Seseorang tidak boleh memilih keturunan mana dan darjat saat dia dilahirkan ke dunia ini. Sangat bertuah dan beruntung apabila lahir daripada keluarga terkenal dan kaya. Tapi tuah milik Marissa Dato’ Seri Meer Sadik Habib. Orang ramai mungkin menganggap satu kelebihan baginya kerana hidup dalam ‘kilauan’ emas, berlian dan permata.
Namun, tidak bagi Marissa kerana semua itu hanya dianggap sebagai ‘bonus’ dan beliau harus berusaha sendiri untuk mencapai kejayaan. Kini, pada usia 24 tahun, dia menetapkan dirinya untuk mengikut jejak langkah bapanya menerajui jenama barang kemas Malaysia, Habib, yang diasaskan oleh datuknya, Datuk Haji Habib hampir 60 tahun yang lalu.
Wanita yang sentiasa tersenyum dan peramah ini sebenarnya sudah mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perniagaan dan Ekonomi dari University of Edinburgh, Scotland dan telah menamatkan pengajiannya dalam bidang Gemologi sekitar tahun lalu.
GEMOLOGI & HONG KONG
“Saya melanjutkan pelajaran saya di Gemological Institute of America (GIA), California selama setahun dalam bidang Gemologi di mana memerlukan saya untuk mengkaji dan klasifikasikan kualiti terhadap berlian. Selain itu, bidang ini juga memerlukan saya untuk mengenal pasti batu Ruby yang asli mahupun tiruan dan daripada mana mereka wujud”, terang Marissa sambil tersenyum.
Kerana minat yang mendalam dalam bidang Gemologi ini membuatkan Marissa terus bersemangat untuk meneruskan pengajian dalam bidang yang sama seperti ayahnya, Dato’ Seri Meer Sadik Habib iaitu Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd.
Ads
“Saya tidak mendapat paksaan daripada ayah saya bahkan saya memang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang ini dan ayah juga pernah belajar bidang yang sama di pusat pengajian yang sama 32 tahun sebelum saya”, tambahnya sambil tertawa kecil.
“Bidang ini memang susah dan saya perlu focus sepenuhnya dalam pelajaran, tapi dikelilingi oleh rakan-rakan kuliah dan keluarga yang memberi sokongan membuatkan cabaran ini sungguh seronok!”
Ketika ditanya adakah mejadi satu kelebihan baginya menjadi anak kepada pemilik Habib Jewels Sdn Bhd dan lahir dalam golongan keluarga yang mewah untuk mencapai setiap kehendak dan kemahuan, Marissa masih tetap mahu membuktikan dirinya boleh berusaha sendiri tanpa dibayangi oleh ahli keluarga yang lain.
Ads
“Tidak, sebenarnya perkara ini saya tidak kongsikan dengan ramai orang. Saya akan berpindah ke Hong Kong selama setahun untuk berkerja di salah satu syarikat di sana untuk mencari pengalaman sendiri dan tidak mahu hanya terikat dengan syarikat milik keluarga.
Selain itu, saya juga mahu belajar untuk berdikari dan mencabar diri saya sendiri di tempat orang supaya saya boleh membawa pembaharuan kepada syarikat keluarga mahupun negara tercinta, Malaysia di masa akan datang”, kata Marissa yang akan berpindah ke Hong Kong pada bulan September nanti.
“Tidak dinafikan berkerja dengan keluarga membolehkan saya untuk lari daripada sebarang masalah kerana ayah saya merupakan boss, tapi saya tidak mahu jadi seperti itu. Berkerja dengan kelurga juga merupakan satu cabaran kerana saya perlu beri contoh yang terbaik.
Apa yang paling penting dalam kehidupan ialah cari apa yang anda minat dan teruja untuk lakukan dan bukan kerana paksaan, asah bakat anda dalam apa jua bidang dan teruskan untuk belajar perkara-perkara baru,” pesan Marissa.
Ads
Marissa turut berkongsikan rasa terujanya untuk berkerjasama dengan jewelry designer terkenal daripada London, Stephen Webster kerana buat pertama kalinya, Stephen Webster nama yang tidak asing lagi dalam dunia aksesori mewah dan ekslusif melebarkan empayarnya ke Malaysia apabila berkolaborasi bersama Habib Group untuk menembusi pasaran Malaysia dengan mempamerkan koleksi mereka di soft launch Stephen Webster baru-baru ini bertempat di Colony@KLCC.
