
Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyeru wanita yang mengalami diskriminasi gender di tempat kerja untuk bersuara dan berkongsi kisah-kisah mereka. Melancarkan kempen ‘Wanita Tersisih’ (Invisible Women) baru-baru ini sebagai landasan untuk memperluaskan suara wanita yang mengalami diskriminasi gender, kaum hawa boleh berkongsi kisah mereka secara anonim jika mahu melalui laman web kempen, invisiblewomen.com.my.
Tinjauan WAO menunjukkan 40% wanita hamil mengalami diskriminasi di tempat kerja. Justeru, gambaran di sebalik statistik tersebut didedahkan bagi menunjukkan impak ketara diskriminasi gender terhadap kehidupan wanita.
“Kempen ‘Wanita Tersisih’ ini menunjukkan betapa kerapnya masalah yang dialami oleh golongan wanita disisihkan di tempat kerja,” kata Iska Hashim, Pengarah Kreatif Kumpulan Leo Burnett, rakan kreatif kempen tersebut.
Bersama-sama dengan Ketua Reka Bentuk, James Seet, Hashim menerajui pasukan kreatif yang teruja untuk menyumbang terhadap isu ini.
“Wanita sering disoal ketika temu duga kerja, sama ada mereka merancang untuk mempunyai anak, malah bagi golongan wanita yang hamil pula berpotensi disisihkan di tempat kerja. Jika wanita tersebut berhenti kerja sementara untuk membesarkan anak-anak, mereka akan mengalami kesukaran untuk memasuki semula pasaran kerja,” jelas pengarah seni Leo Burnett, Lee Shyyi.
Pada masa ini, tidak ada undang-undang spesifik yang melarang diskriminasi gender dalam sektor swasta. Matlamat utamanya adalah untuk menyokong Akta Kesamarataan Gender yang akan melindungi daripada diskriminasi gender. Untuk merealisasikan hasrat ini, input dan sokongan orang ramai perlu untuk menyokong tindakan ini.
Reputasi Diri, Suami & Keluarga Terjejas Gara-Gara Fitnah, LINDA RAFAR Fail Saman Lebih 100 Netizen!

Bak kata pepatah, ‘Kerana Mulut Badan Binasa’… itu perumpamaan yang tepat digambarkan kepada lebih 100 pengguna laman sosial yang bakal berdepan kes saman. Semua ini gara-gara komen dan mesej berunsur ugutan dan fitnah yang dilemparkan netizen terhadap Linda Rafar susulan kes dirinya dan jururawat di sebuah hospital kerajaan di Selangor yang tular sekitar Disember lalu.
Meskipun ibu tercinta, Rasimah Abdul Rahman sudah kembali ke rahmatullah pada 11 Januari lalu namun pelbagai spekulasi terhadap Linda Rafar masih berlarutan sehingga ke hari ini. Dek kerana enggan maruah diri, suami dan keluarga menjadi bahan bualan dan diperlekehkan… penyanyi ini lantas mendapatkan khidmat peguam untuk membersihkan kembali namanya.

Menerusi sidang media yang berlangsung hari ini, Linda menjelaskan, “Saya memerlukan pihak lawyer untuk bantu. Saya tak bersalah dan tak menabur fitnah kepada sesiapa pun. Cerita yang diada-adakan itu juga tidak logik. Dengan ini saya terpaksa adakan sidang media untuk mereka (lawyer) jelaskan kepada masyarakat.
Kisah ini berlaku semasa mak sakit di hospital di Shah Alam. Apa yang berlaku adalah dugaan yang besar dan ketika itu saya tak ada memfitnah sesiapa pun. Ia adalah naluri seorang anak yang memperjuangkan hak seorang anak kepada ibu yang tengah kritikal. Apa yang dikesalkan, fitnah daripada orang yang tak tahu cerita di sebalik kejadian itu telah mengaibkan saya dan ahli keluarga.”
