Memang sudah terbukti fesyen baju kurung takkan pernah lapuk dek zaman. Mana tidaknya, bekas ratu cantik Kavita Kaur Sidhu sendiri pun mengakui selesa dan gemar bergaya dengan baju kurung. Meskipun berbeza bangsa dan agama… namun ia bukan satu larangan buat wanita tubuh lampai ini mengenakan pakaian tradisional masyarakat Melayu. Tambahan pula, raya dah nak dekat ni. Boleh tiru fesyen baju raya yang dipakai Kavita untuk anda gayakan raya nanti.
Inilah untungnya bila hidup dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Bukan saja dapat meraikan perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal bersama-sama bahkan dapat mempelajari budaya dan adat masing-masing.
Tidak menjadi kesalahan pun… mesti kaum lain rasa dihargai bila tengok orang Melayu mengenakan cheongsam, India memakai baju kurung dan begitu jugalah sebaliknya.
Bahkan tahun lepas juga pelakon dan penerbit TV ini turut memakai beberapa koleksi baju kurung ketika pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri bersama keluarga angkatnya di Seremban, Negeri Sembilan. Menariknya, suami Kavita iaitu Roberto Guiati pun turut didedahkan dengan baju Melayu.
Alahai, sweet sangat tengok penampilan pasangan romantis ni!
Ketika menyambut Aidilfitri di Negeri Sembilan tahun lalu, Kavita turut menerima pujian netizen apabila dia berkongsi gambarnya lengkap berpakaian tradisi baju kurung di samping suami tercinta. Malah, dia berpeluang menziarahi pusara ahli keluarga angkatnya yang telah meninggal dunia. Siap pakai kerudung kepala lagi.
Disebabkan minatnya dalam dunia fesyen dan menghargai budaya seni masyarakat Melayu… Kavita berbesar hati menghasilkan pelbagai koleksi baju kurung rekaan label fesyennya sendiri di butik KVITA yang dijual di Bangsar, Kuala Lumpur. Memang eksklusif dan nampak selesa dipakai.
Kredit: Instagram Kavita Sidhu
This website uses cookies.