Mengupas tentang persoalan perjuangan wanita muda sekarang, Datin Nor Haffiza Husni mempunyai pendapatnya yang tersendiri. “Cabaran sebagai wanita muda sekarang sangat berbeza dengan dahulu. Hidup dalam perubahan teknologi maju dan zaman viral memberi peluang dan ruang untuk wanita muda.
Mereka bertuah kerana sekarang ada banyak peluang terbuka luas di depan mata. Berbeza situ dahulu, saya ingat lagi peluang membina kerjaya hanya boleh diperoleh dengan berhijrah ke bandar-bandar besar.
Tapi, teknologi kini telah ‘mengizinkan’ wanita untuk bekerja dari rumah walau tinggal di kawasan luar bandar. Namun sebagai wanita yang baru kenal erti kehidupan, kita perlu pandai membawa diri dan bijak mencari peluang. Sebenarnya Malaysia sudah stabil dan mudah untuk mencari pekerjaan.
Cuma bergantung juga pada rezeki. Yang penting selalu berusaha dan rajin bekerja,” ujarnya menasihati golongan wanita muda.
Wanita yang berusia 35 tahun ini dilihat pandai membawa diri dengan personaliti yang terbina dalam dirinya. Mencungkil rahsia kejelitaan, tutur Datin Fiza, “Sebenarnya saya tak amalkan apa-apa petua atau tip cantik pun. Cuma mak pernah ajar saya makan putik bunga ros untuk awet muda. Amalan itu saya masih buat sampai sekarang. Seronok menanam sendiri pokok ros dan petik putiknya untuk dijadikan makanan.
Saya tak boleh makan jamu mungkin kerana tidak sesuai dengan tubuh. Hanya ambil sedikit makanan tambahan untuk memelihara kecantikan luar dan dalam.
Saya turut terjebak dengan pengaruh suami yang kuat bersukan dan bersenam. Antara sukan yang kami lakukan bersama adalah mengayuh basikal dan mendaki bukit,” ungkap Datin Fiza, isteri kepada Naib Ketua UMNO Bahagian Rasah merangkap Ketua UMNO Cawangan Kampung Kubang, Datuk Abdul Karim Mustafa ini.
Bercerita tentang sambutan Hari Raya yang berakhir hari ini, jawab beliau segalanya dilakukan secara berpada-pada. “Mengenai persediaan raya, saya aturkan secara sederhana sahaja. Menyediakan kelengkapan raya seperti baju raya dan juadah hari raya biasanya saya sediakan lebih awal.
Mungkin ada keluarga yang gemar memakai baju sedondon sekeluarga pada pagi raya tapi, saya lebih selesa memakai baju daripada tona warna yang sama. Kalau biru mungkin seorang biru cair, seorang biru gelap dan sebagainya,” kata Datin Fiza yang memilih warna merah burgundy dan mustard untuk sambutan Syawalnya.
Umur 33 Jadi Johan Qariah Kebangsaan 2022, Sofizah Mousin Hanya Berlatih Taranum Dalam Kereta!
Manfaatkan waktu memandu dengan mengaji. Inilah rahsia Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022, Sofizah Mousin yang turut merupakan seorang Guru Geografi, isteri dan ibu dalam satu masa.
Alunan bacaan suci Al-Quran bergema di seluruh Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar Johor sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M bermula 12 hingga 17 Jun lalu.
Pada acara final Jumaat lepas, piala Johan Qariah menjadi milik Guru Geografi Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sea, Petaling Jaya iaitu Sofizah Mousin dari Selangor.
Berusia 33 tahun, isteri kepada Ahmad Asrol Saidi itu sering menjadikan sokongan dan kata-kata semangat keluarganya sebagai kekuatan untuk menyertai pertandingan tilawah.
Biarpun kebanyakan peserta lain kebanyakannya muda-muda, namun wanita berkulit putih ini tidak menjadikan usia sebagai faktor halangan.
