Ubi bit sememangnya tidak popular di dalam masyarakat Melayu kerana ia jarang digunakan di dalam masakan. Tetapi bagi hidangan barat, ia sering digunakan di dalam hidangan salad mahupun dijadikan minuman.
Ubi bit merah terkenal dengan pelbagai khasiat dari sudut kesihatan. Kini, ia boleh didapati dengan mudah di pasaran. Selain dibuat jus, ia oleh direbus sebentar untuk dicampur ke dalam salad, atau dibuat puri untuk sup, dan lain-lain lagi.
Walaupun rasanya agak pahit, tetapi apabila ia dicampurkan ke dalam minuman ataupun salad, ia mempunyai kombinasi rasa yang enak selain ia baik untuk kesihatan. Benarlah kata pepatah, setiap apa yang pahit itu adalah ubat atau penawar!
Ubi bit kaya akan karbohidrat ( dalam bentuk gula dengan sedikit kandungan protein dan lemak) , yang mudah menjadi energi serta zat besi yang membantu darah mengangkut oksigen ke otak. Bit berwarna merah, warna ini disebabkan oleh gabungan pigmen ungu betasianin dan pigmen kuning betasantin. Walaupun mengandung karbohidrat, namun kalorinya rendah.
Banyak sekali khasiat dan kebaikan ubi bit merah ini. Antaranya adalah untuk mengatasi tekanan darah tinggi dan menyihatkan jantung. Para pakar daripada United Kingdom dan Amerika Serikat menyarankan pesakit hipertensi untuk minum 500 ml jus bit setiap hari. Telah terbukti secara nyata minum jus umbi bit ini mampu membantu menurunkan hipertensi. Kandungan nitrat yang juga terdapat pada sayuran berdaun hijau, menurunkan tekanan darah.
Menurut Prof. Amrita Ahluwalia dari Barts & London School of Medicine, mendapati bahawa minum jus bit serta sayuran lain yang kaya akan kandungan nitrat akan memelihara kesihatan jantung. Hasil percubaan yang dijalankan, tekanan darah menurun dalam waktu 1 jam setelah minum jus ubi bit.
Jadi, bagi pesakit darah tinggi, apa kata anda cuba. Tidak salah anda cuba kan?
JUS UBI BIT MERAH
BAHAN-BAHAN:
1 biji oren saiz sederhana
1 biji epal
1 batang lobak merah saiz sederhana
1 biji ubi bit merah saiz besar
2.5cm halia
CARA MEMASAK:
1.Kupas kulit oren, buang biji dan potong kasar.
2.Epal juga dibuang biji dan potong kasar. Kupas kulit lobak merah dan potong kasar.
3.Kupas kulit halia dan hiris. Kupas ubi bit merah dan potong kasar.
4.Kemudian satukan kesemua buah-buahan tadi di dalam pengisar buah-buahan. Kisar hingga halus. Tambah sedikit air jika perlu.
5.Sedia dihidangkan.
Info :Boleh ditambah dengan kiub ais jika inginkan jus itu sejuk. Tambahkan sedikit madu kerana ubi bit ini sedikit pahit.
“Sepanjang PKP Terlalu Kerap Menghadap Gajet, Beri Kesan Pada Kesihatan Mata”-Dr Maimunah Abdul Muna’aim
Mata merupakan organ yang mempunyai keistimewaan yang sukar digambarkan melalui kata-kata. Melalui mata, seseorang individu dapat melihat keindahan dunia ciptaan Allah dan sudah sewajarnya deria istimewa ini memerlukan perhatian yang sebaiknya.
Mata sememangnya antara organ kompleks yang cukup besar maknanya kepada setiap manusia. Sejak berzaman, kita mendengar orang menyebut kata indah iaitu ‘dari mata turun ke hati’. Walaupun mata cukup penting, namun ramai yang terlupa beberapa perkara sensitif berkait mata apatah lagi semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini, mata terlalu terdedah di skrin komputer, kaca televisyen dan gajet.
NONA mendapatkan pandangan dari Pakar Oftalmologi (MATA) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Maimunah Abdul Muna’aim mengenai penjagaan mata terutamanya di kalangan kanak-kanak di saat mereka lebih banyak menghabiskan masa di hadapan skrin komputer dan laptop sama ada untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mahupun bermain permainan komputer.