“Hari ini merupakan pameran untuk koleksi yang direka sendiri oleh Stephen Webster dan kami berharap untuk berkerjasama lagi bersama beliau di masa akan datang dengan membawa koleksi terbaru daripada Stephen Webster”, katanya ketika ditemui di majlis tersebut.
Dengan 40 tahun pengalaman dalam bidang rekaan barang kemas oleh Stephen Webster, antara koleksi yang telah mendapat tempat di seluruh dunia ialah Fly by Night, Lady Stardust, Thorn, Love Me love Me Not, I Promise You dan koleksi khas untuk lelaki England Made Me. Semua koleksi ini mendapat inspirasi dari muzik, fesyen serta seni dan mendapat sentuhan daripada Stephen Webster sendiri.
sumber foto: instagram @marissameer
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Walaupun wanita kecil molek ini banyak menghabiskan masa remajanya di Kota London namun semangat jati dirinya tak pernah pudar. Mula menetap di London sejak usia 16 tahun untuk meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang menjadikan semangatnya terus kental berjuang membantu mereka yang memerlukan dalam bidang yang sangat dicintainya ini.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Seronok mendengar Intan Amalina Dato’ Sri Mohd Sarit bercerita tentang kerjayanya dalam bidang guaman dan semangatnya melakukan kerja amal. “Sejak kecil lagi, saya memang minat dan cenderung melakukan kerja amal kerana ibu dan ayah saya sentiasa mengajar kami adik-beradik untuk berbakti kepada masyarakat.
Ayah dan ibu dulu mempunyai sebuah rumah anak yatim yang diberi nama Rumah Bakti Semantan di Temerloh. Syukur, hasil daripada usaha ayah dan ibu, anak-anak ini telah pun berjaya dan menjadi lulusan universiti di dalam dan luar negara. Saya cuba terapkan nilai-nilai murni ini dalam kehidupan semasa.
Setelah saya pulang ke Malaysia pada tahun 2015, saya menjadi guru secara sukarela di IDEAS Academy untuk warga pelarian dan banyak projek lain yang masih dalam proses kolaborasi,” kata anak bongsu kepada pasangan Dato’ Sri Haji Mohd Sarit Haji Yusoh mantan Ahli Parlimen Temerloh dan Pakar Motivasi, Datin Sri Dato’ Fadzilah Muhammad Ali sambil tersenyum.
Foto: Koleksi Majalah NonaFoto: Koleksi Peribadi Intan Amalina
MEDIASI
Wanita yang berkelulusan LLB (Hons) United Kingdom dan Mediator in Civil and Commercial Matters (ADR GROUP, London) serta sedang dalam proses menamatkan MA Global Diplomacy dari SOAS London ini komited memperjuangkan salah satu bidang perundangan yang digelar mediasi.
“Semasa saya di sekolah guaman, The Honourable Society of The Inner Temple, saya diperkenalkan kepada bidang Alternative Dispute Resolution (ADR) iaitu kes-kes tidak ke mahkamah malah menggunakan cara alternatif untuk diselesaikan. Justeru, saya mula mengenali dan mendalami bidang mediasi (mediation) ini.
Oleh kerana saya mempunyai bakat dan sering menjadi pelajar terbaik dalam bidang ini, pensyarah menggalakkan saya untuk mengambil lesen akreditasi untuk menjadi mediator dalam bidang sivil dan komersial,” terang pencinta kucing ini.
“Setelah pulang dari London, Tan Sri Apandi Ali (Peguam Negara ketika itu) telah mengundang saya untuk menimba pengalaman di Jabatan Peguam Negara. Saya masih berpegang teguh dan komited untuk melebarkan sayap dalam bidang mediasi semasa saya menceduk pengalaman di sana. Namun, saya tidak sangka betapa peritnya untuk mendapat peluang kerana kes-kes mediasi sangat terhad di Malaysia.
Demi menguar-uarkan tentang proses mediasi, saya dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa, Young Practitioner’s Group di Asian International Arbitration Center (AIAC) yang dulu lebih dikenali sebagai Kuala Lumpur Regional Center for Arbitration (KLRCA). Salah satu tugas saya adalah untuk bercakap tentang proses ADR dan mediasi kepada bakal-bakal peguam yang masih menuntut seperti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA),” ucap Intan bersemangat.
