Walaupun Belum Berkahwin & Tiada Anak Lagi, Jangan Ragui Kebolehan Memasak ANIS NABILAH!

Berbekalkan kepakaran dan minat mendalam dalam bidang penyediaan makanan sejak daripada kecil lagi, Anis Nabilah Umaruddin atau lebih dikenali sebagai Cef Anis kini mampu berdiri setanding dengan cef selebriti popular yang lain.

Mengakui banyak dugaan yang terpaksa dihadapi sepanjang bergelar cef selebriti, wanita berusia 32 tahun ini tidak pernah patah semangat untuk terus memacu kerjayanya mencapai kejayaan yang lebih tinggi di samping berkongsi pengalaman yang sedia ada kepada orang lain juga.

“Sewaktu mula-mula ingin membina kerjaya sebagai seorang Cef Selebriti, ramai yang mempertikaikan kebolehan saya. Status saya yang masih bujang, belum mempunyai anak dan umur yang muda menjadikan mereka meragui kebolehan saya memasak.

Namun, saya tidak mempedulikan komen-komen negatif tersebut kerana saya memang melakukan perkara yang saya minat dan tujuannya adalah untuk menambah dan berkongsi ilmu. Bahkan, ia tidak ada kaitan langsung untuk mengejar populariti”,jelas Anis yang berkelulusan diploma daripada Food Institute of Malaysia (FIM) dengan teruja.

“Ibu saya ada berpesan, whatever you do in your life, you have to make a difference. Jadi, saya percaya sebagai seorang cef selebriti, kerja saya bukan hanya memasak tetapi untuk melakukan sesuatu yang lebih besar dan bermakna bukan hanya kepada diri sendiri tetapi orang lain juga,” tambah wanita yang mempunyai tubuh kecil molek ini.

“Diharapkan, dengan perkongsian resipi dan cara memasak oleh saya dapat menarik orang-orang muda di luar sana untuk mula belajar memasak walaupun sesetengah orang mungkin menganggap memasak ini sesuatu yang remeh dan tidak penting.

Sebenarnya, bila pandai memasak kita akan tahu apakah bahan-bahan yang digunakan untuk menyiapkan hidangan makanan tersebut. Ini kerana untuk menjadi sihat ia bermula daripada apa yang kita makan. Selain itu, mempunyai kebolehan memasak juga akan membuatkan anda menyediakan makanan yang sihat untuk keluarga dan orang yang tersayang”, ulas Anis lagi yang menganggap semua orang boleh memasak.

Share
Published by
Elly Jalil