Sama seperti tubuh, wajah juga memerlukan nutrisi secukupnya melalui penjagaan yang konsisten. Salah satunya ialah dengan pemakaian serum setiap hari.
Rohto-Mentholatum memperkenalkan Dermistry+ jenama baharu yang pakar dalam serum untuk masalah kulit yang sukar diselesaikan. Nama ‘Dermistry’ berasal daripada “Dermatologi dan Chemistry” mencerminkan tumpuan jenama pada sains kulit dan gabungan bahan yang mujarab. Manakala moto ‘Pakar Serum’ menggambarkan formulasi langsung dan tepat jenama itu.
Dermistry+ disokong oleh piawaian farmaseutikal seratus tahun Rohto, memastikan penggunaan kepekatan tinggi bahan selamat dalam kadar optimum. Komitmen jenama kepada pendekatan penjagaan kulit yang bersih dan minimalis menawarkan dos yang tepat, menggunakan komposisi berbeza untuk mencapai hasil yang berkesan.
Di Malaysia, permintaan untuk serum telah meningkat berikutan penghidratannya yang sangat tinggi. Pengguna mempertimbangkan serum ‘mesti ada’ kerana sifat pelembapnya. Ia juga menyasarkan untuk menyelesaikan masalah kulit.
Dermistry+ menawarkan rangkaian serum pekat komprehensif bagi menangani pelbagai kebimbangan dalam penjagaan kulit. Setiap satu direka dengan bahan-bahan berkuasa yang berfungsi untuk menghidrat, mencerah, menghaluskan pori-pori dan anti penuaan. Sama ada anda mempunyai kulit berminyak, kering atau kombinasi, Demistry+ telah membantu anda!
Dengan piawaian farmaseutikal seratus tahun Rohto dan selamat dan penjagaan kulit yang berkesan, Dermistry+ Booster Serum wajib dimiliki oleh sesiapa sahaja yang ingin menangani masalah kulit tertentu.
Ultra Illuminating Concentrate Brightening Booster Serum
Dengan niacinamide dan Vitamin C (5% Vitamin C + 0.1% Vitamin A) serum ini sesuai untuk mereka yang ingin mengatasi bintik-bintik gelap dan tona kulit tidak sekata.
Dengan penggunaan yang konsisten, Niacinamide dan Vitamin C Serum membantu meningkatkan kesihatan dan penampilan kulit secara keseluruhan seterusnya menjadi lebih licin, sekata dan terhidrat.
Dermistry+ Booster Serum direka untuk menembusi jauh ke dalam lapisan kulit di samping menyasarkan masalah kulit tertentu dan memberikan hasil klinikal yang terbukti.
Produk ini bebas wangian, alkohol, pewarna, minyak mineral, silicon serta paraben menjadikannya sesuai untuk walaupun kulit paling sensitif.
Keputusan Ujian Klinikal:
⦁ 87% Mencerahkan tona kulit
⦁ 87% Mengurangkan Garis Halus & Kedutan
⦁ Selepas 14 hari, berkesan mengurangkan panjang kaki gagak sehingga 7.76%
Dermistry+ Concentrate Booster Serum kini boleh dibeli di farmasi Watson dan Lazada, serta Shopee pada harga RM90. Untuk maklumat lanjut, sila layari Dermistry .
Saintis Wanita Terbaik Di Dunia, Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan Antara Kebanggaan Malaysia
Memecah dominasi patriarki dalam bidang sains kimia dan nanoteknologi, pencapaian Academician Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan ini jelas amat membanggakan.
Eksklusif sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2021, Nona mengatur bicara dengan Saintis Akademik berusia 65 tahun itu demi meresap aspirasi dan semangat berbaktinya.
Lembut dan bersahaja. Begitulah personaliti Prof Halimaton, anak Johor dan ibu kepada dua cahaya mata ini. Siapa sangka di sebalik senyuman manis yang terukir di bibirnya, beliau memegang pelbagai portfolio penting di Malaysia.
