Pasangan mualaf berketurunan Orang Asli dari suku kaum Mah Meri iaitu Siti Hawa Abdullah dan Sulaiman Abdullah antara penerima bantuan zakat dari Lembaga Zakat Selangor (LZS). Mereka yang menetap di sebuah perkampungan sekitar Banting menyara kehidupan keluarga dengan kerja-kerja kampung demi sesuap nasi.
Biarpun hanya berteduh di sebuah teratak usang berkeluasan sederhana namun keluarga ini masih mampu tersenyum dengan segala nikmat yang dikurniakan. Siti Hawa dan Sulaiman dikurniakan dengan empat cahaya mata iaitu dua lelaki dan dua perempuan berusia 20, 16, 14 dan 7 tahun.
Pasangan ini memeluk Islam sejak lima tahun lalu. Bermula saat itu keluarga ini mengecap ketenangan hidup berlandaskan ajaran Islam biarpun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran yang mampu menggoyahkan keimanan. Sebagai ketua keluarga, Sulaiman berjaya membawa isteri dan anak-anak ke jalan lurus mengikut didikan guru-guru agamanya.
TENANG
“Dalam keluarga saya seorang sahaja yang memeluk Islam manakala suami pula dia adalah yang terakhir memeluk Islam. Semua adik beradiknya sudah lama memeluk Islam. Namun begitu, keluarga saya tiada masalah dengan perkara ini. Mereka dapat menerima suami dengan baik.
Kami sekeluarga menghadiri kursus asas saudara baru yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Kursus ini wajib dihadiri oleh mualaf yang memeluk Islam di Selangor. Manfaatnya, kami banyak tahu tentang keindahan Islam.
Antara dugaan kami sejak peluk Islam ialah persepsi masyarakat. Penampilan dan pergaulan juga perlu diubah agar tidak melebihi batas-batas agama Islam. Dulu jiwa ini kosong.
Alhamdulillah sejak memeluk Islam kami rasa sangat tenang walau kehidupan tidak mewah seperti orang lain. Solat memberi ketenangan jiwa. Seminggu tiga kali kami menghadiri kelas mengaji di surau berhampiran.
Semasa awal-awal peluk Islam, kami mengaji di rumah seorang Ustaz yang terkenal dengan sikapnya yang tegas. Saya pula gemar bertanya. Menurut Ustaz hidup ini usah terlalu mengejar dunia kerana akhirat juga sama penting. Hubungan dengan Allah SWT itu yang penting,” jelas Siti Hawa.
REZEKI
Mereka menerima bantuan kewangan secara bulanan sebanyak RM500 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS). Tidak hanya bergantung kepada bantuan tersebut, Sulaiman turut bekerja sebagai nelayan. Rata-rata penduduk di situ bergelar nelayan kerana ia merupakan sumber pendapatan utama.
Rutinnya bermula jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari. Kadangkala Siti Hawa turut membantu turun ke laut. Jika tidak ke laut mereka akan melakukan kerja lain seperti mengutip siput dan pepahat.
“Selagi bernyawa kami akan terus patuh kepada ajarannya dan memperbaiki mana yang masih pincang. Kami juga akan sentiasa memperbanyakkan amalan demi mendapatkan pahala. Semoga kami sekeluarga terus istiqamah,” ungkap Sulaiman. AMY MOHD
This website uses cookies.