Foto: Koleksi Majalah Nona
KEMAHIRAN MEDIASI
Setelah hampir berputus asa menghadapi cabaran yang diluar jangkauan, Intan bersyukur kerana telah dipertemukan dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menyuntik inspirasi untuk terus berjuang. “Rezeki datang tanpa disangka apabila saya diperkenalkan kepada Mediators Beyond Borders International (MBBI) yang merupakan NGO mediasi antarabangsa yang berpusat di Washington. Saya telah dilantik menjadi wakil dari Malaysia dan juga Pengasas MBBI Malaysia.
Melalui NGO ini, saya diberi banyak pendedahan kepada dunia mediasi, terutama sekali bidang informal mediasi di mana kemahiran mediasi digunakan untuk menyelesaikan masalah perbalahan dalam komuniti, masyarakat sejagat, serta politik dan juga kemahiran mediasi digunakan sebagai cara menyokong isu-isu yang perlu diketengahkan.
Misalnya, pada tahun 2019, saya telah diundang untuk menyertai dan bercakap di United Nation Women Insider Mediator di Davao, Filipina. Di sana saya berkumpul bersama-sama wanita dari kawasan pedalaman Filipina yang terpaksa berdepan dengan guerilla pemberontakan. Mediator-mediator dipanggil untuk berkongsi kemahiran dengan mereka untuk berkomunikasi secara efektif dan aman,” bicara waris generasi ke 14 keturunan Tun Perak ini mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pengumuman barisan jemaah menteri oleh Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam telah menyaksikan kuasa sembilan orang wanita yang turut berganding bahu menjalankan pentadbiran negara.
Barisan kabinet ini bukan calang-calang kerana mereka terdiri daripada tokoh politik berpengalaman, teknokrat dan pakar dalam pelbagai bidang.
Menteri Wanita dan Keluarga YB Datuk Seri Rina binti Mohd Harun
YB Datuk Seri Rina binti Mohd Harun
Sebelum dilantik sebagai Menteri Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Rina Mohd Harun menjawat jawatan sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar. Wanita yang berusia 47 tahun ini merupakan Ahli Parlimen bagi zon Titiwangsa. Datuk Seri Rina Mohd Harun merupakan bekas pelajar Sekolah Tun Fatimah dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA). Beliau melanjutkan pengajian ijazah pertamanya di Universiti Northwood di Michigan, Amerika Syarikat dan mendapat BBA dalam bidang Perbankan dan Kewangan.
Menteri Pengajian Tinggi YB Dato’ Dr Noraini binti Ahmad
YB Dato’ Dr Noraini binti Ahmad
Wanita yang berusia 53 tahun ini merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor. Dato’ Dr Noraini Ahmad memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perdagangan Kuantitatif Analisis dan Kewangan dari Universiti Saskatchewan, Kanada. Seterusnya memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Hajah Zuraida binti Kamaruddin
YB Hajah Zuraida binti Kamaruddin
Hajah Zuraida Kamaruddin telah dilantik sekali untuk mentadbir Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan oleh Perdana Menteri ke-8. Beliau merupakan Ahli Parlimen Ampang, Selangor. Kini berusia 62 tahun serta mendapat pendidikan awal di Tanjong Katong Girl School, Singapura dan mempunyai pengalaman yang luas bekerja di sektor swasta sebelum menceburi politik.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan YB Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
YB Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri
Ahli Parlimen Batang Sadong ini pernah menjawat jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas pilihan raya umum 2013. Berusia 59 tahun Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri memiliki darah Iban-Cina-Scotland-Melayu-Melanau. Beliau merupakan pemegang Sarjana Eksekutif Pentadbiran Perniagaan UiTM – Universiti OHIO (1998) (Beta Gamma Sigma Kehormat Anugerah); Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari University of Hull, UK (1990); Diploma Pentadbiran Awam ITM Shah Alam (1985); Sijil Pelajaran Malaysia, Hijau Jalan Sekolah Menengah Green Road (1976-1978).
Menteri Perpaduan Negara YB Datuk Halimah binti Mohamed Sadique
YB Datuk Halimah binti Mohamed Sadique
Datuk Halimah Mohamed Sadique merupakan Ahli Parlimen Tenggara, Johor dan kini dilantik menjadi Menteri Perpaduan Negara. Datuk Halimah Sadique kini berusia 58 tahun.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) YB Datin Mastura binti Yazid
YB Datin Mastura binti Yazid
Datin Mastura Yazid merupakan balu kepada Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Wan Ahmad, bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang meninggal dunia dalam tragedi helikopter di Sarawak. Berusia 59 tahun Datin Mastura Yazid merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang.
Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga YB Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff
Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff merupakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Kelantan. Kini berusia 57 tahun dan sudah tiga kali menang dalam pilihan raya 2008, 2013 dan 2018.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi YB Datuk Wira Mas Ermieyati binti Hj Samsudin
YB Datuk Wira Mas Ermieyati binti Hj Samsudin
Datuk Wira Mas Ermieyati Hj Samsudin merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Melaka sejak memenanginya pada pilihan raya umum ke-13. Kini berusia 44 tahun dan memiliki 5 orang cahaya mata. Beliau juga merupakan bekas pelajar Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Matrikulasi Undang-Undang dan Ijazah Undang-Undang di UKM, Bangi, Selangor.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) YB Dato’ Hajah Hanifah Hajar binti Taib
YB Dato’ Hajah Hanifah Hajar binti Taib
Bapa Dato’ Hajah Hanifah Hajar Taib pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Balingian dalam Parlimen Mukah sehingga melepaskan jawatan apabila dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri pada 2014. Kini berusia 48 tahun merupakan bekas pelajar Universiti San Francisco, Amerika Syarikat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wanita merupakan makhluk Tuhan yang bukan saja terkenal dengan kekuatan jiwanya, malah kreatif serta mampu menyelesaikan banyak masalah. Menurut sejarah, telah banyak ciptaan penting dan masih wujud hingga ke hari ini yang diinspirasikan daripada idea seorang wanita. Antaranya, Wi-Fi.
Tahukah anda, apakah reka cipta lain yang terhasil daripada wanita dan mengubah kehidupan kita hari ini? Semak senarai penting di bawah.
Alice H. Parker
Inilah orangnya yang membuat badan anda terus hangat dalam kesejukan musim salji. Menyedari perubahan cuaca sejuk yang menjejaskan kehidupan orang ramai di negara empat musim, Parker mengilhamkan relau gas melalui saluran udara pada tahun 1919 untuk menghangatkan bangunan.
Setelah diubah suai, inovasi model pemanas itu akhirnya digunakan sebagai sistem pemanas pusat yang penting pada zaman sekarang. Mendiang meninggal dunia pada usia 25 tahun namun namanya akan sentiasa diingati atas idea hebat ini.
Dr Shirley Ann Jackson
Pada era 70-an, ahli fizik ini telah memenangi anugerah dalam bidang telekomunikasi. Dr Shirley Ann Jackson telah mereka beberapa teknologi penting antaranya sistem panggilan ID dan sistem panggilan menunggu.
Hedy Lamarr
Percaya atau tidak, teknologi Wi-Fi yang digunakan hari ini adalah inspirasi aktres jelita bernama Hedy Lamarr, yang sangat membantu pasukan tentera sewaktu Perang Dunia Kedua.
Hedy Lamarr mengilhamkan sistem komunikasi yang mampu memberi petunjuk kepada tentera tanpa dikesan. Ciptaan ini menjadi permulaan kepada inovasi Wi-Fi, Bluetooth dan GPS yang digunakan hari ini.
Elizabeth Magie
Tahukah anda bahawa permainan papan Monopoli sebenarnya adalah idea seorang wanita? Elizabeth Magie memperkenalkan sejenis permainan bernama ‘The Landlord’s Game’ pada tahun 1904 sebagai cara mengetengahkan bahaya kapitalis.
30 tahun kemudian, seorang lelaki mempatenkan Monopoli yang sangat menyamai idea permainan papan Elizabeth Magie itu.
Letitia Mumford Geer
Picagari perubatan moden hari ini merupakan hasil rekaan Letitia Mumford Geer. Pada tahun 1899, wanita itu mempatenkan picagari (menggunakan satu tangan) yang mengubah sistem penjagaan kesihatan hingga ke hari ini.
Sebelum terlahirnya inovasi tersebut, pakar perubatan profesional menggunakan picagari yang memerlukan dua tangan untuk menyuntik pesakit.
Josephine Cochran
Setiap kali anda menggunakan mesin pencuci pinggan mangkuk (dishwasher), ketahuilah bahawa ia direka daripada idea seorang wanita bernama Josephine Cochran.
Diilhamkan untuk menyelesaikan masalah harian wanita, kredit ciptaan dishwasher automatik pertama telah diberikan kepada Josephine.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemaruk beratur berjam-jam demi merasa makanan viral, golongan remaja dan orang muda yang berbadan besar di Malaysia lebih cepat alami kerosakan buah pinggang.