Orangnya bukan sahaja cantik tetapi juga bergaya, bijak dan suka berdikari. Meskipun lahir dalam keluarga berada yang memiliki perniagaan berasaskan berlian dan emas
permata namun Marissa Dato’ Seri Meer Sadik Habib tetap merendah diri. Melihat personaliti Marissa yang cukup menyenangkan jelas terbukti dia mendapat asas didikan yang sempurna daripada kedua-dua ibu bapanya.
Bergelar anak dan juga pewaris legasi Habib nyata bukan satu tiket mudah untuk Marissa hidup mewah. Sebaliknya wanita yang gemar tersenyum ini mengakui dia perlu bekerja keras demi mengejar sebuah kejayaan peribadi. Melewati usia 26 tahun, Marissa sudah tahu hala tuju hidup dan memutuskan untuk mengikut jejak langkah bapanya yang berkecimpung dalam perniagaan barangan kemas.
Difahamkan, empayar Habib mula diasaskan oleh datuk Marissa iaitu Datuk Haji Habib sejak lebih 60 tahun yang lalu. Bersandarkan kualiti dan harga yang ditawarkan Habib, jenama barang kemas ini sudah sinonim dan dikenali dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Mengintai latar belakang Marissa, figura berwajah manis ini sebenarnya merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda bidang perniagaan dan ekonomi dari University of Edinburgh, Scotland. Kira-kira dua tahun lalu, Marissa telah berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang Gemologi.
Mengulas lanjut mengenai bidang yang dipelajari, Marissa berkata, “Saya melanjutkan pelajaran di Gemological Institute of America (GIA), California selama setahun yang memerlukan saya untuk mengkaji dan klasifikasikan kualiti terhadap berlian. Bidang ini juga sebenarnya memerlukan saya untuk mengenal pasti batu Ruby yang asli mahupun tiruan dan daripada mana ia wujud.”
Minat yang mendalam dalam bidang Gemologi ini membuatkan Marissa terus bersemangat meneruskan pengajian dalam lapangan yang sama seperti ayahnya, Dato’ Seri Meer Sadik Habib yang juga Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd.
Ujarnya lagi, “Tiada paksaan daripada ayah sebab memang saya sendiri yang berminat menceburkan diri dalam bidang ini. Tak sangka, saya dan ayah sama-sama belajar bidang yang sama di pusat pengajian yang sama. Bidang ini memang susah dan saya perlu fokus sepenuhnya dalam pelajaran. Tapi syukur sebab saya di kelilingi rakan-rakan kuliah dan keluarga yang memberi sokongan dan membuatkan proses pembelajaran jadi seronok!”
Ditanya adakah dia menerima layanan istimewa kerana bergelar anak kepada pemilik Habib Jewels dan lahir dari keluarga yang kaya, sambil menggelengkan kepala dia menyusun
bicara. “Tidak! Sebenarnya perkara ini saya tak kongsikan dengan ramai orang. Saya berpindah ke Hong Kong selama setahun untuk bekerja di salah sebuah syarikat di sana
untuk mencari pengalaman. Di samping itu juga saya tak mahu hanya terikat dengan syarikat milik keluarga.
Dalam masa sama, saya mahu belajar berdikari dan mencabar diri berada di tempat orang supaya saya boleh membawa pembaharuan kepada syarikat milik keluarga dan juga industri barangan kemas di Malaysia pada masa akan datang.
Tidak dinafikan apabila bekerja dengan keluarga, saya boleh ‘lari’ daripada sebarang masalah kerana ayah saya ialah boss. Tapi saya tidak mahu jadi seperti itu. Bekerja dengan keluarga juga merupakan satu cabaran kerana saya perlu beri contoh yang terbaik.
Apa yang paling penting dalam kehidupan ialah kena cari apa yang anda minat, yang boleh buatkan kita teruja untuk bekerja dan lakukan sesuatu pekerjaan bukan kerana paksaan. Asah bakat anda dalam apa jua bidang dan terus belajar perkara-perkara baru,” pesan Marissa.
This website uses cookies.