Walau Ibu Mimi Fly Lahir Tanpa Sepasang Kaki Namun Tetap MENANG Di Hati Anak-anak

Membesarkan anak-anak, anugerah Allah SWT yang tidak ternilai bukan suatu tugas mudah lebih-lebih lagi di zaman yang serba mencabar ini. Menjadi seorang ibu dalam masa yang sama berfungsi sebagai isteri, pekerja mahupun majikan memerlukan pengorbanan yang begitu besar dalam diri wanita.

Membayangkan tubuh yang sempurna pun kadang-kadang ‘gagal’ melunaskan tanggungjawab sebagai seorang ibu apatah lagi dilahirkan kekurangan fizikal. Namun, wanita yang layak digelar Superwoman seperti Ramlah Md. Jalee ini tidak pernah menganggap kekurangan dirinya sebagai halangan untuk berjaya.

Bercerita tentang pengalaman ibu kesayangan kepada Mimi Fly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina ini membesarkan anak-anak, “Dengan keadaan saya yang tidak dapat berjalan dan terpaksa berkerusi roda, memanglah satu cabaran besar untuk menguruskan anak-anak semasa kecil.

Cuma cara saya mendukung anak-anak, memasak, memandu, menaiki tangga dan keluar bekerja berbeza berbanding ibu-ibu lain. Saya terpaksa membawa anak-anak ke rumah pengasuh dengan kereta kerana saya bekerja manakala suami pula seorang ahli perniagaan.

Saya tak pernah salahkan sesiapa dengan keadaan saya seperti ini. Saya percaya, Allah SWT berikan kelebihan dan kekurangan untuk setiap makhlukNya. Dalam kehidupan ini, saya melihat ada keadaan orang yang lebih teruk daripada saya,” terang ibu kepada tiga orang anak ini.

Semangat dan jati diri yang teguh dalam diri wanita kelahiran Negeri Jelapang Padi yang dilahirkan tanpa sepasang kaki ini melayakkan dirinya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ibu Gemilang 2018.

“Saya membuktikan, walaupun seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU), kesedaran untuk menjaga diri sendiri menjadi paksi agar saya terus berusaha untuk mengharungi kehidupan yang penuh ranjau ini. Saya harus berdikari tanpa mengharapkan sesiapa.

Jika saya tidak menolong diri sendiri, siapa yang sanggup membantu saya buat selamanya? Jadi saya harus kuat dan sentiasa positif,” tutur wanita yang pernah menerima Anugerah Seri Nona, Anugerah Tokoh Negeri Selangor dan Tokoh Hari Pekerja OKU ini.

Walau dilahirkan ‘tidak sempurna’ tetapi ibu kepada penyanyi One Nation Emcees ini tidak pernah menyalahkan takdir dan terus bangkit meneruskan kehidupan. “Saya juga merupakan penulis skrip bebas untuk drama tempatan. Saya pernah bekerja sebagai penyunting skrip drama di stesen televisyen RTM. Lebih beratus skrip yang ditulis untuk TV, radio dan ada juga drama saya yang menang anugerah,” ungkap wanita yang mempunyai kelulusan Penulisan Kreatif & Deskriptif dari Universiti Malaya ini.


Ramlah juga sempat menitipkan nasihat yang sangat berguna buat semua wanita, “Dalam hidup ini, kita harus ambil risiko. Begitu juga dengan hubungan suami isteri. Perkahwinan adalah perjudian. Bagi OKU seperti saya, kita tak boleh mengimpikan yang indah-indah saja. Setiap perkahwinan ada pasang surutnya tidak kiralah sama ada pasangan itu normal atau OKU. Ia sama saja,” bicara wanita yang tegas dengan anak-anak ini.

Share
Published by
Hamizatul Maizan Binti Mohamed