Memiliki seraut wajah yang lembut dan ditambah pula dengan personaliti yang menarik membuat gadis nan satu ini mudah didekati. Bukan sahaja dilahirkan cantik malah bijak mengatur bicara dan menyuarakan buah fikiran sarat dengan misi dan visi hidupnya pada masa hadapan.
YM Tunku Hanis YM Tunku Salman bukan suatu nama yang asing di persada industri seni tanah air. Lebih 10 tahun bergelar anak seni, Tunku Hanis berjaya meletakkan dirinya dalam kelasnya yang tersendiri.
Tidak ramai yang mengetahui Tunku Hanis mempunyai darah kerabat diraja namun gadis yang mudah mesra ini sentiasa merendah diri. Bagi Tunku Hanis gelaran kerabat yang disandangnya itu bukan suatu yang luar biasa, beliau tetap menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
“Cuma kadangkala saya diberikan sedikit kelebihan dan sering mendapat layanan istimewa. Pun begitu, berstatus kerabat atau tidak, kita semua manusia yang sama. Meskipun saya berdarah kerabat namun hati saya sama seperti orang lain.
Ketika diajukan tentang salasilah keturunan diraja, tutur Tunku Hanis lembut, “Bapa saya berketurunan kerabat Negeri Sembilan. Saya merupakan cicit kepada Yamtuan Antah. Ayahanda saya merupakan cucu kepada Yamtuan Antah, Yang Dipertua Negeri Sembilan yang berasal dari Seri Menanti,” ungkapnya yang turut mempunyai darah Arab, Pakistan dan Baba Nyonya ini.
Sama seperti gadis lain rutin menjaga kecantikan menjadi kewajipan buat Tunku Hanis. Terang gadis yang aktif dalam sukan sejak zaman persekolahan ini, aktiviti luar banyak mempengaruhi rejim kecantikan dirinya. “Kalau hendak tahu kulit saya dahulu agak gelap kerana sering terdedah kepada cahaya matahari akibat aktif bersukan.
Saya sering diejek rakan-rakan kerana memiliki kulit yang sangat gelap. Ketika itu saya rasa rendah diri dan malu untuk bergaul dengan orang ramai. Kemudian saya nekad mahu mengubah diri untuk berubah.
Ketika cuti sekolah hujung tahun saya keluar sendiri tanpa ditemani sesiapa mencari krim yang melindungi kulit. Apabila cuti penggal telah berakhir dan saya memulakan sesi persekolahan ramai yang tidak mengenali diri saya kerana perubahan drastik itu.
Kini saya bersyukur kerana tidak mempunyai sebarang masalah kulit dan terus memastikan saya melakukan rutin penjagaan kulit wajah seperti membersihkan kulit, sapu penyegar dan pelembap.
Produk yang menjadi pilihan saya adalah mampu membantu melembapkan kulit secara efektif agar kulit lebih lembut dan bermaya. Malah dapat melindungi kulit daripada sinaran UVA dan UVB agar wajah tampil cerah berseri,” terang Tunku Hanis panjang lebar.
This website uses cookies.