Sudah menjadi adat saat mendaki tangga kejayaan, pasti akan ada onak dan ranjau yang perlu ditempoh. Kemanisan sesebuah kemenangan bukan hal yang mudah untuk diperoleh. Seperti wanita anggun yang penulis temubual ini, memulakan kerjaya di awan biru sebagai seorang pramugari selama lima tahun, kemudian mengambil risiko berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri dalam bidang travel & tour.
Satu demi satu kejayaan ditempa oleh Datuk Hajah Rozzana Rahmat dan kini beliau mahu berbakti untuk anak bangsa menerusi Yayasan Ihsan Rakyat yang telah ditubuhkan sejak tahun 2013.
“Dalam dunia perniagaan kita harus mengamalkan sikap profesional dan juga jujur. Bukan sahaja kepada orang lain tetapi kepada diri sendiri. Jangan pernah menipu dalam perniagaan kerana kalau kita berjaya disebabkan sikap menipu nescaya suatu hari nanti kita akan jatuh terduduk.
Apabila memulakan perniagaan apa yang paling penting kita perlu percaya dengan produk yang dihasilkan. Namun begitu langit tidak selalu cerah, andai kata produk yang kita tawarkan tidak laku ataupun mendapat sambutan hambar itu bukan bererti kita boleh mengalah.
Sebaliknya kaji apa kesilapan yang berlaku, ini merupakan satu keberanian yang akan menerbitkan kejayaan. Kesungguhan yang mendalam akan memberikan kejayaan. Seperti yang saya lakukan, semuanya tidak mudah. Bermacam-macam halangan yang perlu ditempuhi, ia bukan dibina dalam masa sehari tetapi bertahun lamanya. Apabila kita berjaya dengan cara yang betul, pasti Allah SWT akan meredai apa yang diperjuangkan, Insya Alla,” katanya.
Dalam suasana kita masih diselubungi keadaan PKPP dan COVID-19, bagaimana dengan keadaan perniagaan Datuk Rozzana dalam industri pelancongan. “Alhamdulillah Kerajaan telah membenarkan rakyat Malaysia untuk meneruskan percutian domestik, Cuti-cuti Malaysia.
Kami telah kembali melaksanakan operasi perniagaan dengan membuat perancangan untuk fokus pada small group domestic tourism. Selain daripada bercuti, kita akan terapkan dengan aktiviti pengisian jiwa dengan seminar dan program motivasi diri. Kita ingin bangkitkan kembali semangat dan kekuatan setiap individu dalam mengharungi keadaan yang berlaku sekarang,” jelas Datuk Rozzana.
Sudah lama berkecimpung dalam dunia perniagaan dan bermacam-macam ragam orang telah personaliti anggun ini bersemuka. Semestinya setiap satu rencah kehidupan telah dikutip menjadikan beliau kuat dan positif seperti apa yang ditonjolkan menerusi personalitinya.
“Sepanjang terlibat di dalam dunia perniagaan saya banyak belajar tentang hubungan sesama manusia. Bagi saya orang zaman sekarang banyak mengambil mudah soal masa. Mereka seolah-olah tidak menghargai apa yang mereka miliki. Kalau nak tahu salah satu formula kejayaan dalam kehidupan adalah dengan menjaga hubungan kita bersama suami atau isteri, ibu bapa, adik beradik, jiran tetangga dan juga anak-anak.
Cuba kita luahkan perasaan sayang dan juga rindu kepada mereka. Jangan hanya sekali setahun baru hendak pulang ke kampung serta tidak bertegur sapa dengan jiran. Kita jaga keharmonian ini agar nilai postifnya meresap ke dalam minda. Barulah kita berasa gembira untuk menempuhi hari-hari yang mencabar,” ujarnya.
Di sebalik kesibukan menguruskan pelbagai jenis perniagaan, satu perkara yang dekat dihati wanita berusia 50-an ini adalah amal kebajikan. Demi mengimbangi antara dunia dan akhirat, beliau mengambil keputusan untuk membangunkan sebuah yayasan yang diberi nama Yayasan Ihsan Rakyat pada tahun 2013.
