PRU14 sudah berlangsung selama empat hari. Namun, bahang pilihan raya masih terasa dan pengalaman pilihan raya tahun ini amat berbeza berbanding dengan tahun-tahun yang lain buat wanita ini. Dr. Haliza Zurah Zulkefeli, di antara ratusan rakyat Malaysia yang turut tidak mahu ketinggalan menyaksikan detik bersejarah, Upacara Istiadat Angkat Sumpah Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh dengan mata sendiri.
“Semangat berkobar-kobar dalam diri telah membuat saya secara spontan menghalakan stereng kereta ke Istana Negara sebaik sahaja selepas habis waktu kerja. Saya pergi seorang diri tanpa di temani oleh kawan-kawan mahupun ahli keluarga. Memang lone ranger dan buat kawan dengan orang yang ada di situ dan tumpang streaming live mereka. Masa tu semua bersatu padu dan semua satu bangsa, Malaysia. Aura dia memang serius luar biasa.
Keputusan spontan saya untuk hadir ke Istana Negara semasa Tun Dr. Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh adalah satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Untuk julung-julung kali setelah sekian lama saya dikelilingi oleh rakyat bersemangat patriotisme dan menunjukkan cinta kepada negara. Perasaan yang telah lama pudar kini mekar kembali dengan pelantikan Tun.
Sewaktu Tun mengangkat sumpah, kami menonton secara streaming melalui telefon bimbit dan pada masa yang sama kami menyanyikan lagu Negara ku bagi mengiringi Tun yang sedang berikrar untuk terus berbakti. Lagu Negara ku terasa begitu berbeza pada ketika itu kerana setiap yang hadir menghayati bait-bait lirik lagu. Laungan semangat yang melambangkan patriotisme disahut tanpa lelah oleh setiap yang hadir.
Secara peribadi, saya berbangga dengan pelantikan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai TPM kerana kini jawatan kedua tertinggi negara disandang oleh seorang wanita yang berkaliber. Telah lama saya memasang angan-angan tersebut. Dengan ini saya berharap, lebih ramai wanita akan berkecimpung dalam dunia politik dan seterusnya meningkatkan lagi taraf wanita dalam masyarakat kita,” tutur Dr. Haliza penuh semangat.