Walau Sibuk, Doktor Pakar Ini Curi Masa Jahit PPE, Demi Bantu Frontliners

Dalam situasi negara berhadapan wabak COVID-19 yang kini memasuki hari ke 22 Perintah Kawalan Pergerakan, petugas di barisan hadapan masih lagi bertungkus lumus memastikan wabak ini tidak terus merebak dan mengancam lebih banyak nyawa. Sekaligus, keperluan terhadap pakaian PPE juga adalah satu keperluan yang mendesak di kalangan petugas di barisan hadapan.

Menyedari keperluan membantu rakan setugas, beberapa doktor pakar dan kakitangan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (FPSK USIM) mengambil inisiatif menjahit PPE untuk dibekalkan kepada beberapa hospital yang telah dikenalpasti keperluan yang mendesak. Projek ini  dibawah  naungan Dekan Fakulti, Profesor Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris.

Menurut Ketua Projek, Profesor Madya Dr Azlina Mokhtar, sasaran permulaan adalah sebanyak 200 helai PPE (iaitu gaun, tudung dan boots) untuk minggu pertama projek dijalankan.

“Kekangan ini disebabkan bahan mentah agak limited (kain non-woven, getah) dan kekangan masa memandangkan ahli pasukan  merupakan pensyarah dan juga doktor pakar yang masih menjalankan kerja-kerja di klinik atau di hospital.

“Tambahan pula dikala perintah kawalan pergerakan ini membataskan perjalanan kami untuk mengedarkan kain untuk dijahit oleh orang lain. Sasaran kami  untuk menyediakan 1000 helai untuk diagihkan bersama kepada :

1.Klinik Pakar Kesihatan USIM termasuk Pusat Hemodialysis USIM, Nilai

2.Hospital Ampang

3.Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh

4.Hospital Port Dickson dan juga beberapa klinik kesihatan dan pusat kesihatan daerah.

 

Menggelarkan Projek Cik Kiah PPE FPSK USIM, projek ini tercetus apabila sekumpulan kakitangan kesihatan amat terkesan dengan permasalahan kekurangan PPE di hospital dan di klinik-klinik memandangkan keperluan ini amat penting sebagai salah satu protection utk keselamatan kakitangan kesihatan.

 

“Kami tidak mengambil masa yang lama untuk menubuhkan unit menjahit ini memandangkan rasa tanggungjawab kami terhadap rakan-rakan kakitangan kesihatan yang memerlukan bantuan dari pelbagai segi.  Dalam masa beberapa minit, pesanan ringkas kepada semua sahabat terdekat di FPSK dihantar dan mendapat balasan yang amat positif dan terus gerak kerja kami bermula dengan WA, alam maya terlebih dahulu.

Selain itu, mendengar keluhan rakan-rakan setugas yang tidak mempunyai bekalan PPE yang mencukupi, kami terus menghubungi pihak Hospital Ampang iaitu Hospital Pengajar USIM dan sangat berbesar hati dapat terus memulakan projek kami apabila pihak Hospital mempunyai bahan awal tetapi tidak mempunyai tenaga pekerja mencukupi untuk menjahit peralatan PPE. Ini terus membakar semangat kami untuk terus menggerakkan projek kami dalam masa 24 jam idea projek tercetus”, ujar  Profesor Madya Azlina lagi.

Buat permulaan, sasaran permulaan  sebanyak 200 helai PPE terdiri daripada gaun, tudung dan boots untuk minggu pertama projek dijalankan. Memandangkan terdapat kekangan bahan mentah dan masa agak suntuk (kebanyakan sukarelawan merupakan pensyarah dan doktor pakar yang masih menjalankan kerja kerja hakiki di klinik atau di hospital).

Pasukan doktor pakar ini juga sempat menitipkan nasihat untuk rakyat Malaysia agar kekal di rumah bagi mengekang penularan wabak Covid-19 ini.

Stay at home, let us stay at work.  Sebagai petugas kesihatan, kami amat  terkesan apabila rakan-rakan setugas khususnya yang terlibat secara langsung dalam perawatan masalah Covid-19 menanggung risiko yang tinggi apabila bertugas lebih-lebih lagi apabila stok PPE di hospital dan di klinik tidak mencukupi.

Kami amat berbesar hati dapat membantu rakan-rakan setugas di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia khususnya hospital Pengajar USIM yang selama ini banyak memberi bantuan kepada USIM dalam pengajaran pelajar perubatan USIM dan juga latihan doktor pakar USIM.

 

Kami turut melancarkan tabung bantuan barisan hadapan COVID-19 dan sehingga kini sambutan daripada rakan-rakan dan juga orang ramai sangat memberangsangkan dalam menyalurkan wang ringgit, bahan untuk PPE, sumbangan idea, masa dan juga tenaga”.

Sehingga kini, sebanyak 299 PPE telah diserahkan kepada pihak Hospital Ampang.

Terima kasih semua dan teruskan menyumbang untuk kebaikan semua. Semoga kita semua beroleh manfaat dan usaha kita diberkati Allah swt. Bersama kita hapuskan Covid-19 InsyaAllah.

Share
Published by
Rosmah Idayu