Perginya pengasas kosmetik Dnars, arwah Faziani Rohban pada Mei lalu meninggalkan seribu satu pengajaran… bukan saja kepada masyarakat tetapi juga lapan cahaya mata arwah. Salah seorang anak yang nekad meneruskan sifat terpuji arwah Faziani ialah Irdiena Hakim berusia 17 tahun dan dikatakan antara anak yang memiliki raut wajah paling iras dengan ibunda tersayang.
Aktif menaikkan kembali empayar ibu tersayang, Irdiena atau nama panggilannya Gegirl sering mendapat perhatian ramai yang mengganggap dia umpama jelmaan usahawan ternama berkenaan. Dari gaya dan senyuman, memang saling tidak tumpah seperti allahyarham Faziani. Tambahan pula, Irdiena gemar mengenakan baju, aksesori dan beg tangan milik ibunya.
Tampil lebih menawan selepas berjaya menurunkan berat badan, gadis ini dilihat ligat mempromosikan produk pelangsingan badan Cocoliff. Sedar setiap gerak geri dan penampilannya akan membuatkan masyarakat mengingati kelibat ibu tersayang, Irdiena pernah mengulas mengenai perkara tersebut di media sosial miliknya.
Ujar Irdiena, “Here’s still having a shadow of Faziani Rohban, so all of you don’t need to be sad ok. Aturan Allah SWT semuanya dah cantik! Just keep our beloved bonda Faziani Rohban in your prayers.”
Selain memiliki wajah seiras arwah ibu, Irdiena juga bertuah kerana mewarisi sikap Faziani Rohban. Antara persamaan ketara di antara dirinya dan ibu tersayang adalah sifat yang berani. “Gegirl seorang yang tak takut dengan manusia, keras dan menjawab. Sebagaimana yang bonda ajarkan “JANGAN TAKUT DENGAN MANUSIA, HANYA TAKUT DENGAN TUHAN”.
Nak cepat mengalah? That’s not me at all sebab mungkin dalam jiwa saya ada jiwa bonda saya. Bonda yang tak pernah tahu apa itu erti KETAKUTAN dan bonda ialah seorang wanita yang kaya di dunia hanya dengan hasil titik peluhnya sendiri. Manakala kaya di akhirat dengan sifat dermawannya. MashaAllah. Semoga gegirl sentiasa ikut jejak bonda, “KAYA DENGAN HASIL TITIK PELUH SENDIRI”.
Masih teringat dengan kata-kata bonda setiap kali dia marah if Gegirl tak yakin nak buat sesuatu atau buat something separuh jalan dan tak fokus untuk satu benda. Katanya, tiada yang mustahil untuk kita pergi semakin jauh sekiranya ada 4 benda ni dalam diri. Fokus, Yakin, Rajin dan Tidak Ada Pengecualian. So tiada alasan untuk tidak berjaya dalam hidup ni, apa yang terjadi kepada kita sekarang adalah kerana pilihan diri sendiri,” jelasnya.
Terkenang kembali sisi ceria dan peramah isteri Ahmad Shah Rizal Ibrahim sewaktu menjadi penghias kulit Nona pada Mei 2016. Tika itu anak bongsunya, Qaseh Khadija baru mencecah usia tiga tahun.
Yang pasti, perniagaan Dnars cukup dekat di hati Irdiena kerana arwah Faziani menamakan produk berkenaan daripada singkatan nama Irdiena. Kata-kata arwah yang paling penulis ingat sehingga sekarang ialah sikapnya yang suka mendahulukan orang lain.
Antara bait-bait kata yang disampaikan arwah, “Rezeki untuk dikongsi dan Dnars bukan rezeki saya seorang. Konsep saya, rezeki yang diterima hari ini patut dikongsi bersama orang lain. Rezeki itu datang daripada kita untuk diagihkan kepada semua.
Saya sering tanamkan dalam hati supaya tidak rasa sayang mengeluarkan duit untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Orang paling utama dalam hidup saya adalah ibu bapa, anak-anak, suami dan adik-beradik. Akhir sekali baru saya fikirkan tentang diri sendiri.
Kalau dia hendak tarik nikmat ini sekejap saja. Memang saya mahu semuanya berpanjangan. Tetapi apa yang akan berlaku kelak saya reda dan tak mahu riak. Bila saya senang, Tuhan hadirkan semua orang susah di sekeliling saya. Saya tahu Dia nak uji sebab itu niat saya waktu pernah susah dulu. Bulatkan hati dan niat kita.
Kalau kita tengah makan dan ada orang datang minta sedekah, beri sumbangan ikut kemampuan kita. Saya percaya ada ketika bukan doa kita saja yang sampai ke Tuhan. Doa orang-orang yang kita bantu inilah yang memurahkan lagi rezeki kita.”
Mulianya hati arwah. Moga Allahyarham Faziani ditempatkan dalam kalangan orang-orang beramal soleh dan usaha murni yang pernah dilakukan menjadi sumber inspirasi kepada semua untuk saling membantu dan mengejar akhirat.
Kredit: Instagram Dnar Faziani