DR MAIMUNAH ABDUL MUNAI’AIM
NONA: Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, ramai ibu bapa dan anak-anak terdedah pada gajet untuk urusan kerja dan belajar secara online. Apakah kesan jangka pendek dan panjang sekiranya terlalu terdedah di hadapan skrin?
DR MAIMUNAH: Memandangkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pastinya masa perlu di isi dengan aktiviti yang berfaedah. Di zaman berteknologi tinggi sudah pasti anak-anak lebih arif dengan penggunaan gajet. Tugasan yang diberi oleh guru sekolah juga dibuat melalui Google Classroom, kahoot dan aplikasi belajar secara maya. Tidak kurang juga gajet digunakan untuk bermain permainan atas talian dan menonton video. Aktiviti fizikal agak terhad apabila berada di dalam rumah.
Kesan jangka pendek,jika melihat skrin atau melakukan kerja sekolah atau pejabat secara berterusan, anak-anak atau ibubapa itu sendiri akan terdedah dengan gejala “digital eye strain” di mana mereka akan merasa tidak selesa, mata kering dan kesat, mata rasa cepat penat, pedih, berair, penglihatan kabur dan pening. Ini daripada akibat mata kurang berkelip kerana asyik melihat gajet. Selain itu ada sesetengah daripada anak-anak kecil akan kerap mengelipkan mata tanpa disedari untuk menghilangkan rasa tidak selesa itu. Ibu bapa akan mula perasan dengan tabiat mata berkelip itu. Anak-anak juga mudah menjadi agresif jika ibu bapa melarang mereka bermain gajet.
Manakala kesan jangka panjang pula dapat dilihat apabila sepanjang tempoh PKP ibubapa dan anak-anak dikehendaki berada di dalam rumah untuk memutuskan rangkaian Covid 19 ini. Kita dapati penggunaan gajet telah digunakan dalam tempoh masa yang lebih lama berbanding hari biasa. Risiko pada anak-anak kecil jika berada di dalam bangunan untuk jangka waktu yang lama dan kurang pendedahan kepada cahaya matahari akan mengurangkan paras hormon dopamine di dalam saraf retina, dan menyebabkan bola mata membesar dengan tidak terkawal, dan seterusnya menyebabkan rabun jauh.
Kajian mendapati kanak-kanak yang mempunyai rabun jauh mempunyai dopamine yang rendah berbanding kanak-kanak berpenglihatan normal. Dopamine merupakan tindakbalas kimia yang dihasilkan oleh tubuh apabila terdedah kepada cahaya matahari. Ia didapati bertindak untuk merencatkan proses pemanjangan bola mata yang menjadi antara punca rabun jauh. Selain daripada itu penggunaan gajet juga akan menyebabkan regangan bebola mata turut berlaku apabila proses akomodasi berlaku pada masa yang lama. Ini juga akan menyebabkan pemanjangan bola mata dan menyumbang kepada peningkatan kuasa rabun jauh pada kanak-kanak.
Cahaya biru pada skrin gajet menghasilkan gelombang biru yang bergelombang rendah tetapi bertenaga tinggi. Cahaya biru ini dapat menembusi kornea mata, kanta mata sehingga ke bahagian saraf retina mata. Sekiranya seseorang terdedah terhadap cahaya biru pada skrin gajet secara berterusan dan berpanjangan kajian menunjukkan ia akan memberi kesan jangka panjang yang boleh merosakkan sel saraf mata dan meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit degenerasi makula.
NONA: Apakah saranan terbaik untuk ibu bapa had waktu gajet untuk anak-anak?
DR MAIMUNAH:Sebagai ibubapa, pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengajar anak-anak mengehadkan waktu bersama gajet. Menurut garis panduan American Academy of Pediatrics 2016, bagi kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke bawah tidak digalakkan mengunakan gajet, bagi umur 2-5 tahun hendaklah di hadkan kepada 1 jam sehari dengan program yang berkualiti. Manakala bagi umur 6 tahun ke atas hadkan kepada 2 jam sehari tetapi dengan pengawasan rapi daripada ibu bapa. Tetapkan undang-undang setiap 20 minit untuk berhenti sebelum diberikan gajet kepada anak-anak, boleh setkan loceng ‘alarm’ di telefon bimbit sebagai ingatan untuk berehat, selain itu ibu bapa juga boleh beri ganjaran jika anak-anak mematuhi peraturan.