Jika mahu disenaraikan segala anugerah, pencapaian, pengiktirafan, penulisan mahupun penyelidikan akademik Prof Halimaton di peringkat nasional dan antarabangsa, barangkali terlalu panjang untuk ditulis.
Selain bergelar Profesor Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Halimaton juga merupakan Pengerusi Malaysia Institute for Innovative Nanotechnology (NanoMITe), Pengerusi Lembaga Pentadbiran International Science, Technology and Innovation Center (ISTIC) di bawah UNESCO, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin serta Senior Fellow Akademi Sains Malaysia.
Tengoklah senarai tu, bukan calang-calang wanita mampu menggalas jawatan sehebat Prof Halimaton!
HARI WANITA
Tanggal 8 Mac setiap tahun diangkat sebagai hari istimewa untuk meraikan wanita di seluruh dunia. Bagi Prof Halimaton, beliau berbangga dengan pencapaian wanita Malaysia dalam bidang sains.
“Sebenarnya jika dibandingkan dengan negara membangun dan maju sekali pun, pencapaian wanita Malaysia dalam bidang sains hari ini sangat baik.
Wanita Malaysia bebas memilih bidang pengajian semenjak Malaysia merdeka dan telah menerima gaji dan sokongan yang sama.
Jadi melalui pengalaman dan pemerhatian saya, wanita dalam bidang sains di Malaysia telah membuktikan kebolehan mereka dalam penyelidikan, pembelajaran dan industri yang mereka ceburi.”
Bersandarkan falsafah hidup, ‘Tanya diri sendiri dan buat apa yang termampu tanpa menyusahkan orang lain,’ Prof Halimaton menjadikan arwah ayahnya sebagai sumber inspirasi. “Arwah seorang yang tegas, berintegriti dan mengutamakan pendidikan dalam kehidupan.”
Sedekad kebelakangan ini, nama Prof Halimaton cukup masyhur dengan gelaran ‘Prof Maerogel’ susulan penemuan beliau mencipta aerogel daripada sekam padi. Bagaimana agaknya perkembangan penemuan tersebut setakat ini?
“Aerogel daripada sekam padi (Maerogel) yang ditemui telah menerima paten Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Penghasilan Maerogel telah dibangunkan di peringkat pasca-makmal dan pra-komersial.
Melalui kajian lanjutan yang telah dijalankan, berasaskan permintaan industri, teknologi penghasilan aerogel silika telah dipertingkatkan, yang mampu menyelesaikan masalah keselamatan dan penggunaan tenaga yang tinggi.
Penghasilan aerogel silika menggunakan teknologi Renewable Silica (RenSil-A) ini telah diuji untuk penggunaan oleh industri penebat haba (insulation blanket), sarung tangan, kabel elektrik dan paip gas dan minyak.
Dengan kerjasama daripada industri, projek penghasilan RenSil-A yang pertama akan dibangunkan dalam masa terdekat,” cerita Prof Halimaton panjang lebar.
Terkini, saintis akademik hebat ini sedang dalam fasa akhir projek penyelidikan NanoMITe (2015-2020). Mereka sibuk membangunkan sistem pirolisis pasca penyelidikan bagi penghasilan bahan api jet (jet biofuel) daripada biojisim kelapa sawit.
“Kami juga dalam proses komersial produk dan teknologi penyelidikan, merancang hala tuju strategik dan pengurusan ISTIC, memperbaiki perlaksanaan pembelajaran atas talian pasca COVID-19 di UTM, melaksanakan program pemerkasaan ilmu STEM kepada guru bersama ISTIC dan Pusat STEM serta merancang hala tuju strategik penyelidikan nanoteknologi (NanoMITe).”
Sebagai ahli akademik, Prof Halimaton tidak menafikan turut bimbang dengan masa depan pendidikan sains pasca COVID-19.
“Pendidikan sains sangat terjejas oleh pandemik. Seperti yang kita maklum, pendidikan sains di Malaysia sedang dalam proses pemerkasaan dengan menerapkan pendekatan belajar memahami dengan melakukan eksperimen.
