Gaya Hidup

Wanita Cantik Tak Selalunya BERTUAH DALAM PERCINTAAN, Ini Rahsia ‘Turn On’ Lelaki Yang Mungkin Tak Diketahui

Ladies, belum tentu yang berwajah persis selebriti, bertubuh molek dan bijak bergaya akan mudah mendapatkan pasangan.

Kebanyakan yang dikategorikan berwajah biasa mudah pula mendapatkan dan memiliki pasangan yang hampir sempurna. Pasti ada rahsia di sebalik semua ini yang perlu anda ketahui.

Memang benar wajah cantik dan tubuh mengiurkan dapat memikat lelaki dalam sekelip  mata tetapi jika mahu mencari pasangan hidup, bermodalkan penampilan saja tidak cukup.

(a) SENANG DIAJAK BERBUAL

Selain faktor fizikal, sikap ini penting yang diperhatikan oleh lelaki dalam memilih pasangannya. Tentunya sang lelaki berasa lebih selesa jika pasangan atau kekasihnya tiada masalah untuk berbual berbanding wanita yang tidak banyak cakap.

Akan tetapi bukanlah bererti wanita tersebut kurang bijak, hanya sering kali berbeza minat dalam perbincangan atau wanita itu pemalu dan pendiam. Di keadaan ini, wanita perlu pandai membaca situasi, sehingga pasangan yang diidamkan akan lebih tertarik dan berbincang mengenai topik yang sama.

Bagi yang pendiam dan pemalu, cubalah mulakan perbualan dengan topik yang hangat atau apa saja hingga si lelaki turut berminat menyambung perbualan.

(b) AGAMA

Tidak dinafikan, wanita berpengetahuan agama merupakan antara ciri yang lelaki mahu ada pada bakal isteri. Walau lelaki itu tidak sempurna agamanya namun ketenangan batinnya diutamakan apabila wanita itu tidak bertentangan pendapat mengenai agama yang dianuti.

Perkongsian bersama untuk mendalami serta memberi tunjuk ajar mengenai agama akan menjadi antara kunci kebahagiaan pada kehidupan yang lebih bermakna.

(c) TIDAK LEBIH GAYA

Wanita tidak perlu memiliki tubuh persis model. Namun bila wanita itu menjaga kebersihan diri serta mempunyai rasa fesyen yang baik dalam soal mix and match, lelaki akan tertarik melihatnya.

Akan tetapi wanita perlu menjaga agar selera berfesyen tidak berlebihan dan menjadi mangsa fesyen. Ini tandanya, anda hanya mahu lelaki menilai keperibadian anda melalui penampilan luaran saja.

Sebenarnya, lelaki selesa berdampingan dengan wanita yang mempunyai kecantikan daripada dalam dan diperkemaskan dengan penampilan yang bersederhana namun menawan.

(d) BANYAK LAWAK, KURANG MENGELUH

Wanita yang boleh membuat lelaki ketawa dan juga boleh tertawa dengan jenaka lelaki adalah perkara yang sangat menyenangkan. Wanita dengan selera humor tinggi biasanya akan lebih santai serta tidak mudah untuk tersinggung.

Hal ini perlu diperhatikan oleh kaum wanita yang merasa sukar untuk mendekati lelaki. Kaum lelaki senang untuk bergurau hingga menyentuh yang remeh. Perangai lain yang disukai lelaki pada wanita ialah kurang mengeluh.

Dengan perkembangan media sosial, wanita lebih mudah meluahkan perasaan di media sosial. Akan tetapi wanita yang suka mengeluh menerusi media sosial kelihatan menjengkelkan.

Jika perkara ini berlaku sekali dua mungkin tidak mengapa. Namun jika dalam sehari, status bertukar ganti banyak perkara negatif, mungkin inilah yang menyebabkan lelaki menjadi tidak ‘berminat’ untuk mengenali diri anda.

(e) KEYAKINAN

Lelaki adalah pemimpin dalam kehidupan berumah tangga namun bukan bererti sebagai wanita harus mengikut saja dan tidak memiliki kebebasan untuk bersuara.

Lelaki juga berbangga dengan wanita yang percaya diri dan boleh mengendalikan sebarang situasi serta berdikari. Cuma situasi ini akan memerlukan kudratnya sebagai lelaki untuk menjadi pembimbing bagi wanita seperti ini.

Pun begitu, lelaki juga suka melihat wanita yang memegang kawalan dan tak hanya menurut saja menerima perlakuan dan perintah orang lain, baik di lingkungan pergaulan mahupun di tempat kerja

(f) BIJAK TAPI TAK PERLU TERLALU PINTAR

Semestinya lelaki menyenangi wanita jenis yang bijak dan berwawasan. Tetapi harus berwaspada kerana jika lelaki merasa wanita terlebih tahu dan ‘lebih’ segala-galanya daripada mereka, lelaki cenderung untuk ‘angkat kaki’.

Kebiasaannya lelaki lebih suka jika mereka kelihatan pintar dan berwibawa. Mungkin anda sebagai wanita harus lebih hati-hati dalam bertindak dan fikirkanlah perasaan lawan bicara anda terutamanya lelaki.

(g) KEIBUAN

Suka atau tidak suka, lelaki akan bertanya pada dirinya sendiri apakah bakal isteri akan menjadi ibu yang baik untuk anak-anaknya? Dalam soal ini anda tidak perlu berpura-pura.

Cukup menjadi diri sendiri dan tunjukkanlah sifat keibuan. Dengan memberikan perhatian kepadanya, naluri lelaki tahu bahawa wanita yang prihatin, boleh menjaga orang-orang terdekatnya dengan baik. Secara automatik berpotensi menjadi isteri dan ibu yang baik. KR

IKLAN
Share