Sebagai seorang guru, beliau juga berdepan banyak halangan dari segi latihan kerana kekangan masa. Antaranya terpaksa membuat latihan suara sambil memandu.
“Biasanya saya buat latihan taranum dalam kereta, semasa memandu. Saya memang akan buat latihan suara sendiri setiap hari.” Sofizah Mousin
Malah kebetulan pula dua minggu sebelum pertandingan bermula, anaknya mengalami masalah kesihatan. Ini menambah lagi kesukaran beliau membuat persiapan rapi.
Dengan semua kekangan yang dihadapinya, Sofizah Mousin langsung tidak menyangka menjadi Johan Qariah setelah tiga kali menyertai pertandingan ini di peringkat kebangsaan.
Berkat kelunakan taranum, tajwid dan fasahah yang tepat serta ketenangan Sofizah Mousin mengalunkan bacaan berjaya menambat hati juri pertandingan.
Beliau menerima wang tunai RM15,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.
Pengusaha Makanan Mesti Mahir Online, Farrah Adeeba Kongsi Hikmah PKP Untuk Majukan Bisnes Restoran
Perniagaan berasaskan makanan merupakan antara industri paling terjejas sewaktu pandemik COVID-19 menular.
Bersama pengacara selebriti yang juga pengusaha restoran Padangs On Wheel (POW), Farrah Adeeba, Nona mengupas cabaran selepas PKP ini bagi pemilik bisnes seperti beliau.
Farrah Adeeba Mohamed Ashraf, 42, merupakan bekas pengacara TV3 dan kini sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat Masters dalam jurusan undang-undang di UITM.
Perkongsian yang hebat dan benar-benar membuka mata, ayuh sama-sama support bisnes orang kita!
Nona: Hikmah PKP kepada peniaga makanan seperti Farrah? Dari sudut positif, apa yang anda rasa sekarang?
Farrah: Antara hikmah PKP ialah ia memaksa para peniaga bergerak cepat ke hadapan, khususnya melalui sistem online. Walaupun sistem talian sebelum ini sudah wujud, namun dengan kekangan COVID-19, kemahiran sistem talian ‘terpaksa’ dikuasai dengan pantas, baik sistem e-platform sedia ada mahupun sistem dalaman POW.
Banyak kolaborasi baru juga digerakkan. Sebagai contoh bersama rider dan business support group komuniti perniagaan, persatuan dan daerah. Ia juga mewujudkan satu sistem rangkaian lebih tersusun di kalangan ahli masyarakat.
Nona: Ada penambahbaikan atau menu baru yang wujud lepas dibuka semula?
Sepanjang PKP, POW lebih menumpukan kepada menu best seller kerana demand delivery pada ketika itu meningkat melangkaui kawasan Shah Alam, iaitu meliputi Ampang, Cheras, Cyberjaya dan Bangi.
Malah ada yang menempah secara all month long khususnya expatriats di sekitar Lembah Klang.
Restoran kini sudah dibuka sepenuhnya untuk walk-ins dan kini menambahkan beberapa menu baru seperti ayam masak asam, daging berlado (daging dendeng versi lembut), tempe goreng tepung, tauhu bergedil goreng serta pelbagai dessert mampu beli.
Mini katering untuk majlis skala kecil juga sudah mula pick-up selain tempahan delivery, party pack atau katering mini (perkahwinan, pertunangan, ulang tahun, aqiqah).
Nona: Ada pelajaran atau research yang Farrah buat untuk kepentingan bisnes waktu arahan duduk di rumah dulu?
Farrah: PKP adalah satu keadaan yang tidak pernah kita alami dan satu keadaan yang tidak pernah terlintas dek akal fikiran. Keadaan ini melangkaui cabaran krisis kewangan dilalui dunia sebelum ini.