Pandemik COVID-19 telah memaksa pembelajaran atas talian dijalankan secara tiba-tiba yang merencatkan pembelajaran sains khususnya. Justeru, kita menghadapi cabaran yang sangat besar untuk memastikan pembelajaran sains yang telah tertinggal di semua peringkat dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Pelajar perlu mampu mengubah ilmu sains alam maya ke alam nyata sebaik sahaja mereka bersekolah semula,” luahnya sambil menyatakan alangkah baik jika rakyat Malaysia telah dibekalkan dengan ilmu sains yang menyeluruh sebelum ini.
Generasi zaman ini lebih cenderung belajar secara visual, kurang kemahiran motor, jauh sekali minat terhadap sains. Komen Prof?
“Kecenderungan ini bukan atas dasar keperluan tapi kemudahan. Sekiranya pembuat polisi memahami keperluan asas pembelajaran sains adalah melalui pendekatan membuat dan mengalaminya secara nyata dan diberikan keutamaan, minat terhadap sains pasti dapat dikekalkan.
Sebagai contoh, dengan melihat video orang memasak sesuatu resipi tidak menghasilkan makanan yang sedap jika kita tidak memasak sendiri dan memahami ilmu yang terlibat.”
YAYASAN MYPRIHATIN
Selain bidang pendidikan, Prof Halimaton juga aktif dalam bidang amal kebajikan. Antaranya sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin.
“MyPrihatin telah ditubuhkan oleh sekumpulan pemuda untuk menyumbang ke arah pembangunan masyarakat Malaysia yang berpengetahuan dan sihat.
Badan amal ini berhasrat melaksanakan program tertentu, menggunakan bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat untuk dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan.
Pengalaman saya dalam akademik dan bidang sains mendorong saya untuk membantu Yayasan menyumbang ke arah tersebut. Kita mahu membantu golongan yang memerlukan untuk mendapatkan ilmu yang sesuai untuk membantu kehidupan masa hadapan.
Banyak pengalaman berharga yang ditimba sepanjang bergelar Pengerusi Yayasan MyPrihatin. Namun salah satu yang paling bermakna bagi saya adalah sewaktu kami bekerjasama dengan Yayasan IJN.
Ketika itu MyPrihatin telah membantu melalui proses logistik yang membolehkan ramai pesakit kanak-kanak untuk menjalani pembedahan di IJN. Ramai pesakit kanak-kanak daripada golongan keluarga B40 dapat dibantu untuk mendapatkan rawatan di IJN.
Pengalaman itu cukup-cukup berharga bagi saya,” akhirinya.
Syabas Prof Halimaton! Nona mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia 2021 buat seluruh wanita yang sentiasa berbakti, berkorban masa dan keringat demi masa depan anak pertiwi.
Cantik, Bergaya & Berjaya! Inspirasi Siti Nurhaliza Sempena Aidilfitri Ini Buat Ramai Terpukau
Amboi, manisnya gaya lebaran… Siti Nurhaliza nampak cantik menawan, terhias elegan rantai dan gelang tangan. Makin berseri-seri ibu Aafiyah dan Afwa dengan Swarovski!
Setelah sebulan menikmati kemanisan bulan ibadah Ramadan Al-Mubarak, tiba masanya meraikan kemenangan pada bulan Syawal. Berbeza daripada dua tahun sebelum, Hari Raya Aidilfitri tahun ini pasti lebih bermakna.
Dapat bertemu semula dan bermaafan, berkumpul sambil menjamu hidangan, ketawa serta melepaskan rindu, tentu meriah! Diserikan lagi dengan helaian baju tradisi, penampilan anda dengan kerlipan aksesori Swarovski pasti tambah dipuji.
Tahun ini juga, Swarovski melengkapi gaya raya anda dengan himpunan aksesori secantik gaya penyanyi No. 1 negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Berusia 43 tahun, gaya Dato’ Sri Siti Nurhaliza dalam kempen eksklusif ini menyerlahkan pesonanya sebagai seorang isteri, ibu, selebriti dan usahawan terkenal.
