Ramai yang beranggapan stres yang dialami adalah sesuatu yang lumrah. Namun jika dibiarkan ia boleh bertukar menjadi masalah kemurungan. Kajian menyatakan wanita berisiko dua kali ganda berbanding lelaki untuk diserang kemurungan. Tahukah anda, ramai sebenarnya yang mengalami kemurungan namun tidak mengetahuinya. Maka pentingnya peka terhadap gejala-gejala berikut yang boleh mengakibatkan kemurungan.
MUDAH ATAU SUKAR UNTUK MENANGIS
Menangis adalah cara seseorang mengungkapkan kesedihan. Menurut kajian, seseorang yang mudah menangis tanpa sebab yang jelas menunjukkan adanya masalah kemurungan. Ada juga yang sukar menunjukkan kemurungannya dengan tangisan walaupun sedang merasai kesedihan.
MUDAH MARAH
Pernahkah anda berhadapan dengan seseorang yang mudah melenting? Menurut kajian perasaan mudah marah adalah salah satu tanda-tanda kemurungan. Masalah kemurungan mempengaruhi minda seseorang dan boleh mendorong ke arah negatif dalam berbagai situasi serta hubungan.
SUKAR TIDUR
Masalah sukar tidur juga dipercayai antara salah satu daripada masalah kemurungan. Seseorang yang sedang berjuang melawan kemurungan cenderung untuk mengalami mimpi-mimpi buruk dan tidak dapat beristirahat sepenuhnya. Rutin tidur juga tidak menentu.
MENCEDERAKAN DIRI SENDIRI
Seseorang yang mengalami kemurungan juga cenderung untuk mencederakan dirinya sendiri. Jika dibiarkan ianya boleh membawa kepada perkara yang lebih buruk seperti bunuh diri. Mereka yang mencederakan diri sendiri adalah perilaku yang disengajakan untuk menghilangkan tekanan emosi.
MENJAUHKAN DIRI DARI PERGAULAN
Seseorang yang mengalami kemurungan seringkali mengelakkan dirinya daripada bersosial serta lebih suka menyendiri berbanding untuk berkomunikasi dengan orang lain. Jika sebelum ini seseorang itu gemar bersosial contohnya rajin menghadiri sebarang majlis, berlibur dan sebagainya namun tiba-tiba merasa ia membosankan. Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Kenal pasti dengan segera agar tidak terlambat.