Mana tidaknya, bukan sahaja keadaan ini memberi impak kepada nilai mata wang dan prestasi ekonomi dunia, malah untuk memajukan kembali perniagaan, pergerakan para peniaga turut terjejas. Malah ada sektor perniagaan yang berhadapan dengan zero profit sepanjang PKP.
POW turut terkesan. Bayangkan Ramadan dan Syawal lah musim kami membuat jualan melalui jualan berbuka, bazar Ramadan serta katering.
Namun saya bersyukur POW terdiri daripada pasukan yang mempunyai pelbagai latar belakang ilmu serta pengalaman dalam perniagaan, pengurusan, kewangan, perundangan dan jualan. Pengalaman adalah key dan cukup penting khususnya dalam kita mencari dan mengenal pasti kaedah untuk troubleshoot dalam menangani krisis.
Dalam keadaan sebegini, paling penting ialah setiap orang harus fokus mencari jalan untuk sustain syarikat: baik dari segi mengurus costing, overhead, manpower, negosiasi mengurangkan diskaun atau flexi-payment dengan pelbagai pihak termasuk landlord dan pembekal, kolaborasi, pemasaran tersasar, kaedah atau platform jualan alternatif, target sasaran pelanggan baru dan sebagainya.
Dalam erti kata lain, penyesuaian diri dengan keadaan baru harus pantas dan terancang. Inilah yang banyak saya pelajari sepanjang PKP.
Namun apa yang banyak saya baca melalui penulisan akademik, ialah berkenaan food security yang melibatkan tiga perkara asas: negara harus serius bergerak ke arah kemampuan untuk self-sustain melalui penghasilan supply makanan asas dari dalam negara, menghasilkan bahan mentah yang mampu milik dan akhir sekali mempunyai sistem menyampaikan makanan kepada golongan paling vulnerable dalam masyarakat secara tersusun.
Dari bacaan, Malaysia masih banyak bergantung kepada import. Contoh 30% beras, 70% daging diimport. Malah import daging, didapati, ia didominasikan oleh beberapa syarikat sahaja yang menyebabkan nilai serta harga daging cukup tinggi kerana berlakunya monopoli.
Malaysia harus meningkatkan teknologi tinggi pertanian (seperti smart farming) dan penternakan kerana didapati walaupun negara banyak melabur dari segi latihan, sokongan dan subsidi kepada petani dan penternak, namun kita masih lemah dari segi R&D dalam kedua sektor ini.
Akhirnya kesemua ini ada domino effect dengan harga barangan di pasaran. Kesannya juga terpaksa pembeli tanggung. Apabila berlakunya krisis, ada kebarangkalian harga barangan akan meningkat secara mendadak.
Nona: Cara anda sebagai peniaga mensyukuri rezeki yang Allah SWT bagi?
Farrah: Sebagai umat Islam, kita harus yakin bahawa apa sahaja yang berlaku ada hikmah dan baik untuk kita. Allah juga berjanji akan menambah rezeki seseorang itu apabila dia memberi atau menginfaq kerana Allah. Justeru dalam keadaan seperti sekarang, POW tetap meneruskan aktiviti mingguan bersedekah.
Malah POW memberi subsidi sebanyak 10% – 15% untuk setiap kolaborasi bersama NGO serta orang ramai memberi packed-food kepada asnaf, orang miskin, anak yatim dan front liners. Ini sememangnya polisi yang telah kami aplikasikan sepanjang POW beroperasi sejak 2015.
Satu perkara yang amat saya syukuri, dalam keadaan yang dimana kita lihat banyak syarikat kecil mahupun besar terpaksa memberhentikan operasi, kami masih lagi mampu berdiri dan berkongsi rezeki dengan team. Itu adalah satu nikmat Allah yang jangan sekali-kali kita kufuri.
Nona: Harapan dan impian anda dalam bisnes?
Farrah: Harapan 2020 sebenarnya adalah untuk POW menambah 3 lagi cawangan. Namun dengan keadaan yang berlaku kami terpaksa menukar, menangguh dan menyesuaikan strategi perniagaan.
