Bak kata orang untuk mendirikan rumah tangga tidak sukar namun untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga adalah suatu cabaran. Hampir 13 tahun Dato’ Fazley Yaakob dan Datin Azrene Ahmad mendirikan rumah tangga, kebahagiaan pasangan ini menjadi inspirasi buat pasangan muda.
Tiada apa yang diharapkan dalam sebuah perkahwinan melainkan hubungan yang bahagia serta diserikan dengan kehadiran cahaya mata sebagai penyejuk mata.
Sudah tentu pasangan sama cantik dan sama padan ini mempunyai resipi kebahagiaan yang boleh dikongsi bersama. “Alhamdulillah, saya terlalu bersyukur kerana dianugerahkan seorang isteri yang betul-betul memahami diri saya seadanya.
Saya percaya setiap pasangan suami dan isteri pasti akan menempuh pasang surut dalam sebuah hubungan. Sedangkan lidah lagi kan tergigit ini kita pasangan suami isteri. Saya dan Azrene memegang utuh konsep kalau bergaduh tak boleh lebih daripada 24 jam dan kalau tidak bersependapat kami diselesaikan hari itu juga.
Salah seorang pasti akan mengalah atau berlembut dan saling memaafkan. Kami tidak pernah tidur dalam keadaan marah atau benci-membenci di antara satu sama lain. Kami juga tidak akan sekali-kali akan bergaduh di depan anak-anak.
Bagi saya proses untuk mengembalikan kasih sayang itu sangat penting terutama selepas perselisihan faham. Saya dan Azrene juga mengekalkan konsep sentiasa menghubungi di antara satu sama lain setiap hari. Kecanggihan teknologi benar-benar membantu mengukuhkan hubungan buat pasangan kini untuk bertanya khabar walaupun sesibuk mana,” terang Dato’ Fazley sambil menggenggam erat tangan isteri yang setia di sisi.
Melihatkan aturan hidupnya umpama tidak cukup 24 jam sehari lebih-lebih lagi mempunyai anak yang masih kecil. Tercetus rasa ingin tahu tentang pengurusan masanya. “Insyaallah, saya jarang berhadapan dengan masalah pengurusan masa kerana saya sentiasa aturkan jadual sebulan lebih awal.
Kebanyakan staf saya di SukaSukre Bistro dan SukaSukre Creative sedar dan tahu bahawa saya sentiasa pentingkan keluarga terlebih dahulu. Jadi kalau ada jadual yang memerlukan untuk out station, saya akan pastikan akan balik sebelum anak tidur dan pergi selepas anak bangun tidur.
Saya lakukan begini supaya anak-anak tidak lekang daripada melihat wajah saya setiap kali mereka bangun tidur dan sebelum mereka tidur. Jadual yang saya aturkan untuk perniagaan, nyanyian, masakan dan keluarga semuanya seimbang, insyaallah.
Setiap minggu ada sahaja masa untuk saya makan malam, tengok wayang dan untuk saya hantar anak ke sekolah dan ambil dari sekolah. Jadi anak-anak tidak pernah rasa bahawa saya tidak ada walaupun saya begitu sibuk dengan jadual seharian.
Begitu juga dengan ibu, adik-beradik serta isteri sentiasa saya hubungi melalui Whatsapp dan video call. Itu adalah sesuatu yang saya usahakan setiap hari,” kata Dato’ Fazley.