Naluri memiliki barang kemas sentiasa bersarang dalam diri wanita kerana mampu menterjemahkan kebahagiaan yang abadi. Bila sebut sahaja barangan kemas pasti sudah terbayangkan jenama barang kemas dan permata terkemuka negara, Habib Jewels. Sudah pasti wanita yang berada di sebalik jenama gah ini ialah Datin Sri Zarida Noordin.
Memiliki personaliti yang lemah-lembut, wanita yang gemar menyarung baju kurung moden ini terus komited menempatkan dirinya dalam kelasnya tersendiri dalam industri barangan kemas. “Syarikat kami mempunyai warisan dan membina reputasi yang tersendiri. Mencari pelanggan tidak sukar tetapi memiliki pelanggan yang setia merupakan suatu cabaran. Oleh itu membina hubungan dan kepercayaan terhadap pelanggan sangat penting.
Kami sangat menekankan jualan selepas perkhidmatan. Selepas membuat pembelian, pelanggan bebas untuk datang kembali jika terdapat sebarang ketidakpuasan hati pembelian tersebut. Apa sahaja yang dipersoalkan pelanggan kami akan cuba menangani dengan sebaik mungkin. Dalam masa yang sama kita membina kepercayaan di antara syarikat dan pelanggan,” jelas isteri kepada Dato’ Seri Meer Sadik Habib ini.
Bukan mudah untuk Datin Sri Zarida menyeimbangkan tugas sebagai usahawan, isteri dan ibu kepada Mirzan, 28 tahun, Marissa, 26 tahun, dan Mirsham, 25 tahun ini. Namun Pengarah Urusan PANDORA Malaysia & Brunei ini telah menlaksanakan tugas dengan jayanya.
Sebagai wanita, mengemudi sebuah syarikat yang terkenal memerlukan komitmen dan ketegasan yang padu. “Sebagai seorang ketua, peranan saya adalah untuk membangunkan team atau pasukan baru yang telah terbina. Saya tidak akan boleh berjaya tanpa sokongan daripada pasukan. Kami perlu bekerjasama demi mencapai matlamat dalam perniagaan ini.
Saya selalu menekankan kepada pasukan saya untuk meletakkan diri sendiri sebagai pelanggan. Sebagai pelanggan apa yang kita harapkan daripada jurujual dan selalu menggembirakan hati pelanggan. Khidmat pelanggan sangat penting dan saya banyak menganjurkan kursus khidmat pelanggan di kalangan pasukan saya.
Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai seorang ketua dan mengamalkan dasar terbuka di kalangan pekerja. Mereka boleh datang berjumpa dengan saya bila-bila masa sahaja dan boleh berbual tentang apa sahaja isu. Saya tidak mempunyai sebarang hierarki dan menganggap semua pekerja adalah sama.
Saya berharap dapat memotivasikan pasukan menjadi seorang yang lebih baik. Apabila mereka mencapai sasaran secara tidak langsung saya mencapai peranan saya sebagai seorang ketua,” tegas wanita kelahiran Pulau Pinang ini.