Bagi memastikan kita menggunakan gajet secara berhemah anda dinasihatkan untuk mengamalkan beberapa amalan ini:
- Peraturan 20/20/20, setiap 20 minit menggunakan gajet, luangkan 20 saat untuk melihat ke luar jendela atau ke arah objek sejauh 20 kaki(6 meter) jaraknya untuk merehatkan otot-otot mata.
- Pastikan cahaya persekitaran yang terang apabila membaca atau menonton televisyen dan juga ketika menggunakan gajet
- Postur yang betul juga amat penting semasa menggunakan gajet, amalkan duduk dalam keadaan tegak dan elakkan berbaring terutamanya baring terlentang ini kerana ia akan menyebabkan otot mata akan bekerja dengan lebih keras, jadi mata akan cepat letih dan mengalami kabur mata secara sementara
- Jarak penggunaan gajet sebaik-baiknya sejauh 30cm ke atas. Jika menonton televisyen pastikan jarak sekurang-kurangnya 2 meter.
Saya sarankan jika anda tinggal di rumah yang ada halaman, supaya galakkan anak-anak bermain atau bersenam ringkas di depan rumah bagi mendedahkan mereka dengan cahaya matahari untuk merangsang hormone dopamine, tapi jangan sampai keluar daripada halaman rumah, bagi yang tinggal di flat atau apartmen anda boleh menikmati cahaya matahari daripada balkoni rumah.
NONA: Pada pandangan Dr,apakah aktiviti yang boleh dilakukan untuk merangsang minda anak-anak kecil dan mengelakkan mereka dari pengaruh gajet?
DR MAIMUNAH: Banyak lagi aktiviti dan perkara yang boleh digunakan untuk mengisi waktu lapang anak kecil selain gajet. Sebagai ibu bapa kita perlu bijak menentukan alternatif tersebut. Aktiviti mewarna, melukis membina lego, membaca buku antara perkara yang boleh di lakukan bersama-sama. Selain itu bermain monopoly, sahiba dan catur juga boleh merangsang minda anak- anak. Permainan tradisional seperti congkak juga amat digalakkan. Untuk anak-anak yang lebih kecil, bermain “kinetic sand” untuk sensori dan skill sosial adalah bagus untuk perkembangan mereka.
Bagi yang bersekolah rendah, ibu boleh mengajak untuk mencuba resepi baru, masak bersama-sama, kemas rumah bersama-sama.Jika bapa pula boleh mengajak anak bercucuk tanam secara kecil-kecilan contonhya dengan cara hydrophonic, membasuh kereta bersama-sama, bermain ping pong di dalam rumah semasa dalam PKP ini juga amat menyeronokkan. Bagi Muslim pula mungkin boleh bertadarus bersama-sama atau boleh buat cabaran menghafal surah-surah pilihan bersama keluarga.
NONA: Kaum lelaki juga suka melekat bermain permainan Computer Game. Bagaimana nak hadkan masa penggunaan dan cadangan terbaik untuk elak mata dari rosak?
DR MAIMUNAH: Kaum lelaki khususnya para suami seharusnya perlu bijak mengawal diri daripada terus melekat dengan gajet. Mereka perlu mengawal diri untuk tidak terlibat dengan permaianan atas talian yang berunsur keganasan, Selain itu mereka perlu menghindarkan diri daripada membeli permainan atas talian yang dirasakan memberi unsur negatif kepada diri. Mereka harus bijak mengurus masa dengan baik jika mahu terlibat dalam permainan atas talian ini. Para suami boleh berbincang dengan isteri waktu yang sesuai untuk bermain, seelok-eloknya bermain selepas isteri siap kerja rumah kerana suami boleh membantu menjaga anak-anak. Selain itu untuk mengeratkan lagi hubungan suami isteri mungkin kedua-dua boleh bermain bersama-sama jika semua kerja rumah telah siap dan pastikan anak-anak tidak terabai semasa bermain permaianan atas talian ini.
Cara terbaik untuk mengelak mata rosak hendaklah mengamalkan peraturan 20/20/20, menggunakan “filter” sinaran lampu biru, untuk elak rasa tidak selesa titiskan pelembap mata jika merasa mata kering, menjaga pencahayaan semasa bermain dan juga boleh melakukan senaman ringkas pada mata semasa rehat. Di sini ada beberapa teknik senaman mata yang boleh dilakukan.