“Hari Raya adalah hari bersama orang tersayang. Ia juga hari terbaik untuk kita bermaafan dan memulakan semula sejarah baru yang lebih baik.
Inilah ‘kekuatan’ yang saya temukan dalam setiap aksesori Swarovski. Ia membias harapan, keriangan dan keyakinan saya kala berhari raya.” Dato’ Sri Siti Nurhaliza
Tak puas mata memandang, ayuh semak inspirasi gaya beliau dalam aksesori Swarovski.
Dengan rekaan menakjubkan dalam nuansa kehijauan serta titipan rona putih, kuning dan rose metalik, seleksi Hari Raya Swarovski menampilkan aksesori gelang tangan, rantai dan cincin yang mencipta statement fashion.
Tak ketinggalan, koleksi jam tangan dari keluarga Attract menyempurnakan daya penarikmu. Penuh sofistikated, ia direka dengan cukup teliti dan menyerlahkan kilauan bintang Stella yang tiada taranya!
Bukan itu saja, nikmati juga promosi eksklusif Swarovski sempena Hari Raya ini. Khas untuk ahli, hulurkan duit raya dalam bekas sampul istimewa daripada Swarovski dengan setiap pembelian minimum RM550 bermula 13 April hingga 3 Mei 2022 (sementara stok masih ada*).
Tambah bergaya dengan beg tote dUCk x Swarovski yang eksklusif, dapatkan set edisi terhad termasuk sampul hijau Swarovski dengan pembelian minimum RM1,500 ke atas juga bermula 13 April hingga 3 Mei 2022. Promosi ini sah untuk pembelian di butik mahupun online.
Swarovski yang merupakan jenama warisan Austria jelas memahami jiwa setiap wanita sempena perayaan Hari Raya ini. Mengambil inspirasi Dato’ Sri Siti Nurhaliza, anda juga mampu tampil cantik dan berkarisma dengan himpunan koleksi Swarovski yang serba menawan.
Mudahnya, semua di hujung jari! Kini boleh pesan koleksi Hari Raya Swarovski dari rumah dengan melayari website Swarovski (klik sini).
“Kerjaya Grab Driver Ibarat ‘Peluang Kedua’ Untuk Wanita, Mampu Ubah Kehidupan & Jana Pendapatan” Aisya Rahman
Tatkala buntu mencari pekerjaan, kerjaya sebagai Grab Driver ibarat ‘peluang kedua’ untuk wanita ‘yang bukan saja mampu ubah kehidupan bahkan jana pendapatan anda’ bak kata Perunding Kewangan terkenal, Aisya Rahman.
Jemputan eksklusif menghadiri Masterclass #SisBoleh Kuasai Kewangan yang berlangsung pada 14 November 2024 di ibu pejabat Grab Malaysia, menyerlahkan pelbagai inisiatif syarikat perkhidmatan e-hailing tersebut khususnya terhadap pemerkasaan wanita.
Dianjurkan dalam suasana kasual dan santai, Masterclass yang dihadiri oleh komuniti Grab Driver wanita terdiri Rakan-Pemandu dan Penghantar Wanita Grab itu juga sarat dengan tiga pengisian berilmu tentang keselamatan, kursus & kemahiran serta komuniti.
Tekad untuk terus merancakkan ekonomi gig di negara ini, Grab berusaha menawarkan peluang pekerjaan yang fleksibel dalam suasana selamat untuk wanita. Pendapatan yang dijana sebagai Grab Driver bukan saja dapat membantu keluarga, malah mampu ubah kehidupan seseorang melalui pekerjaan yang baik.
Tambah bermakna, sesi Masterclass #SisBoleh Kuasai Kewangan dikendalikan oleh perunding kewangan terkenal, Aisya Rahman.
Antara topik hangat yang disampaikan adalah:
- Menangani trauma wang.
- Menguruskan aliran tunai – Cara menyelesaikan hutang dan menjana pendapatan melalui peluang kerjaya di Grab.
- Pengurusan risiko.