Akuinya lagi yang turut ditemani barisan peguam dari Nurul Hafidzah & Associates pada sidang media tersebut, “Sejak kejadian itu saya tak mampu berdepan masyarakat, tak mampu bekerja dan tak tahu macam mana nak menjelaskan kepada orang yang memandang serong terhadap kami sampaikan ia turut mengaibkan arwah mak saya.

Ia memang memberi kesan yang besar kepada diri saya sendiri. Jujurnya, saya tak boleh buat kerja dan tak boleh nak jumpa dengan orang. Sebelum arwah mak sakit lagi memang dia sentiasa ada dengan saya. Kami memang rapat dan saya tak dapat lawan perasaan bila lihat mak tak dilayan sempurna.”
Walau berdepan situasi yang menjejaskan nama baik dia dan keluarga, namun Linda atau nama sebenarnya Azlinda Rafar tetap bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan orang sekeliling. “Kekuatan saya datang dari ahli keluarga, kakak dan suami yang banyak beri kata-kata semangat untuk saya teruskan hidup. Banyak dugaan yang pernah saya lalui. Salah satunya kehilangan anak syurga, Rezaimen Keiflin. Saya ambil masa setahun dua untuk recovered dan kembali ceria. Kali ini, saya diduga lagi dengan kehilangan mak pula. Tapi alhamdulillah saya dapat kekuatan dari orang sekeliling dan peminat.”
Berhubung kes saman yang difailkan Linda, kata penyanyi kumpulan Elite ini lagi ia melibatkan kelompok pengguna laman sosial yang mengeluarkan komen negatif dan bukan kumpulan jururawat di hospital tempat ibunya mendapatkan rawatan.
“Saya mencari komen yang betul-betul mengaibkan saya dan keluarga. Salah satunya ada yang tulis, ‘Banned keluarga Linda daripada masuk hospital kerajaan’. Itu antara mereka yang bakal berdepan surat saman kelak. Daripada 10 ribu komen yang ada di Instagram saya tu, lebih 100 orang yang terlibat dan pihak kami masih menyiasat sampai sekarang.
Ia satu perkara yang serius sebab bukan je impak kepada saya tapi kepada suami dan adik-beradik lain. Bayangkan bagaimana nak berdepan dengan rakan sekerja, peminat dan orang ramai yang bertanyakan macam-macam persoalan kepada kami.”
Moga insiden yang berlaku ini dapat dijadikan iktibar buat semua agar lebih berhati-hati ketika mengeluarkan pendapat tentang sesuatu perkara meskipun hanya menerusi media sosial. Seelok-eloknya biarlah perkara ini dapat diselesaikan di luar mahkamah dan tidak terus berpanjangan hingga boleh menjatuhkan reputasi mana-mana pihak.
Foto kredit: Instagram Linda Rafar
Piala Dunia Qatar Medan Sebarkan Dakwah, Ramai Peminat Bola Sepak Sudah Peluk Islam Sejak Penganjurannya

Baru-baru ini, beberapa buah video tersebar di media sosial menunjukkan beberapa penyokong bola sepak yang berada di Qatar bagi menyaksikan Piala Dunia memeluk agama Islam dengan mengucapkan dua kalimah shahadah. Menurut beberapa ciapan di akaun Twitter, lebih 500 penyokong memeluk agama Islam sejak kejohanan itu bermula minggu lalu.
Menerusi sumber Harian Metro, walaupun jumlah itu tidak disahkan, yang pastinya memang benar terdapat individu atau keluarga yang bukan Islam mengucapkan dua kalimah shahadah. Dengan tanpa sebarang liputan media, ramai yang berkongsi detik mereka memeluk agama Islam di media sosial.
Dalam satu video yang tersebar menunjukkan seorang penyokong Mexico memeluk Islam disaksikan pendakwah Hayyan Al-Yafei di Katara Cultural Village. Dalam video lain oleh Al Jazeera dalam Twitter menunjukkan sekeluarga dari Brazil memeluk Islam di tempat yang sama.
