanan – barangkali yang ‘di dalam’ itu perlukan lebih perhatian.
Detoksifikasi
Sedar atau tidak, kebanyakan makanan di sekeliling kita telah dicemari dengan toksik. Bahan-bahan tercemar ini mudah larut dalam darah dan seterusnya diangkut ke seluruh tubuh.
Sesekali lakukan detoks untuk ‘mencuci’ sistem penghadaman dengan cara bijak dan sihat. Selepas melakukan ‘cucian’ perut ini, anda dapat merasa perbezaan ketara pada kulit – ia lebih segar dan bercahaya dari dalam. Yang penting, mulakan amalan ini dengan mendapatkan konsultasi doktor terlebih dahulu jika anda sedang mengandung, menghidap diabetes, di bawah pengaruh ubat atau berpenyakit.
(a) Detoks Hujung Minggu
Makan banyak buah-buahan segar sewaktu bersarapan. Pilihlah yang berwarna cerah seperti kiwi, anggur, mangga, betik, pic, beri, strawberi, pir dan epal.
Jamah segenggam kekacang sebagai snek sarapan bersama teh hijau, teh herba atau air suam.
Sediakan semangkuk salad istimewa untuk makan tengah hari dengan campuran bunga kobis, tomato, timun, brokoli, lada hijau, hirisan lobak, avokado, sedikit rempah dan bawang. Tambah perisa dengan minyak zaitun secukupnya, hirisan herba, bawang putih, jus lemon dan cuka.
Waktu snek diisi dengan kuaci, gajus dan biji labu atau pek kecil yogurt tulen sambil menghirup teh hijau atau teh herba.
Buat stim kukus sayur-sayuran segar dan berwarna cerah seperti brokoli, bunga kobis, labu air, bawang perai dan kobis merah dengan herba untuk makan malam.
(b) Detoks Harian
Minum banyak air mineral atau bertapis sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Tambahkan sedikit perisa dengan memerah jus limau nipis atau merendam hirisan lemon untuk kelainan.
Tukar amalan meminum kopi dengan teh hijau. Ia kaya dengan antioksidan dan boleh ‘mencuci’ usus.
Jus buah-buahan pekat dan segar seperti jus lobak, epal, tembikai, betik dan sebagainya sangat digalakkan tetapi jauhi gula dan ais.
Banyakkan makanan berunsur buah-buahan, sayuran hijau, berfiber dan cecair untuk memudahkan proses penyahtoksinan. Rosmah Idayu Abu Samah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berhijab adalah tuntutan wanita Islam tapi alangkah sedihnya bila dilanda masalah muka ‘berbelang’ apabila tudung ditanggalkan.
Cerah di bahagian terlindung dan gelap di bahagian yang terdedah matahari. Bukan saja tak menarik malah membuatkan keyakinan diri pun terjejas!
Masalah ‘berbelang’ ini muncul apabila wajah terlalu terdedah kepada cuaca panas dan cahaya matahari yang menyengat wajah.
Akibatnya timbul pigmentasi dan kulit akan menjadi kering, berminyak dan kusam. Ketidakseimbangan hormon juga menjadi pula kulit wajah berbelang.
Rasa kurang percaya diri dan tidak selesa melihat wajah berbelang mempengaruhi penampilan. Jangan bertangguh lagi dan ketahui solusi untuk mengatasi belang pada wajah.
Cara Atasi
Cara yang terbaik untuk merawat kulit yang berbelang adalah dengan memberi lembapan jauh ke dasar lapisan kulit. Berikut adalah tip untuk menyegarkan semula kulit yang berbelang untuk hijabista.
(a) Sapu Krim Tabir Suria
Wanita berhijab menerima paparan sinar matahari yang tidak rata pada wajah yang terlindung dengan hijab sehingga menyebabkan wajah berbelang.
Solusi segera buat wanita berhijab adalah menyapu krim tabir suria sebelum keluar rumah lebih-lebih lagi jika melakukan aktiviti luar. Krim tabir suria membantu mengurangkan paparan sinar matahari daripada terus meratah wajah.