KESEIMBANGAN KERJA & KEHIDUPAN SOSIAL
Ada masa yang fleksibel dan tak rasa terbeban, itulah antara faktor Mariah Ton Kiptiah Abd Manap berkecimpung dalam kerjaya ini selama tujuh tahun (sejak 2017) secara sepenuh masa. Wanita berusia 53 tahun dari Sg Buloh, Selangor itu juga teruja dapat menambah pendapatan keluarga melalui Grab.
“Saya dan suami merupakan pasangan PJJ. Dia pulang sebulan sekali kerana mencari rezeki di Johor. Jadi saya memandu Grab untuk mencari pendapatan sampingan bagi membantu suami menanggung keperluan anak-anak kami seramai empat orang.
Dalam masa yang sama, saya seronok bawa Grab kerana fleksibiliti masa, dapat jumpa kawan, ikut aktiviti Grab RRC dan timba ilmu baru macam ni,” ujar Mariah. Mampu mencapai untung bersih sehingga RM150/hari, anak jati Tanjung Karang itu mengaku enggan ‘memaksa diri’ bekerja berlebihan meskipun mampu berbuat demikian.
Demi masa depan, segala perbelanjaan Mariah hasil memandu Grab disusun dengan teratur. “Mesti ada simpanan dan insurans sebab kita tak tahu apa akan terjadi pada masa akan datang. Dengan kursus ni dapatlah saya belajar menyimpan dan mengurus perbelanjaan dengan lebih baik.”
Selain mencari rezeki, memandu Grab juga membantu Mariah dari segi kewangan seperti menyelesaikan hutang-piutang dan menyara pengajian anaknya di universiti. “Duit daripada hasil memandu Grab ni, alhamdulillah cukup bagi menampung keperluannya sehingga habis belajar. Sekarang anak dah bekerja dan dia banyak membantu saya,” ujarnya.
Mengakhiri perbualan, sempat Mariah berkongsi pengalaman ‘ditipu’ oleh penumpang. “Pernah sekali orang tak bayar. Tapi lepas buat report dan sertakan bukti, Grab bayar balik kerugian saya tu. Untuk keselamatan pemandu wanita pula, kini Grab tawarkan ‘audio protection’ serta pilihan untuk menerima penumpang wanita sahaja,” akhirinya.
Ciri Baharu Lindungi Pemandu Wanita
Ya, kini pemandu Grab wanita boleh memandu dengan yakin menggunakan ciri baharu yang ditawarkan dalam aplikasi Grab Driver bagi memastikan keselamatan terjamin. Antaranya fungsi:
- AudioProtect: Rakaman audio semasa perjalanan.
- Kongsi Lokasi Langsung: Pada masa nyata.
- Pilihan ‘Women Passengers Preferred BETA’: Pilihan untuk mengambil penumpang wanita sahaja.
- Bantuan Kecemasan: Akses pantas dengan hanya satu klik.
- Kontak Kecemasan: Perkongsian lokasi dengan kontak.
Merupakan seorang ibu tunggal dan florist sambilan, Nor Ezatul Farrita Shaari baru sahaja menyertai keluarga Grab sebagai pemandu pada tahun 2023. Paling mengagumkan, wanita berusia 46 tahun ini memiliki tiga orang anak yang bijak pandai serta lulusan universiti ternama di Malaysia.
“Alhamdulillah anak sulung saya lulusan UTP, manakala anak kedua masih menuntut di UPM dan yang bongsu di UiTM. Sebagai wanita berumur, saya berada dalam fasa sukar untuk memohon pekerjaan. Antaranya perlu bersaing dengan calon-calon muda. Jadi saya ikhtiarlah cari pendapatan sendiri tanpa harapkan bantuan anak-anak.
Bagi saya mereka juga ada kehidupan dan saya tak mahulah bebankan mereka untuk membantu saya. Syukur dengan kesihatan dan kemampuan bergerak yang Allah bagi, saya masih boleh bekerja sebagai pemandu Grab.