KEBAIKAN TEKNIK SENAMAN MATA
- Senaman mata dapat membantu menguatkan lagi otot-otot mata secara langsungnya akan membantu meningkatkan daya fokus dan penglihatan
TEKNIK 1-KERDIPAN MATA
- Latihan kerdipan mata – untuk mengurangkan keletihan mata
- Apa yang anda perlu lakukan?
- menutup mata rapat selama 3-4 saat.
- Seterusnya buka mata anda selama 3-4 saat semula.
- Ulang latihan ini selama 7-8 kali setiap kali anda mengalami keletihan mata ketika menggunakan komputer.
TEKNIK 2- TEKNIK ANGKA LAPAN
- Bayangkan terdapat nombor lapan gergasi pada jarak 3m di hadapan kita
- Secara perlahan-lahan, cuba anda ikuti lakaran bayangan angka lapan tersebut
- Lakukan latihan ini pada satu arah untuk beberapa mini (3-5minit) sebelum menukar kepada arah yang bertentangan untuk beberapa minit (3-5minit) juga.
TEKNIK 3- ‘PALMING’
- ‘Palming’- teknik menekup mata :Pastikan anda duduk dengan selesa di hadapan meja dengan siku di atas meja
- Letakkan tengah tapak tangan anda menutupi mata sepenuhnya,
- Pastikan mata anda dapat berkedip tanpa gangguan dan halangan di bawah telapak tangan serta tidak menekan mata dengan kuat.
- Biarkan dalam keadaan begini untuk beberapa minit (3-5 minit).
Teknik 4: Penumpuan dekat dan jauh
- Pegang objek pada jarak 10cm
- Pandang objek selama 2-3 saat
- Alihkan pandangan pada objek 6m di hadapan
- Ulang latihan ini sekurang-kurangnya 10 kali
TEKNIK 5- ZOOMING
- Regangkan tangan sejauh yang boleh dengan tangan digenggam dan ibu jari
- Tumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibu jari
- Bawa ibu jari anda secara perlahan-lahan menghampiri mata
- Perlahan-lahan gerakkan tangan anda menjauhi mata anda sejauh yang mungkin dan tangan meregang ke sisi.
“Khimar Bukan Sekadar Busana Patuh Syariah, Malah Selesa Digunakan Ketika Solat..” – Maryam Younarae
Personaliti media sosial, Maryam Younarae yang juga isteri kepada pempengaruh media sosial ‘Durian Kimchi’, Ryzal Ibrahim berniat untuk terus mempraktikkan pemakaian khimar di Malaysia seperti mana yang menjadi persalinan kebiasaan kebanyakan wanita di negara Timur Tengah.
Menurut Maryam, pemakaian khimar ini boleh memberikan keselesaan buat para wanita melakukan aktiviti harian dan pada masa sama memudahkan urusan ketika solat.
Katanya lagi, penggunaan kualiti kain daripada Korea Selatan juga nyata memberikan keselesaan buat si pemakai.
Khimar Lebih Selesa Dan Praktikal Berbanding Telekung
“Saya buat khimar ini untuk kegunaan seharian atau ketika berjalan-jalan. Boleh juga digunakan sewaktu solat.
“Memakai telekung untuk aktiviti harian mungkin agak tak sesuai kerana ia labuh dan kainnya tebal, tapi khimar ini sangat selesa.
“Bagi orang yang tak tahu mengenai khimar terutamanya ahli keluarga dan rakan-rakan saya, mereka tertanya-tanya saya tak panas ke? Selesa ke?
“Jadi, saya mahu mereka cuba sendiri. Oleh itu, saya sudah merancang untuk mewakafkan khimar ini di masjid-masjid di Malaysia dan Korea Selatan,” katanya.
Maryam berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran Khimar MaryamNarae by Maryam You Narae bertempat di Lola by SeraiGroup KLGCC.
Terkilan Khimar Masih Belum Terkenal Di Korea!
Bagaimanapun, pelakon filem Mat Tudung Begins ini akui agak terkilan apabila pemakaian khimar masih belum boleh diterima ramai lebih-lebih lagi di negara kelahirannya, Korea Selatan.
“Pada Oktober lalu, saya balik ke Korea. Saya ada berkongsi video memakai khimar ketika ke pasar. Video tersebut telah viral dan menerima 12 juta tontonan.
“Orang-orang di Korea melihat saya dalam keadan pelik. Sebagai manusia, saya juga ada perasaan takut dan tertanya-tanya apa yang mereka fikirkan.