Namun, sebelum menyapu krim tabir suria, anda perlu menganalisa terlebih dahulu krim yang terbaik dengan kulit. Jika sudah menyapu krim tabir suria tetapi wajah masih berbelang bermakna kandungan SPF dalam krim tabir suria yang digunakan belum mencukupi.
Terdapat beberapa jenis krim tabir suria yang berbeza kandungan SPF. Jika kulit belum berbelang cukup hanya menyapu krim yang mempunyai kandungan SPF 30.
(b) Guna krim pelembap
Amalkan tabiat menyapu krim pelembap di keseluruhan tubuh selepas mandi setiap pagi dan selepas mandi di waktu malam.
Guna krim pelembap yang berfungsi untuk mengawal jumlah lembapan di bawah kulit. Jika anda bekerja di dalam bilik berhawa dingin pastikan memakai krim yang berasaskan air untuk mengunci tahap kelembapan kulit.
Namun, sebelum itu krim pelembap yang terbaik adalah yang sesuai dengan jenis kulit. Kadang-kadang jika tersalah memilih krim pelembap boleh menyebabkan berlaku iritasi pada kulit.
Bagi menghilangkan belang pada wajah perlu memilih pelembap yang dapat memberikan perlindungan tambahan pada kulit wajah.
Wajah perlukan perlindungan tambahan untuk menjaga daripada sinar UV dan radikal bebas. Pastikan juga pelembap tersebut bukan sekadar memberi kelembapan pada kulit malah dapat melindungi kulit secara semula jadi.
(c) Banyak minum air mineral
Sebagaimana yang diketahui air merupakan sumber kehidupan baik untuk manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Begitu juga dengan kulit kita.
Mengambil air mineral yang cukup dapat membantu mencegah terjadi kulit yang kering dan kusam. Minum air sekurang-kurangnya 2.5 liter sehari atau lapan gelas air sehari untuk kulit yang lembap dan lembut.
(d) Makan buah yang mengandungi vitamin E
Kecantikan kulit bukan sahaja perlu dijaga dari luar malah bermula dari dalam. Amalkan pengambilan makanan yang sihat dan seimbang.
Sayur-sayuran dan buah-buahan serta makanan bernutrisi berupaya untuk membantu menghilangkan belang pada wajah. Untuk mendapatkan kulit sihat adalah disarankan untuk mengambil makanan yang kaya dengan vitamin C dan vitamin E.
Vitamin E merupakan kandungan vitamin yang sangat baik untuk menjaga kelembapan kulit wajah. Vitamin E juga boleh membantu mengekalkan keanjalan kulit dan menegangkan semula kulit wajah. Pengambilan vitamin E yang diperoleh daripada sumber makanan seperti kacang badam dan jenis kekacang yang lain.
(e) Pengambilan lemak yang secukupnya
Tidak semua lemak tidak baik untuk kulit. Mengambil lemak yang cukup sangat penting terutama lemak omega.
Selain membantu menjaga kesihatan jantung dan otak lemak omega juga mempunyai sifat anti radang yang dapat membantu menjaga lembapan kulit. Lemak omega boleh diperoleh daripada kekacang, ikan salmon, buah kelapa dan avokado.
(f) Memakai Lulur Wajah
Kulit wajah berbelang akibat memakai hijab biasanya terjadi kerana tompokan sel-sel kulit mati yang terkumpul pada lapisan kulit wajah. Apa yang perlu dilakukan untuk menghilangkan kulit wajah berbelang adalah menyingkirkan sel-sel kulit mati tersebut daripada terus terkumpul.
Cara yang mudah dan boleh dilakukan sendiri adalah dengan melakukan lulur pada wajah. Sekurang-kurangnya lulur wajah seminggu sekali untuk menanggalkan sel kulit mati dan mengelakkan kulit kusam.