Dulu saya pernah bekerja makan gaji. Kemudian berhenti dan buat bisnes florist di Kuala Lumpur. Sayangnya masa PKP, bisnes merudum dan saya terpaksa tutup kedai. Macam-macam masalah datang bila bisnes rugi, duit simpanan habis, nama masuk CTOS, kereta rosak. Sampailah datang seorang kawan yang sarankan jadi pemandu Grab. Di situlah permulaan saya dalam kerjaya ini,” cerita Ezatul tanpa berselindung.
Sebagai ibu tunggal yang gigih mencari rezeki, wanita ini tetap menggubah bunga secara sambilan sambil memandu Grab. “Masih ada customer yang ambil tempahan bunga dengan saya tapi jujurnya masih tak cukup untuk menampung perbelanjaan. Saya mula memandu Grab pada Disember 2023, masih baru tapi dah banyak saya belajar melalui kursus-kursus yang ditawarkan.
Tapi yang paling saya suka adalah kursus untuk pemandu Grab wanita seperti ini. Pemandu Grab wanita ramai, jadi dengan program sebegini membolehkan kami berjumpa dan bertukar cerita. Bila Grab kerap anjurkan program, saya dapat kenal ‘rakan sekerja’ saya,” kongsi Ezatul yang kini selesa memperoleh pendapatan RM130 – RM150 sehari dengan memandu kereta jenis Proton Saga.
Antara faktor yang menyeronokkan sebagai pemandu Grab, bagi Ezatul tentu sekali dari segi fleksibiliti masa. “Saya santai-santai saja. Kita sendiri yang plan nak kerja macamana. Kalau tak mahu bawa penumpang warga asing, saya elakkan mengambil di kawasan tertentu. Lebih baik fokus di tempat elit saja. Yang penting setiap hari, kita capai sasaran yang tak merugikan kos minyak dan penyelenggaraan kereta sendiri.”
Mengakui dirinya sebagai seorang yang penakut, Ezatul pernah berdepan pengalaman membawa penumpang warga Nigeria. “Sambil bawa kereta saya asyik berdoa keselamatan diri. Dengar pula dia di belakang berdehem-dehem, saya punyalah berharap supaya cepat dan selamat sampai ke destinasi.
Alhamdulillah kini ada feature terbaru yang membolehkan kami pemandu Grab wanita memilih penumpang wanita juga pada waktu malam. Ia sebenarnya satu ‘kelegaan’ kerana ramai penumpang wanita juga selesa mendapat pemandu wanita untuk membawa mereka,” akhiri Ezatul sambil menyifatkan Grab sebagai platform yang paling selamat untuk wanita.
MEMPERKASAKAN WANITA
Memilih untuk menjadi pemandu Grab wanita secara sambilan, kerjaya pilihan Rasidah Hassim sejak tahun 2020 ini banyak menampung belanja keperluan hariannya. Kata ibu anak dua itu, dia selesa bekerja mengikut keselesaan masa sendiri namun menimba banyak ilmu melalui pelbagai inisiatif yang Grab tawarkan.
“Hari ni melalui program #SisBoleh, saya belajar pasal kewangan sebelum dan selepas bekerja. Ia banyak membantu saya menguruskan hutang daripada terbeban. Saya sebelum ni memang buat kiraan duit keluar-masuk secara bulanan tapi setakat itu sajalah. Jadi dengan step-by-step yang diajar, saya makin faham soal pengurusan wang dengan berhemah,” akhiri wanita berusia 34 tahun itu.
Bengkel #SisBoleh Bersama Grab turut disempurnakan oleh Perunding Kewangan, Aisya Rahman menerusi bicara #SisBoleh Kuasai Kewangan. Dalam sesi tersebut, semua pemandu Grab wanita berpeluang mendapat tip menguruskan duit serta mengembangkan pendapatan secara bijak.
Kerjaya sebagai Grab Driver ibarat ‘peluang kedua’ untuk wanita ‘yang bukan saja mampu ubah kehidupan bahkan jana pendapatan anda’ bak kata Perunding Kewangan terkenal, Aisya Rahman.