Berbicara soal yayasan ini, “Tujuan saya menubuhkan yayasan ini adalah bagi memberikan bantuan dalam kadar segera atau ad-hoc. Ia lain dari yayasan yang memberikan pertolongan berterusan. Saya lebih menumpukan kepada membantu golongan miskin yang tidak mampu menguruskan pengebumian, mereka yang terlibat dengan bencana alam secara tiba ataupun mereka yang kurang berkemampuan yang mahukan bantuan segera dari segi kewangan mahupun perubatan.
Jadi tidaklah perlu mereka memohon dan perlu melaluai tapisan panjang baru mendapat pertolongan, Insya Allah yayasan yang saya bina ini akan membantu. Setiap kes akan kami saring sesegera mungkin dan sebaiknya agar mereka yang benar-benar layak menerima bantuan ini demi kesejahteraan kehidupan.
Sepanjang PKP kita memberi bantuan kepada mereka yang kita kenal pasti memerlukan bantuan. Disebabkan waktu tersebut kita tidak boleh turun sendiri, kita meminta team infaq yang berada di kawasan atau daerah negeri tersebut untuk sampaikan bantuan bagi pihak kami kepada golongan asnaf. Antara negeri yang telah menerima bantuan seperti di Kedah, Kelantan, Selangor dan termasuk juga pihak misi kemanusiaan lain yang memerlukan sumbangan.
Kita juga telah berhubung dengan fronliner di Sungai Buloh untuk memberi bantuan kepada pesakit COVID-19. Mereka terdiri daripada pelajar Madrasah Pondok Temboro, Jawa Timur yang pulang ke Malaysia melalui Misi Kemanusiaan. Kesemua mereka berada di wad 31, 43 dan 38.
Sepanjang di sana, setiap hari kita memberi makanan. Bukan mereka tidak ada makanan, tetapi makanan tambahan. Saya juga membuat LIVE melalui sosial media setiap malam untuk memberi awareness kepada semua. Saya juga membantu mereka menyediakan kenderaan untuk pulang setelah semuanya sembuh, alhamdulillah.
Saya juga menghubungi Ashraf Muslim yang turut berada di sana sebagai pesakit Covid ketika itu, bertanyakan apa yang mereka perlukan di wad. Dan mereka memerlukan Al-Quran terjemahan. Kita sediakan naskhah yang baru untuk setiap orang di wad tersebut bersama sejadah, kebetulan di rumah saya selalu buat majlis takzirah dan majlis ilmu memang ada standby sejadah.
Saya turut berikan kepada mereka, termasuk air zam-zam dan suplemen. Kami juga memberi makanan tambahan buat wira kita yang bertugas sebagai fronliner di sana,” menitis air mata Datuk Rozanna kala berceita tentang pengalaman itu.
Apakah insiden yang paling terkesan di hati Datuk sepanjang melakukan pelbagai kerja kebajikan? “Banyak sebenarnya peristiwa yang terkesan di hati saya dan kesemuanya memberikan satu titik keinsafan. Namun ada satu kes ini yang begitu menyayat hati, mungkin disebabkan faktor saya sebagai seorang ibu. Yayasan kami ada membantu tiga beradik yatim piatu yang kehilangan ibu dan bapa dari dipisahkan antara satu sama lain.
Kalau diserahkan kepada kebajikan masyarakat mereka mungkin akan ditempatkan kepada keluarga angkat yang berbeza-beza. Mana mungkin saya tegar melihat kasih tulus mereka dipisahkan. Jadi yayasan ini mengambil keputusan untuk menyalurkan sumber kewangan kepada nenek mereka sebagai bekal untuk menampung kehidupan mereka anak beranak. Jadi tidak pelu dipisahkan adik-beradik tersebut,” ujar Datuk Rozzana.
Apakah filosofi kehidupan yang Datuk amalkan? Jawab beliau, “Reda! Ini satu perkataan yang ringkas namun besar maknanya. Dalam apa yang kita lakukan kita perlu reda dengan bagaimana pengakhiran atau keputusannya. Segala usaha telah dilakukan dan keringat telah diperah, jadi biarlah Allah yang memutuskannya. Jika rezeki untuk mendapatkan sesuatu tidak menjadi, maknanya ia bukan ditakdirkan menjadi milik kita. Jika kita reda, maka hati tidak akan mati dan akan terus memandang ke hadapan untuk menghadapi sesuatu yang lebih gemilang. Insya Allah.”