Jika amalan ini berterusan pasti belang di wajah hilang dan kulit terpelihara cantik dan bersih. Tidak perlu menggosok secara kasar cukup hanya dengan urutan lembut secara membulat pada kulit wajah.
(g) Menggunakan madu
Madu yang dikeluarkan daripada mulut lebah memang banyak khasiatnya. Madu memang terkenal sebagai penawar dan boleh membantu melembapkan kulit. campurkan madu dengan gula dan pisang yang sudah dilenyekkan.
Sapu di seluruh bahagian wajah sambil mengurut lembut otot-otot wajah. Cara yang mudah untuk mengembalikan semula lembapan di bawah kulit wajah.
(h) Menggunakan buah avokado
Buah avokado juga boleh membantu memberi lembapan kepada kulit wajah. Hancurkan buah avokado yang telah dilenyek dengan susu segar seperti menjadi krim.
Sapu di seluruh bahagian wajah dan urut dengan lembut terutama di kawasan poin-poin untuk menegangkan otot wajah. Lakukan selalu dengan konsisten untuk mengawal lembapan di bahagian kulit wajah. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Amy Mastura antara selebriti wanita tanah air yang terkenal dengan wajah awet muda dan tak dimamah usia! Mana tidaknya, Mei depan dia bakal mencecah usia 52 tahun namun pesona dan perwatakan pelantun lagu popular Sha Na Na ini tetap menawan hati setiap peminat seni hingga ke hari ini.
Apatah lagi, Amy memang dikenali dengan sikapnya yang sarat dengan sense of humor dan santai orangnya. Mungkin sebab itu juga bintang filem Puteri Impian ini sering nampak muda.
Amy Mastura mula mencipta nama sejak menjuarai pertandingan nyanyian, Asia Bagus pada tahun 1993. Dia juga pernah memenangi anugerah Penyanyi Wanita Popular (ABPBH) dan Pelakon Wanita Terbaik (FFM).
Bagi yang mengenali Amy, tentu tahu bagaimana karakter wanita kecil molek yang ramah dan lucu. Namun, tak banyak kisah peribadi di kongsi bersama peminat.
Mendedahkan sisi peribadi kepada media suatu ketika dulu, Amy menjelaskan, “Saya menceburi bidang seni atas dasar minat.
Kejuaraan di Jepun itu pun tidak disangka. Walaupun bermula sebagai seorang penyanyi, saya masih terima jika lebih dikenali sebagai pelakon kerana kedua-duanya adalah minat saya.
Sedari awal lagi, saya langsung tidak mempunyai persediaan dan sehingga kini, saya hanya follow the flow.”
Berkongsi kisah bersama anak-anak, Amy Mastura jadikan anak sebagai ‘mentor’ untuk penjagaan kecantikan!
“Saya tidak ada rutin kecantikan langsung. Sekarang ni saya pula yang minta tip dari Adalia apa yang terbaik untuk kulit. Krim muka dia lebih banyak dari apa yang saya ada.
Saya sendiri tidak mengamalkan apa-apa petua. Dulu sewaktu dalam berpantang, saya cuma ikutkan apa yang diajar. Berpantang sepenuhnya secara tradisional pun tidak, cara moden pun tidak. It’s a mix of everything.
Cuma saya jenis yang tidak suka minum ais. Bukan pantang tapi saya sendiri tak terasa untuk menikmati air ais setiap masa. Mungkin itu juga membantu saya menjaga badan,” katanya.
Amy Mastura mendirikan rumah tangga dengan suami tercinta, Alvin Tham Suffian pada tahun 2000. Mencecah usia perkahwinan 23 tahun, pasangan ini dilihat cukup romantis dan bahagia di samping dua cahaya mata perempuan iaitu Adriana yang kini berusia 22 tahun dan Adalia, 19 tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nekad tinggalkan kerjaya stabil iaitu juru ukur tanah (surveyor) demi impian buka tadika sendiri, Raihana Rosdan kini miliki 8 cawangan Al Kauthar Eduqids.