Sebagai tenaga pengajar wanita, Aisya Rahman diberi tugasan untuk mendidik mereka agar lebih celik kewangan. “Kita tahu wanita ni kaum yang sering ditindas. Saya sendiri dibesarkan oleh seorang nenek yang dimadukan. Dalam Islam, bermadu itu tidak salah tetapi ia sedikit sebanyak memberi implikasi dari sudut kewangan. Suami cenderung ‘memilih’ salah satu keluarga untuk ditekankan, dan dalam kes nenek saya sebagai isteri pertama, dia tidak bernasib baik. Ibu saya pula seorang ibu tunggal, jadi sejak kecil saya menjadi saksi pelbagai trauma kewangan yang dilalui oleh dua keturunan.
Bila dah berkahwin, suami saya pula jatuh muflis. Jadi dengan siapa saya nak bercerita tentang perkara ni? Aib, bukan? Tapi itulah yang berlaku 10 tahun lepas, cuma saya tukar kesakitan itu sebagai bisnes saya sekarang. Anda boleh jual apa pada orang yang ada masalah hutang? Kita jual bantuan. Bagi strategi atasi hutang.”
Menurut pengasas program ‘Women & Wealth Workshop’ ini, ramai wanita yang dikenali melalui Grab adalah kenalannya. Jika kelas kewangan lain mengajar tentang cara melabur saham atau promosi kad kredit yang bagus, Aisya pula lebih banyak menggunakan ilmu psikologi dan ilmu agama yang digabungkan untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik.
“Saya dah buat program ni selama dua tahun dan saksikan banyak perubahan di kalangan student saya. Majoriti student saya dalam kelas pertama lagi dah menangis. Mungkin sebab saya dah buka balik ‘luka’ yang dah lama dipendam. Sampai bila nak pendam? Dalam perubatan pun, lebih lama penyakit, kemarahan dan trauma dipendam, lebih cepat tubuh badan kita sakit. Muda-muda dah sakit, kita kena tanya trauma apa yang dipendam?” soal Aisya.
Cara Grab mengangkat wanita? “Bagi saya Grab ini adalah peluang kedua. Secara umumnya, Grab menawarkan bahu untuk bersandar. Para pemandu dibayar gaji secara harian dan saya nampak syarikat ini sangat peduli tentang kebajikan partner (pemandu) mereka.
Ramai pemandu Grab wanita terdiri daripada golongan wanita ditinggalkan, ibu tunggal, balu, jatuh muflis dan ada juga caretaker yang menjaga ahli keluarga. Dalam situasi hidup yang mendesak dan hutang bertimbun, ke mana lagi arah tuju mereka? Jadi bila Grab buat event #SisBoleh ni, saya tak sangka jumpa ramai yang sedang dirundung masalah dan tak tahu nak ke mana.”
Akhiri Aisya, kelas ini membuka matanya tentang realiti kewangan yang dialami wanita, khasnya para pemandu Grab wanita. “Grab adalah platform yang sangat peduli tentang nasib wanita. Tanpa mengira siapa anda, baginya kita semua sama. Saya nampak Grab adalah second chance, bukan saja dari segi kehidupan, malah kewangan.”
Yang jelas, inisiatif Grab Malaysia dalam menganjurkan latihan dan bengkel khusus sebegini sangat baik untuk meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri Rakan-Pemandu dan Penghantar Grab wanita.
Kerjaya sebagai Grab Driver ibarat ‘peluang kedua’ untuk wanita ‘yang bukan saja mampu ubah kehidupan bahkan jana pendapatan anda’ bak kata Perunding Kewangan terkenal, Aisya Rahman. Mereka juga dapat membina komuniti yang sihat melalui pelbagai aktiviti dan penghargaan melalui perkongsian kisah-kisah inspirasi dalam #SisBoleh. Syabas Grab Malaysia!
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/makin-ligat-bekerja-mahu-jalan-terus-diana-danielle-lancar-podcast-kata-kita/