Bakat yang mengalir di tubuh wanita yang telah diberi nama Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin ini nyata sekali tidak pernah melekakannya. Kemunculan pelakon, penyanyi dan pengacara ini sering mencuri tumpuan mata yang memandang dan buruan lensa kamera setiap kali muncul tidak kira di malam penganugerahan atau majlis sosial.
Sekian lama berkecimpung dalam bidang seni, wanita ini bijak mengatur stail dan kerjaya. Mempunyai cita rasa tersendiri nyata penampilannya tidak pernah canggung kala bergaya di karpet merah. Ramai yang menggelarkan Fazura sebagai Wanita Melayu Paling Cantik di Malaysia.
Malahan filem dan drama lakonan isteri kepada selebriti Fattah Amin ini memberi impak tersendiri. Tidak pernah serik menaburkan bakti dalam dunia seni, Fazura masih tidak berhenti dengan aktiviti seni. Anugerah dan penghargaan yang telah digondolnya seakan memahat kukuh namanya di persada seni tanahair.
Fazura terlebih dahulu menceburi bidang pengacaraan sebelum terjebak dalam dunia lakonan. Menjadi hos rancangan televisyen Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Teens World yang bersiaran di TV2 disusuli dengan tawaran berlakon datang mencurah. Berjaya meraih anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM17) menerusi filem sulungnya, Bicara Hati ketika usianya baru menginjak 21 tahun.
PELAKON
Bakat pelakon yang berusia 37 tahun ini telah dikesan oleh pelakon veteran terkenal, Datin Rosnani Jamil. Fazura terus mencipta nama apabila membawa pulang Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2010 melalui filem Pisau Cukur. Di FFM27, sekali lagi telah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik melalui filem Manisnya Cinta di Cappadoccia.
Selama 17 tahun bertapak dalam industri hiburan tempatan, Fazura gembira apabila bakatnya telah diiktiraf dan dinilai dengan sewajarnya. āSaya gembira kerana penglibatan saya dihargai dan mahu memberi yang terbaik dalam dunia lakonan. Lebih teruja apabila bakat saya turut diterima baik oleh peminat industri hiburan dari Negara Seberang,” ujarnya ketika ditemu bual Nona untuk edisi Glam & Sukses suatu ketika dahulu.
Pernah digelar Kim Kardashian Malaysia kerana menjadi artis pertama yang mempunyai program realiti televisyen sendiri. Facing Up To Fazura umpama memberi sebuah ruang kepadanya untuk bergelar selebriti antarabangsa lantaran bersiaran di saluran E! Asia (Astro Channel 712). Program realiti ini menjadi titik tolak realiti kehidupan peribadinya apabila buat pertama kalinya berkongsi dengan peminat dengan mendedahkan kehidupan sebenar di sebalik kariernya.
Program ini juga menunjukkan dirinya berani terus berhadapan dengan tanggapan masyarakat. Semua yang dipaparkan dalam program ini adalah realiti dan bukan rekaan. Tambahnya lagi program ini memberi peluang kepada orang lain untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Sambutan yang hebat melalui rating tinggi telah menyebabkan program ini disambung ke musim kedua.
NYANYIAN
Kredibiliti wanita yang bijak berkata-kata ini dalam dunia lakonan tidak perlu dipertikai lagi. Malah Fazura telah mencabar dirinya untuk mengembangkan bakat dalam dunia nyanyian. Muncul dengan single baru bertajuk Bangun, ciptaan Lea Ismail (The Wak Lu). Setelah menyedari bakat nyanyian yang ada dalam diri, Fazura telah merakamkan single sulungnya, Sayangi Dirimu ciptaan komposer Damian Mikhail yang menjadi lagu tema program realitinya.
Rezekinya dalam bidang nyanyian lebih terserlah apabila bekerjasama dengan sebuah kumpulan rock alternative tempatan, Estranged dalam lagu slow rock balada, Hancur Aku membuahkan hasil. Video muzik rasmi kolaborasi mereka telah mencecah lebih 14 juta tontonan di YouTube. Nyata impian sejak kecil untuk bergelar seorang penyanyi sudah berjaya digapainya.
Bakat nyanyiannya terus mendapat perhatian apabila pernah diundang menjadi artis pembukaan konsert F1 di Sepang.
BISNES
Fazura telah mengambil satu langkah ke hadapan dengan menjejak kaki ke dalam dunia perniagaan. Terdahulu pelakon Gol & Gincu ini menceburi perniagaan butik fesyen pakaian, House of Doll. Pernah juga mengeluarkan tiga rangkaian haruman badan di bawah nama Mystical by Fazura. Terbaharu, ibu kepada Nur Fatima Aisya ini telah melahirkan rangkaian produk kecantikan di bawah label Fazura Skincare.
Semangat juang Fazura dalam perniagaan turut mendapat perhatian apabila telah terpilih sebagai The 100 Most Influential Young Entrepreneurs 2016 by Entrepreneur Insight.
Sempat bertanya kepada wanita cantik ini rahsia kulit cantik dan mencipta keyakinan ketika bertemu di sebuah majlis pelancaran produk yang mengangkatnya sebagai duta suatu ketika dahulu. “Rahsia menjaga kulit sihat dan cantik dengan minum banyak air dan juga tidur yang cukup. Selain itu, jangan lupa senaman supaya kita kekal sihat, remaja dan kekal yakin,” tutur Fazura sambil melemparkan senyuman.