Keputusan Zhang Zetian untuk berkahwin dengan Pengasas dan CEO syarikat e-dagang kedua terbesar China iaitu JD.com, Liu Qiangdong nyata membawa tuah kepada jelitawan berusia 26 tahun ini. Liu yang merupakan senior Zhang berusia 19 tahun lebih tua daripadanya mengambil keputusan untuk menjadi suami isteri pada Ogos 2015 dan dikurniakan seorang anak perempuan pada Mac 2016.
Beberapa bulan selepas menimang cahaya mata sulung, pasangan billionaire ini sepakat mengembangkan kekayaan mereka dengan membuat pelaburan ke sebuah syarikat formula makanan bayi di Australia atau dikenali sebagai Bubs Australia. Ia sekaligus menambah pendapatan Zhang dan Liu dalam bidang pelaburan selain turut dikhabarkan memiliki syer dalam Uber China.
Zhang Zetian yang juga dikenali sebagai Nancy… mula mencipta nama menerusi platform media sosial apabila gambar wajah polosnya sambil memegang minuman teh menjadi viral di China pada tahun 2009. Ekoran fenomena itu, Zhang diberi nama jolokan ‘Milk Tea Sister’ dan kemudian menghiasi video kempen promosi Youth Olympics di Nanjing pada tahun 2014. Bagaimanapun, Zhang menolak tawaran pengarah terkenal China, Zhang Yimou untuk menjadi pelakon.
Meskipun meraih populariti sebagai selebriti media sosial namun Zhang tetap mengutamakan pelajaran dan sambung belajar di Tsinghua University seterusnya terpilih dalam pertukaran pelajar ke New York’s Barnand College selama setahun.
Sebelum menjadi isteri kepada lelaki ke-16 terkaya di China tersebut, Zhang sudah pun memiliki kemewahan sendiri apabila dia berjaya membeli penthouse mewah tiga tingkat di Stamford Residences bernilai USD16.2 juta pada April 2015 iaitu enam bulan sebelum berkahwin dengan Liu. Bagaimanapun hari ini namanya kembali jadi bualan apabila penjualan balik kediaman elit itu merugikan dengan hanya bernilai USD13.5 juta.
Zhang yang aktif mempromosikan perusahaan JD.com selain terlibat dengan aktiviti kebajikan bersama Bill Gates, dinobatkan sebagai bilionair wanita termuda di China dari majalah bisnes terulung, New Fortune ketika usianya baru mencecah 24 tahun. JD.com adalah syarikat e-dagang terkenal di China dan merupakan pesaing hebat Alibaba. Pada tahun 2016, JD.com mempunyai lebih daripada 236 juta akaun pelanggan aktif.
Sumber: Evening Standard
This website uses cookies.