“Buat pertama kalinya, saya mengeluh kepada Allah. Kalau nak saya memeluk Islam, kenapa lahirkan saya sebagai orang Korea dan bukannya orang Malaysia? Kenapa beri saya situasi susah?,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, hal tersebut tidak sesekali melunturkan semangatya untuk berkongsi tentang keindahan Islam.
“Kemudian saya dapat jawapan. Kerana saya orang Korea Selatan dan seorang muslim, jadi, lebih mudah untuk saya mendekati mereka dan berkongsi tentang Islam.
“Saya akan terus tunjukkan perkara yang baik-baik. Sama seperti suami saya, Ryzal. Ketika dia membawa saya memeluk Islam, dia tak pernah paksa saya buat itu ini tapi dia menunjukkan contoh.
“Bila sudah terbiasa, saya pula ada keinginan untuk belajar sendiri. Setiap perkara yang berlaku ada prosesnya. Kita tak boleh terus berubah 360 darjah,” ulasnya lagi.
Bisnes Pakaian Muslimah Tanda Hargai Nikmat Rezeki Allah!
Pada masa sama, Maryam turut memaklumkan dia memulakan bisnes pakaian muslimah ini sebagai tanda untuk menghargai nikmat rezeki yang telah dikurniakan Allah.
“Ramai tahu saya peroleh rezeki yang melimpah ruah daripada Allah SWT. Ada orang bila dapat rezeki, mereka hanya berterima kasih tapi tak buat apa-apa.
“Bila dapat rezeki, kita kena memanfaatkan pemberian itu. Allah nak kita memanjangkannya untuk perkara yang baik. Ini cara saya saya memanfaatkan rezeki,” akhirinya.
Untuk rekod, Maryam You Narae merupakan wanita asal Ansan, Gyeonggi-do, Korea Selatan sebelum berkahwin dengan pempengaruh media sosial asal Malaysia, Nik Muhammad Rizal dan popular dengan Youtube ‘Durian Kimchi’, Maryam hanyalah seorang wanita biasa yang mengusahakan kedai menjual kuih walnut bersama ibunya.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber Foto: Instagram Maryamyunrrr
Berhijrah Ke UAE, Penampilan Sasha Saidin Sambut Ramadan Bersama Suami & Anak Lelaki Jadi Perhatian!
Lama tak dengar khabar Sasha Saidin. Sejak berkahwin dengan jejaka kelahiran Pulau Pinang pada Januari 2020, penyanyi cantik ini tidak lagi aktif dalam dunia seni dan memberi lebih tumpuan kepada keluarga tersayang. Apatah lagi, Sasha kini menetap di luar negara.
Aktif berkongsi aktiviti harian dan perkembangan keluarga di media sosial, Sasha atau nama sebenarnya Sasha Mohd Saidin kian bahagia di samping anak dan suami tercinta.
Sebaik kembali bergelar isteri selepas lapan tahun menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal, Sasha yang sah bergelar suri hati Sirhan Wahab memutuskan untuk berhijrah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mengikuti suaminya bertugas dalam sektor kewangan di sana.
Berdasarkan posting di Instagram, kakak Zain Saidin ini berkongsi suasana Ramadan di Dubai dan kelihatan anggun berseri-seri tatkala mengenakan hijab.
Bukan hanya penampilan Sasha menjadi perhatian peminat bahkan anak lelakinya iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono atau mesra disapa Arya juga menarik tumpuan ramai kerana makin kacak dan tinggi lampai.
Ibu berusia 46 tahun ini turut berkesempatan berkongsi momen menunaikan solat tarawih bersama anak tersayang pada 1 Ramadan lalu. Walau bakal menghampiri usia 50 tahun namun pesona dan wajah cantik Sasha dikagumi peminat.
Malah ada yang berpandangan penampilan Sasha tidak ubah seperti zaman anak dara dan kekal awet muda!
Jelitawan ini pernah berkahwin dengan Johan Abdullah Skinner pada tahun 2003 namun berpisah selepas empat tahun mendirikan rumah tangga. Sasha kemudian bernikah dengan jejaka Indonesia iaitu Salyo Priyanto pada tahun 2007.
Bagaimana pun rumah tangga yang dibina tidak bertahan lama dan bercerai pada tahun 2012.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama Adam Aryasenna Notosoemarsono yang berusia 14 tahun.