Penyokong dan seluruh anggota keluarga terbabit tersenyum ketika mereka mengungkapkan kalimah shahadah di hadapan Al-Yafei. Mereka kemudiannya berpelukan sesama sendiri dan bersyukur sejurus selepas berbuat demikian.
Pusat Dakwah ditubuhkan untuk menjelaskan kepada pelawat asing selain mengedarkan risalah kepada mereka. Qatar turut memasang papan tanda besar atau banting berunsurkan Islam termasuk hadis mengenai adab menerima tetamu.
Pihak hotel turut menyediakan kod QR bagi membolehkan pengunjung mengimbas dan seterusnya mengetahui lebih lanjut mengenai Islam dalam pelbagai bahasa di telefon bimbit mereka.
Selain itu, menurut sumber FB Dr Muhammad Salah, berkongsi kisah seorang Jemaah yang bercerita tentang surau kaca lutsinar yang membolehkan golongan bukan Muslim melihat orang mengerjakan solat.
“Selepas saya selesai solat Isyak di Stadium Al-Bayt, saya ternampak ada warga asing berdiri memerhati jemaah bersolat sebelum menegur saya dan bertanya;
Berapa kali sehari kamu melakukan perkara (solat) ini? Saya jawab, lima kali dan wajib. Jika lebih, bertambah pahala.
Bila waktu perlu solat? Saya jawab, ia tidak mempunyai waktu yang tetap tetapi berpandukan pergerakan matahari.
Macam mana? Saya membuka aplikasi waktu solat dan menerangkan bahawa dalam beberapa hari, waktu solat akan berubah-ubah selain menjelaskan tentang waktu setiap solat.
Dia meluahkan rasa kagum dan terkejut sebelum berkata, “Maaf, boleh tak saya buka kamera dan kamu ulang semula apa yang diterangkan tadi?”
Ya Allah! Muliakanlah Islam & umatnya di mana sahaja ❤️”
Semoga agama Islam terus diangkat di seluruh dunia.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Nak Tahu Kenapa Pahala Amalan Digandakan Di Bulan Ramadan? Ini Sebabnya

Sepuluh malam terakhir Ramadan bakal tiba ke penghujung tidak berapa hari sahaja lagi dan pecutan untuk mengutip segala ganjaran pahala yang disediakan dari awal hingga akhir bulan mulia ini sepatutnya semakin hebat.
Apatah lagi, ketika ini hadiah cepu emas sedang menanti mereka yang bersungguh-sungguh mendapatkannya, iaitu malam lebih baik daripada 1,000 bulan seperti difirmankan Allah SWT dalam surah al-Qadar. Dalam keadaan setiap lapisan masyarakat masib tertakluk Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, sudah semestinya lebih banyak masa dapat diluangkan untuk mengerjakan amalan sunat yang amat dituntut seperti membaca Al-Quran, mengerjakan solat sunat dan sebagainya.
Firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr; Dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr itu lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Al-Qadr: 1-5)
Sebagai hambaNya, sudah tentu kita tidak mahu termasuk dalam golongan yang rugi, iaitu tidak melakukan sebaik mungkin bagi mendapatkan pahala berlipat ganda dan kurniaan lain disediakan Allah SWT, khususnya malam yang menyamai 1,000 bulan.
Simbolik Ramadan ditutup pintu neraka dan dibuka pintu syurga menunjukkan mudahnya untuk masuk syurga serta susahnya ke neraka kerana pintunya ditutup. Sesuai sebagai bulan kebaikan, sepatutnya kita melakukan amalan baik sepanjang bulan puasa ini.
Memetik persoalan yang diajukan di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kenapakah bulan Ramadan pahala amalan digandakan lebih banyak, tidak sama seperti di bulan-bulan yang lain? Ini jawapan terhadap persoalan yang diajukan.