Namun perancangan untuk menghasilkan produk segera POW sudah berada pada peringkat R&D. Ini akan ditumpukan kepada jualan melalui pengedar dan pasar raya. InsyaAllah doakan agar POW, sebuah syarikat 100% milik Bumiputera, mampu terus kukuh dan berjaya mengembangkan sayap dalam perniagaan F&B.
Nona: Perubahan hidup yang ketara lepas PKP?
Farrah: Paling ketara ialah, PKP memaksa saya dan kita semua slow-down. Pada fasa tersebut, saya dan suami sedar ianya satu fasa yang Allah berikan untuk seketika kepada kami sebagai sebuah keluarga. Setelah hampir 18 tahun mendirikan rumah tangga, kami sudah terbiasa menghabiskan masa apabila ‘ada masa’ dan sentiasa berpegang kepada prinsip make the best of what we have.
Kami berdua terlibat dalam perniagaan. Malah kami juga sudah menjalankan syarikat guaman ‘The Law Practice of Rafique’ bersama yang menumpukan kepada litigasi (sivil dan jenayah) serta korporat sejak 14 tahun lalu.
Kami sepatutnya berpindah ke premis baru sewaktu PKP. Namun segala pengubahsuaian pejabat baru terpaksa ditangguhkan dan bermula kembali dua minggu lepas.
COVID-19 mengizinkan kami sekeluarga, anak-beranak menghabiskan masa sepuas-puasnya bersama.
Namun kini, aktiviti sudah kembali seperti sedia kala. Alhamdulillah Allah izinkan kami menikmati momen tersebut walaupun seketika.
View this post on InstagramA post shared by Farrah Adeeba: TV personality (@farrahadeeba) on
PENGURUSAN MASA
Ditanya tentang pengurusan masa Farrah sepanjang bergelar isteri, ibu dan pengusaha POW, ini jawapan beliau.
“Paling mencabar sekarang, tentunya menguruskan pendidikan anak-anak sehingga ke hujung tahun. Tugasan ini cukup mencabar namun tidak boleh diabaikan.
Ini waktu paling kritikal untuk anak-anak di seluruh dunia. Tidak pernah dalam sejarah sejak merdeka atau Perang Dunia II, anak-anak tidak ke sekolah pada jangka waktu yang begitu panjang.
Minda dan masa anak-anak harus diisi dengan perkara yang berfaedah. Sekira tidak, ia pasti diisi dengan perkara lain. Ini satu isu yang harus kita sebagai ibu bapa ambil perhatian.
Tentang cara menguruskan masa sebagai entrepreneur, POW melantik pengurus dalam menguruskan tugasan harian. Namun segala laporan perbelanjaan, jualan serta isu berbangkit dimaklumkan kepada saya dan rakan kongsi setiap hari. Maka segala isu berbangkit day to day dapat dikenal pasti dan troubleshoot segera.”
Cara Farrah uruskan anak-anak pula? “Anak-anak saya, Muhammad dan Harith sebelum ini semuanya ke sekolah, maka saya akan uruskan tugasan bisnes pada waktu itu. Namun di dalam waktu kini (sekolah ditangguhkan) walaupun mempunyai pembantu, saya jarang sekali meninggalkan mereka bersendirian. Maka kalau ke pejabat, saya akan membawa mereka sekali.
Pengurusan masa terletak di tangan kita. Selalunya lebih banyak boleh diselesaikan apabila kita mempunyai banyak tanggung jawab berbanding waktu kurang tugasan. Pertama ialah mengenal pasti prioriti dan perlu ada time line. Kedua saya gemar menjanjikan diri reward kalau berjaya siapkan tugasan.
Reward pun bukanlah semestinya sesuatu yang luarbiasa. Ia mungkin sekadar keluar beriadah bersama anak-anak, berlari di taman atau minum kopi bersama suami sekiranya tugasan selesai,” akhirinya.
Kekuatan Di Sebalik Senyuman Dr Wan Azizah, Ibu 6 Anak & 6 Cucu!
Nama bekas Timbalan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang prihatin, sentiasa segar di jiwa rakyat. Bicaranya yang lembut dan tersusun rapi membuatkan ahli politik wanita itu amat disenangi ramai.
Ketokohan Dr Wan Azizah, 68 tahun, sebagai pemimpin dan ibu yang cekal membesarkan anak-anak sewaktu suaminya di penjara, cukup menggambarkan kekuatan beliau yang sebenar.
Dengan kudrat dan tenaga yang terhad, beliau berjaya membesarkan Nurul Izzah, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Iman, Nurul Ilham dan Nurul Hana dengan baik.
Hampir sedekad menggalas tanggungjawab suami; Dialah ibu, dialah bapa kepada anak-anak yang ketika itu masih memerlukan didikan, kasih sayang serta perhatian orang tua.
CARA TEGURAN
Dr Wan Azizah pernah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hingga tahun 2020.
Kini sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Presiden Pakatan Harapan, setiap amanat dan nasihat bekas pakar oftalmologi ini menjadi rujukan.
“Allah sudah menyatakan dalam Surah Luqman bagaimana seorang bapa menasihati anaknya dengan bijaksana. Kalau seorang bapa nak menegur anaknya, jalinan kemesraan tu mesti ada.
Kak Wan selalu terfikir… Dalam Al-Quran selalu kata, (seharusnya) bapa yang memberi nasihat pada anak-anak, bukan ibu. Selain mencari nafkah yang halal, beliaulah yang patut memberi kasih sayang kepada isteri dan anak-anak.
Kadang-kadang kita rasa bila kahwin, ilmu jadi ibu bapa itu datang secara natural. Tidak. Ilmu itu adalah sesuatu yang kita patut belajar kerana tiap-tiap masalah anak adalah berlainan.” Dr Wan Azizah
TELADAN
Nona tertarik berkongsi kata-kata Dr Wan Azizah tentang ciri-ciri personaliti Rasulullah S.A.W ketika beliau merasmikan forum Bapa Penyayang secara online sempena sambutan Hari Bapa 2021.
“Pagi tadi (19 Jun) saya merasmikan Forum Bapa Penyayang dan melancarkan Pertubuhan Pemberdayaan Bapa Penyayang secara maya bersempena sambutan Hari Bapa 2021.
Antara lain saya menekankan empat ciri personaliti seorang bapa yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W.
Antaranya ialah sabar dan ikhlas mencari rezeki halal dan memberi nafkah serta menjadi pembimbing utama dan pendidik anak-anak.
Dua lagi ciri ialah berakhlak mulia dan menjadi contoh ikutan anak-anak serta bergaul dan melayani anak-anak dengan kasih sayang.
Saya juga meletakkan harapan yang tinggi agar Bapa Penyayang dapat memainkan peranan dan bermanfaat dalam membina peribadi seorang bapa.” Dr Wan Azizah
BAPA PENYAYANG
Pertubuhan Pemberdayaan Bapa Penyayang (Bapa Penyayang) yang dilancarkan oleh Dr Wan Azizah merupakan sebuah NGO kekeluargaan terbaharu.
Ia dibangunkan untuk memberdaya peranan, tanggungjawab, mengukuh hubungan kekeluargaan suami dan isteri terutama dalam menangani gejala rumah tangga yang hancur.
Bapa Penyayang juga tekad menggerakkan agenda advokasi, kesedaran disamping latihan kebapaan dalam masyarakat disamping akan terus berkolaborasi dengan agensi-agensi keluarga dan sosial, jabatan agama-agama Islam seluruh Malaysia bagi memberdaya peranan bapa dalam keluarga.
Sumber: Facebook Dr Wan Azizah