Sesungguhnya Allah SWT memberikan pahala kepada hamba-hambaNya yang melakukan amal soleh mengikut kehendakNya tanpa terikat kepada apa-apa peraturan. Allah SWT berfirman:
وَلِلَّـهِ غَيْبُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَإِلَيْهِ يُرْجَعُ الْأَمْرُ كُلُّهُ فَاعْبُدْهُ وَتَوَكَّلْ عَلَيْهِ ۚ وَمَا رَبُّكَ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
(Surah Hud: 123)
Imam al-Tabari dalam menafsirkan ayat menyebutkan bahawa hanya kepada Allah SWT jualah setiap amalan yang dilakukan oleh setiap mereka yang melakukan amalan. Dia-lah yang akan memberikan ganjaran kesemua manusia berdasarkan amalan-amalan mereka mengikut kehendakNya. (Rujuk Tafsir al-Tabari, 1:235)
Allah SWT melipatgandakan pahala berdasarkan beberapa sebab antaranya disebabkan oleh kelebihan dan kemuliaan yang diberikanNya kepada beberapa perkara. Kemuliaan tersebut ialah seperti:
- Kemuliaan dari sudut tempat seseorang itu melakukan amal ibadat. Ini seperti melakukan ibadah di Masjidil Haram di Mekah dan Masjid al-Nabawi di Madinah akan mendapat ganjaran yang lebih besar berbanding solat di masjid-masjid yang lain. Ia berdasarkan hadith sahih, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
صَلاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلاةٍ فِيمَا سِوَاهُ؛ إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ
Maksudnya: Solat di masjid aku ini (Masjid al-Nabawi) adalah lebih baik daripada seribu solat di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram.
Riwayat al-Bukhari (1133)
- Kemuliaan dari sudut masa sesuatu amalan itu dilakukan. Ini seperti kemuliaan melakukan amal ibadat di bulan-bulan yang dimuliakan Allah SWT terutamanya di bulan Ramadhan. Contohnya ialah pahala mengerjakan umrah di bulan Ramadhan sama pahala ganjaran mengerjakan haji. Ini berdasarkan hadith sahih bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita Ansar:
فَإِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فَاعْتَمِرِي ، فَإِنَّ عُمْرَةً فِيهِ تَعْدِلُ حَجَّةً
Maksudnya: Sekiranya telah tiba bulan Ramadhan, maka hendaklah kamu mengerjakan umrah. Ini kerana umrah pada bulan tersebut menyamai pahalanya seperti mengerjakan haji. Dalam riwayat Muslim: seperti mengerjakan haji bersama aku (Rasulullah SAW).
Riwayat al-Bukhari (1782) dan Muslim (1256)
- Kemuliaan dari sudut orang yang melaksanakan ibadah dengan ketinggian kedudukannya di sisi Allah SWT dan ketaqwaannya. Contohnya, Allah SWT melebihkan kedudukan umat Nabi Muhammad SAW berbanding umat-umat lain sebelumnya. Setiap amalan yang dilakukan oleh umat Nabi Muhammad SAW akan dilipat-gandakan oleh Allah SWT khusus kepada mereka. (Rujuk Lathaif al-Ma’arif: 209)
Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa kelebihan dan ganjaran yang besar yang ditawarkan oleh Allah SWT di bulan Ramadhan ialah kerana ia bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT. Allah SWT telah memilih bulan Ramadhan untuk beberapa peristiwa besar seperti:
- Peristiwa penurunan al-Quran (nuzul al-Quran)
- Pembukaan kota Mekah (Fath Makkah)
- Pembukaan kota Andalusia
- Disamping itu juga, Alllah SWT telah mengkhususkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan di dalamnya iaitu malam al-Qadr (Lailatul Qadr). Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Maksudnya: Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.
(Surah al-Qadr: 3)
Oleh sebab itu, Allah SWT telah menggandakan amalan yang dilakukan di dalam bulan Ramadan berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih dalam agama dan menganugerahkan kita taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah dengan ikhlas kepadaNya terutamanya di bulan Ramadhan yang mulia ini. Amin.